Dipetik dari Utusan Online
KUALA LUMPUR 22 Okt. - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata UMNO kini berdepan dengan masalah 'sakit tua' yang hanya dapat disembuhkan sekiranya generasi muda diberi peluang menduduki jawatan utama dalam parti itu pada pemilihan Mac depan.
KUALA LUMPUR 22 Okt. - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata UMNO kini berdepan dengan masalah 'sakit tua' yang hanya dapat disembuhkan sekiranya generasi muda diberi peluang menduduki jawatan utama dalam parti itu pada pemilihan Mac depan.
Beliau berkata, pemilihan pemimpin muda untuk jawatan selain Presiden dan Timbalan Presiden itu amat penting bagi membolehkan format pemikiran UMNO diubah supaya ia selari dengan kehendak rakyat.
Katanya, format pemikiran itu baru itu tidak akan dapat dicapai sekiranya UMNO terus diterajui golongan yang tidak mampu berubah disebabkan oleh faktor usia dan budaya politik yang telah ketinggalan zaman.
"Pada hemat saya, UMNO sedang menghadapi 'penyakit tua', 61 tahun umurnya dan penyakit tua ini tidak boleh diperbaiki oleh orang-orang yang tua.
"Maksud saya ialah mereka yang nak bertanding dalam UMNO, memegang jawatan-jawatan tertinggi haruslah terdiri daripada golongan muda yang memiliki idea-idea baru," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran media siri dialog yang dikenali sebagai 'Bridges - Dialog Kearah Budaya Keamanan' anjuran Yayasan Keamanan Antarabangsa di sini hari ini.
Beliau berkata, UMNO juga harus menyedari kemerosotan sokongan rakyat terhadapnya pada pilihan raya umum lalu mempunyai kaitan rapat dengan masalah persepsi.
Katanya, antara yang menyumbang kepada masalah persepsi itu adalah isu rasuah, salah guna kuasa dan memikul tanggungjawab yang merupakan satu tuntutan rakyat.
Katanya, rakyat pasti tidak akan menerima apa yang diperkatakan oleh pemimpin jika pemimpin terbabit tidak mempunyai kredibiliti pada pandangan mereka.
"Kalau imej mereka sudah tidak diterima, apa juga yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin itu tidak akan diterima oleh rakyat," tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Musa berkata beliau kurang senang melihat cara calon-calon pemilihan UMNO berkempen kerana mereka banyak memperkatakan mengenai isu-isu berkaitan emosi, perkauman dan agama.
Beliau berkata, isu-isu berkaitan masalah ekonomi yang amat penting tidak disentuh oleh para calon sedangkan ia merupakan perkara yang menghantui pemikiran rakyat.
Katanya, isu seperti ekonomi penting untuk membuktikan UMNO sebagai parti yang mengikut perkembangan semasa dan peka dengan dunia luar.
*************************************************************************************
Putri rasakan pendapat Tan Sri Musa Hitam ini ada betulnya. Berilah peluang kepada kepimpinan yang muda untuk merubah corak UMNO mengikut peredaran zaman. Jangan takut menghadapi perubahan. Andainya perubahan itu membawa kepada kebaikan adalah amat perlu ia dilakukan . Generasi muda mempunyai idea-idea baru yang jika kena caranya mampu memberi kebaikan kepada UMNO itu sendiri. Kalau tidak sampai bila pun UMNO akan berada pada takuk lama. Tetapi bukanlah terus meminggirkan orang lama. Kesepaduan antara generasi muda dan orang lama perlu agar UMNO menjadi lebih mantap dan masalah yang dihadapi diselesaikan mengikut acuan baru.
-putrimalaysia-
1 comment:
Cadangan perubahan tersebut adalah baik, namun ianya perlu diadakan secara berperingkat. Janganlah sampai semuanya ditukar kepada pemimpin dari golongan yang lebih muda. Kita lihat apa yang berlaku pada pilihan raya 8 MAC yang lalu di mana ramai muka muda telah ditonjolkan sebagai calon khususnya parti MCA dan GERAKAN, dan keputusannya adalah teruk sekali... Rakyat tidak dapat menerima perubahan yang begitu cepat sekali.. serta calon yang tidak pengalaman dan tidak dikenali.. Didikan dan nasihat pemimpin veteran hendaklah diutamakan untuk melahirkan pemimpin muda yang berkaliber dan dihormati..
Post a Comment