Tuntutan melampau bukan Melayu, pelanggaran kontrak sosial jejas keharmonian masyarakat KETIKA merasmikan Perhimpunan Agung Gerakan ke-37 baru-baru ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan idea keahlian terus ahli Barisan Nasional (BN) tanpa perlu menganggotai mana-mana parti komponennya.
Asas cadangan adalah kerana beliau mendapati ramai penyokong parti pemerintah tidak berminat menyertai mana-mana parti komponen dalam BN. Konsep ini bukan bererti parti komponen BN perlu dibubarkan. BN akan tetap kekal dengan struktur seperti sedia ada.
Kaedah yang dicadangkan untuk keahlian terus ini ialah dengan mewujudkan Kelab Penyokong BN. Cadangan ini mungkin baik dalam sudut tertentu, tetapi mungkin tidak relevan dari sudut lain. Pada asasnya ia membolehkan mereka yang tidak suka kepada parti komponen BN menjadi ahli dan penyokong BN.
Namun, ia boleh memberi masalah kepada parti komponen kerana ahli mereka mungkin mengambil langkah keluar untuk menjadi ahli terus BN. Jika ini berlaku, maka sistem keahlian terus akan mengubah BN menjadi satu parti pelbagai kaum. Itu harapan mereka seperti disuarakan Gerakan.
Hujah mereka yang mahukan BN menjadi satu parti pelbagai kaum ialah kononnya boleh mengelakkan penguasaan parti tertentu serta dapat membentuk perpaduan kaum yang lebih kukuh. Persoalannya, benarkah sistem satu parti pelbagai kaum mampu menghilangkan rasa perkauman? Benarkan sistem itu dapat menjamin keadilan yang benar-benar untuk semua kaum?
Siapa yang menguasai BN? Setahu saya, selama ini Umno diterima sebagai parti teras dalam BN kerana ia adalah parti terbesar dan mempunyai ramai Ahli Parlimen. Jika kita berpendapat bahawa dengan sistem satu parti pelbagai kaum dapat mengikis sentimen perkauman, ia mungkin satu pandangan yang kurang tepat.
Pada pendapat saya, sebelum BN dijadikan satu parti, adalah lebih baik kita membetulkan beberapa perkara yang menjadi asas pembinaan negara. Jika kita benar-benar jujur mahu memecahkan masalah perkauman, mengapa tidak bermula daripada sistem pendidikan?
Sanggupkah kita menerima pakai sepenuhnya sistem persekolahan satu aliran dengan menghapuskan sekolah aliran Cina dan Tamil? Biar seluruh anak bangsa Malaysia menerima satu aliran pendidikan kebangsaan menggunakan aliran bahasa Melayu.
Jika ini dapat diterima dan dilaksanakan, maka saya yakin akan tiba masanya nanti sistem satu parti pelbagai kaum menjadi mudah untuk dilaksanakan kerana melalui sistem persekolahan bersifat kebangsaan tulen berjaya 'memencilkan' rasa perkauman daripada minda dan hati rakyat.
Sepatutnya inilah yang harus disuarakan oleh mereka yang mencadangkan supaya BN menjadi satu parti pelbagai kaum. Kita sepatutnya yakin bahawa melalui sistem pendidikan kebangsaan tulen mampu mewujudkan suasana harmoni dan perpaduan antara kaum.
Dalam soal ekonomi pula, sanggupkah pengusaha, peniaga dan usahawan Cina membantu dan bekerjasama dengan pengusaha, peniaga dan usahawan Melayu secara ikhlas, telus dan jujur. Sebagai contoh, rangkaian pemborongan dan pengedaran barangan masih terus dikuasai peniaga Cina dan mereka seolah-olah tidak mahu monopoli ini dipecahkan sedangkan orang Melayu sudah lama memecahkan monopoli politik mereka.
Paling tidak wajar sistem satu parti boleh menafikan sejarah, warisan dan kedudukan politik Melayu. Dalam konteks ini, sistem satu parti tidak lebih sebagai satu 'perangkap samar' yang akan memusnahkan warisan politik Melayu. Beberapa asas kontrak sosial yang terkandung dalam Perlembagaan mungkin tergugat apabila parti politik Melayu (Umno) tidak lagi dianggap parti teras.
Sejak kebelakangan ini, orang Melayu mula berasa kecewa dan gelisah apabila sejarah mereka dipertikai oleh mereka yang jahil. Justeru, adalah munasabah Majlis Raja-Raja Melayu mengeluarkan peringatan supaya apa yang berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu termasuk kedudukan agama Islam seperti yang terkandung dalam perlembagaan, tidak dipertikaikan mana-mana pihak.
Persatuan Ulama Malaysia (PUM) juga baru-baru ini meminta supaya jangan ada mana-mana pihak mempertikaikan ciri-ciri Melayu dan asal-usul mereka.
Politik Melayu adalah warisan dan kesinambungan peradaban Melayu di negara ini. Kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan agama Islam di dalam Perlembagaan adalah lambang kepada warisan politik Melayu. Ia adalah sebahagian kontrak sosial yang dipersetujui bersama.
Bayangkan apa akan berlaku apabila Umno yang keahliannya mencecah tiga juta orang dan menguasai jumlah kerusi Parlimen yang besar, tidak lagi menjadi parti teras kerana konsep satu parti? Saya yakin konflik yang hebat akan berlaku.
Konflik ini bukan gara-gara rasa perkauman tetapi kerana Umno dan orang Melayu ketika itu rasa mereka sudah kehilangan sesuatu yang menjadi warisan mereka. Pastinya, orang Melayu tidak rela sama sekali perkara ini terjadi kepadanya, kecuali golongan Melayu yang sudah 'tidak berjiwa'. Walaupun selama ini orang Melayu mendominasi politik tanah air tetapi mereka bukannya bangsa yang bersifat perkauman. Seperti kata Perdana Menteri bahawa Umno bukan parti 'pembuli'.
Hakikatnya, dalam konteks landskap politik negara, konsep dan pendekatan BN selama ini terbukti berkesan dalam memberikan keadilan kepada semua kaum, malah ada kaum yang menikmati kekayaan di negara ini lebih daripada orang Melayu sendiri.
Bukankah sudah terbukti bahawa kerana berkesannya konsep BN, maka parti utama pembangkang menubuhkan Pakatan Rakyat? Janganlah goyah dengan asakan pembangkang. Justeru, adalah tepat sindiran Perdana Menteri terhadap tingkah laku sesetengah parti komponen BN yang menggelabah seolah-olah parti pemerintah kalah pada pilihan raya umum lalu.
Kembalikan semangat permuafakatan serta kefahaman terhadap sejarah dan warisan budaya tanah air. Sekiranya hubungan parti-parti komponen kembali pulih, pasti kemenangan dapat diraih semula.
*************************************************
Citra Adora:
Hujah penulis begitu bernas. Semoga parti-parti komponen BN dapat memperhalusi pendapat dan hujah-hujah beliau dalam memastikan BN tetap kukuh dan stabil tanpa ada prasangka serta rasa tidak puas hati sesama sendiri. UMNO sebagai parti teras dalam BN adalah tetap relevan dan mampu memimpin parti-parti komponen dengan baik.
1 comment:
Apa yang parti komponen BN perlu sekarang adalah untuk duduk semeja dan membahaskan isu-isu semasa dan mencari satu ketetapan selaras demi untuk mengembalikan kekuatan BARISAN BN yang nyata semangatnya telah menurun setelah tsunami politik 8 MAC yang lalu. Kita nampak pemimpin negara telah cuba sedaya upaya untuk mengatasi masalah ini dan rakyat khususnya perlulah memberi sokongan kuat kepada pemimpin negara untuk membuat penambahbaikan ke atas kelemahan-kelemahan yang timbul. Saya yakin kerajaan BN yang menerajui kerajaan selama 51 tahun dapat mengekalkan kekuasaannya berbanding dengan pakatan rakyat yang tidak pengalaman dan tidak tahu cara mengurus negeri dan negara, lihatlah apa yang berlaku di 5 negeri yang diterajui oleh pakatan R, nyatanya pembangunan di negeri-negeri tersebut terancam..
Post a Comment