Thursday, September 17, 2009

Permohonan Anwar gagal

KUALA LUMPUR 16 Sept. – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal dalam usahanya untuk melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan dalam kes liwat terhadap bekas pembantunya.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin mendapati Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu antara lain telah menyalahgunakan proses mahkamah bertujuan melemahkan prosiding jenayah yang dihadapinya.

Justeru beliau memutuskan untuk menolak permohonan Anwar mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi melucutkan kelayakan seluruh pasukan pendakwaan dalam kes liwat itu. Dalam penghakimannya, Hakim Alizatul menyatakan permohonan Anwar itu tidak menyatakan secara khusus sebarang tindakan tertentu yang salah di sisi undang-undang dilakukan oleh tujuh pendakwa raya tersebut sehingga memerlukan mahkamah menggunakan kuasa melucutkan kelayakan mereka.

Walhal, katanya, mengikut Perintah 53 Perintah-Perintah Mahkamah Tinggi 1980, seseorang pemohon dibenarkan mengemukakan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar sesuatu keputusan atau tindakan oleh pihak berkuasa yang dikatakan salah di sisi undang-undang atau berlakunya penyalahgunaan kuasa.
‘‘Dalam kes ini, pemohon tidak mencabar secara spesifik sebarang tindakan salah oleh pendakwa raya yang membolehkan mahkamah ini menggunakan kuasa penyeliaannya,’’ katanya.
Justeru pada hemat Hakim Alizatul, permohonan tersebut sepatutnya dikemukakan di Mahkamah Tinggi Jenayah dan bukannya di mahkamah beliau.
Beliau turut menegaskan, melalui permohonan itu, Anwar bukan sahaja cuba berusaha melucutkan kelayakan tujuh pendakwa raya terbabit tetapi juga kesemua pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara dan Peguam Cara Negara daripada mengendalikan pendakwaan kes liwatnya.

‘‘Ia adalah sama seperti untuk melemah dan menghentikan prosiding (jenayah) walaupun Sivarasa (peguam Anwar, R. Sivarasa) menyatakan pemohon tidak bermaksud untuk menghentikan keseluruhan pasukan pendakwaan,’’ tegas beliau.
Dalam permohonan yang difailkan pada 11 Ogos lalu, Anwar memohon kebenaran semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah perisytiharan agar keseluruhan pasukan pendakwa raya dilucutkan kelayakan mereka daripada mengendalikan pendakwaan atau rayuan kes liwat tersebut.
Anwar menamakan Peguam Cara Negara I, Datuk Idrus Harun; Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden; dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Shamsul Sulaiman serta Noorin Badaruddin, responden pertama hingga ketujuh.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menamakan Pendakwa Raya dan kerajaan Malaysia sebagai responden kelapan dan kesembilan.
Permohonan tersebut dikemukakan dengan alasan wujudnya berat sebelah atau wujud bahaya sebenar bagi berat sebelah, konflik kepentingan dan salah laku pendakwaan oleh responden pertama hingga ketujuh.

Anwar mendakwa pasukan pendakwaan itu mendapat arahan daripada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, pertuduhan dibuat dengan niat jahat (mala fide) serta ia adalah kesinambungan daripada kes yang dihadapinya pada 1998.
Dakwanya lagi, Abdul Gani bertindak secara berat sebelah dan prejudis dalam pendakwaan kes itu apatah lagi terdapat laporan polis terhadap Peguam Negara itu berhubung konspirasi politik dalam kes tahun 1998 dan insiden ‘mata lebam’.
Anwar, 62, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Perbicaraan kes liwat itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Jenayah), Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 3 November ini.
Anwar diwakili barisan tujuh peguam diketuai oleh Sivarasa manakala responden diwakili tiga Peguam Kanan Persekutuan diketuai oleh See Mee Chun.
Sivakumar ketika ditemui pemberita memberitahu pihaknya akan menasihatkan Anwar berhubung tindakan selanjutnya yang perlu diambil sama ada memfailkan permohonan baru di Mahkamah Tinggi Jenayah atau mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini.
-Utusan Online-

Jenazah Mariam selamat dikebumikan


KOTA TINGGI 16 Sept. - Dua tahun lalu, kepulangan wanita kelahiran Johor yang terkandas selama 64 tahun di Korea Selatan, Mariam Johari, 88, disambut penuh meriah di rumah anaknya di Taman Kota Jaya di sini. Paluan kompang, bunga manggar dan persembahan silat selain pelbagai hidangan istimewa termasuk kuih-muih seperti seri muka, puding jagung serta buah pulasan, durian dan jambu air menyambutnya ketika itu.

Namun hari ini, sambutan 'kepulangan' kali kedua warga emas itu berbeza apabila ia diselubungi suasana pilu di kalangan ahli keluarga ketika jenazah tiba di Hospital Daerah Kota Tinggi dalam hujan lebat. Kali ini pasti ibu kepada empat orang anak itu tidak akan terkandas lagi di negara lain. Dia kembali ke negara kelahirannya untuk menyempurnakan hajat kekal tinggal di sini.
Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae meninggal dunia di sebuah rumah kebajikan di republik itu ketika tidur pada 5 September lalu selepas empat bulan tidak sihat.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam di sini selepas solat asar dengan dihadiri kira-kira 50 saudara-mara termasuk tiga anaknya, Ramlah Sonni, 74, Jelani, 72, dan Jamnah, 67. Kematiannya menjadi isu apabila wanita tersebut dikatakan telah membuat wasiat agar dia dikebumikan mengikut tradisi masyarakat Korea.
Bagaimanapun hasil campur tangan Wisma Putra dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), jenazah Mariam dapat dibawa pulang ke tanah air apabila diterbangkan dari Seoul pukul 8.50 malam semalam menggunakan pesawat Thai Airways.
Jenazahnya tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 3.50 petang sebelum disembahyangkan di Masjid Jamek Kota Tinggi kira-kira pukul 5.15 petang.
Antara yang hadir ialah Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Mohamed Sebot.
Jelani berkata, dia dan adik-beradik mahu jenazah ibu mereka dibawa pulang untuk dikebumikan di negara ini. Kisah Mariam mula mendapat perhatian apabila dia meluahkan hasratnya untuk mencari tiga anaknya di Plentong, Johor pada 23 Jun 2007.

Hasratnya bertemu semula tiga anaknya itu, termakbul apabila Korea Broadcasting System (KBS) membawa mereka dan cucunya, Ahmad Onn, 43, serta menantu, Siti Zainab Noor, 37, ke studio KBS di Seoul pada 18 Julai 2007.

Pertemuan kali pertama selama enam hari tidak berakhir di situ apabila Mariam pula dibawa ke Malaysia pada 5 September tahun sama sebelum pulang semula ke Korea Selatan pada 13 September 2007.

Mariam yang dilahirkan di Plentong pada 16 Mac 1921, berkahwin dengan seorang jirannya ketika berusia 11 tahun pada 1932 dan melahirkan empat anak, namun anak keempatnya meninggal dunia beberapa bulan selepas dilahirkan. Ketika Perang Dunia Kedua, suaminya menyertai tentera manakala Mariam dikerah menjadi buruh membina landasan kapal terbang di Senai pada 1943.
Mariam kemudian berkenalan dengan tentera kerahan Jepun dari Korea, Cho Se Won, yang membawanya ke Korea Selatan dan dia akhirnya terkandas di negara itu.
Sementara itu, Jelani mewakili keluarganya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama MAIJ dan Wisma Putra yang memastikan urusan pengkebumian ibunya berjalan lancar.
Katanya, pihak keluarga gembira dan bersyukur dapat melihat jenazah ibunya buat kali terakhir dan dikebumikan di kampung halaman sendiri. "Sekurang-kurangnya pagi hari raya nanti kami dapat mengunjungi pusara ibu bersama-sama," katanya.
-Utusan Online-

MESYUARAT TERGEMPAR MCA 10 0KTOBER 2009 – SATU AMALAN DEMOKRASI

Oleh: Pemikir – MM

MCA, komponen BN, sedang menghadapi masalah dalaman yang melibatkan Presidennya, Dato’ Seri Ong Tee Keat dan mantan Timbalan Presiden Dato’ Seri Chua Soi Lek. Presiden MCA mempunyai tanggungjawab untuk antara lainnya mengukuhkan MCA dan mempastikan pemimpin-pemimpin parti berwibawa dan bersih. Dalam hubungan ini pucuk pimpinan MCA mendapati bahawa Timbalan Presidennya mempunyai rekod peribadi yang boleh menjejaskan imej parti. Presiden parti menghadapi tekanan dari ahli-ahli bahawa MCA dibersihkan demi nama baik parti di samping terus mendapat sokongan dari kaum Cina. Justeru, MCA membuat keputusan untuk memecat Dr. Chua Soi Lek.

Dari tindakan pemecatan ini, maka berlaku keadaan kekecohan dalaman parti yang tidak boleh dibiarkan berlanjutan. Sebagai jalan keluar, MCA bersetuju mengadakan satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 10 Oktober 2009. Dari sumber-sumber tertentu, mesyuarat tergempar ini akan hanya membincang 5 ketetapan yang diutarakan oleh pihak Dr. Chua Soi Lek. Intipati ketetapan ini adalah berkaitan undi tidak percaya terhadap Presiden MCA, undi untuk memasukkan balik Dr. Chua sebagai Timbalan Presiden, memansuhkan tindakan disiplin terhadap penyokong-penyokong Dr. Chua dan melindungi 921 ahli yang meminta persidangan tergempar ini diadakan.

MCA tidak menerima apa jua ketetapan dari Dato’ Seri Ong Tee Keat. Beliau menyerahkan kepada persidangan nanti untuk menerima atau menolak ketetapan-ketetapan Dr. Chua Soi Lek. Ini merupakan satu pendekatan untuk memudahkan perjalanan mesyuarat tergempar ini dan memberi peluang kepada perwakilan untuk menentukan kedudukan tubuh parti mereka sendiri. Dr. Chua Soi Lek tidak akan hadir mesyuarat ini kerana beliau telah dipecat.

Apa yang berlaku sekarang menampakkan bahawa pucuk pimpinan MCA memang memandang serius kemelut yang dihadapi oleh MCA. Mereka sedar bahawa isu kepimpinan MCA ini hendaklah diatasi dengan terbaik supaya penyokong-penyokong di lapangan dapat mengukuhkan pendirian masing-masing selepas 10 Oktober 2009 akan datang. Keputusan muktamad dalam mesyuarat tergempar ini diharapkan akan menjadi ubat mustajab untuk memantapkan MCA. Proses persidangan tergempar ini merupakan lagi satu contoh amalan demokrasi MCA dan ini sekali gus menunjukkan kematangan MCA dalam menghadapi anasir-anasir yang cuba melemahkan MCA dari segi jangka panjang.

Pemerhati berpendapat bahawa rakyat perlu mengalu-alukan tindakan MCA mengadakan mesyuarat tergempar ini sebagai satu kaedah untuk menyatukan sokongan semua ahli kepada perjuangan MCA khasnya dan BN amnya.

MIC PERLU BERSOPAN SEMASA BERSIDANG

Oleh: Pemikir - MM

Persidangan MIC pada 12 September 2009 telah menarik minat semua kaum di Malaysia, dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak. Persidangan ini dianggap penting kerana berlakunya pemilihan saf pemimpin-pemimpin baru ke CWC, MIC. Dato’ Seri Samy Vellu masih kekal Presiden selepas menang tanpa bertanding buat kali ke-11. Penyokong-penyokong utama yang disenaraikan oleh beliau turut berjaya ke CWC ini.

Persidangan turut mengalu-alukan ucapan YAB Perdana Menteri sebagai Presiden Barisan Nasional. YAB telah mengingatkan delegasi bahawa pemimpin yang dipilih tidak semestinya popular di peringkat akar umbi. Ini merupakan satu mesej jelas yang ditujukan kepada pemimpin-pemimpin lama MIC yang perlu mendengar kepada aspirasi penyokong-penyokong mereka di peringkat akar umbi.

Insiden yang mencacatkan persidangan telah berlaku apabila satu delegasi membuat syor supaya Tun Mahathir diberi kalungan selipar. Perkara ini telah menimbulkan kemarahan majoriti rakyat Malaysia. Mereka mengutuk keras terhadap sikap biadab delegasi berkaitan. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku dalam persidangan ke-62 MIC ini. Tiap-tiap ahli MIC yang telah bersama-sama BN kian lama sepatutnya mempunyai minda kelas pertama. Tetapi dengan sedihnya perkara seperti ini tidak wujud kerana ahli-ahli tertentu masih tidak faham dan memiliki minda kelas ketiga.

Pemerhati berpendapat bahawa Dato’ Seri Samy Vellu perlu bertindak tegas terhadap delegasi ini dengan segera kerana cadangan perwakilan MIC tersebut adalah tidak sopan dan keterlaluan. Di samping itu Dato’ Seri Samy Vellu dikehendaki memenangi penyokong-penyokongnya MIC di semua lapisan kaum India supaya dapat kembalikan sokongan mereka kepada BN. Kita tidak mahu melihat apa yang dikata ”cakap tidak serupa bikin”. BN sudah puas menghadapi permasalahan dalaman saperti MIC dan sekiranya tidak diperbetulkan dari sekarang, ia boleh menjejaskan prestasi BN menjelang PRU ke-13.

TIM F1 MALAYSIA AKAN MERANGSANGKAN INDUSTRI AUTO MALAYSIA........ TAHNIAH KEPADA YAB PERDANA MENTERI

Oleh: Pemikir - MM

Dengan adanya tim F1nya sendiri maka ini membolehkan Malaysia menyertai kejohanan F1 yang akan datang mulai 2010 dan seterusnya. Malaysia mempunyai kemudahan yang terdapat di Litar Sepang dan pengujudan tim ini akan mengoptimakan penggunaan litar tersebut.

Projek ini adalah sesuatu yang dilaksanakan oleh pihak swasta yang melibatkan Air Asia, Kumpulan Naza, Proton dan kerajaan sendiri. Usaha bersama ini akan mempastikan tim ini dapat berterusan dalam semua siri kejohanan F1. Adalah diketahui bahawa penyelenggaraan tim seperti mempunyai cabaran khas dan juga kos yang sangat tinggi. Pihak Ferrari menggunakan USD300 million untuk timnya menyertai kejohanan ini tiap tahun. Ferrari mempunyai dana yang cukup besar bagi mempastikan ia sentiasa ditangga no. 1 dalam kejohanan F1. Tetapi mulai 2010, penganjur F1 telah menetapkan USD40 million bagi tiap tim yang menyertai F1 nanti. Keputusan ini telah menjadi satu kontroversi dikalangan peserta terutamanya Ferrari. Dengan penetapan ini, maka tim-tim F1 akan dapat menyertai perlumbaan berprestij ini dengan kos yang sederhana.

Bagi Malaysia pula, penceburan dalam siri kejohanan ini merupakan satu langkah berani dan dijangka akan mempunyai implikasi-implikas positif kepada industri auto dan juga negara. Sudah pasti anak-anak Malaysia akan dapat memperolehi kemahiran-kemahiran yang khusus apabila tim ini mula bergerak. Keuntungan akan juga dapat diperolehi dari pelbagai saluran termasuklah pengiklanan, penjualan cenderamata, publikasi, tiket-tiket kejohanan tahunan F1 Litar Sepang, penjenamaan Lotus pada kereta-kereta keluaran Malaysia, mengeluarkan kereta-kereta jenis Lotus untuk pasaran dunia dan lain-lain lagi.

Pemerhati mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Perdana Menteri yang merestui projek ini dan dipercayai bahawa ini adalah satu langkah bijak kerana Malaysia mempunyai kepakaran auto dan juga memiliki teknologi tinggi Lotus yang diperolehi oleh Proton.

Namun akan timbul pihak tertentu membuat kritikan-kritikan terhadap projek ini. Pada satu masa dulu, mereka menganggap bahawa Litar Sepang adalah projek gajah putih dan satu pembaziran. Kepada mereka ini, adalah dinasihatkan untuk berfikir di luar kotak. Singapura menyesal kerana lewat membawa F1 sebagai sukan negara itu. Lee Kuan Yew tidak dapat melihat rasional Tun Dr. Mahathir membawa F1 ke Malaysia. Kini Singapura akan mengadakan F1 pada waktu malam September ini. Singapura akan dapat meraih keuntungan besar di sini kerana peminat-peminat F1 di Eropah dan Amerika Syarikat dapat menonton F1 Singapura pada siang hari. Singapura akan mendapat keuntungan dari pemberian hak-hak untuk siaran-siaran langsung oleh TV antarabangsa.

Pemerhati berpendapat bahawa projek ini telah diteliti dari semua segi dan justeru telah dapat menarik pihak swasta untuk menyertainya. Mereka melihat dari segi jangka panjang dan yakin bahawa projek F1 Malaysia mempunyai potensi besar.





Monday, September 14, 2009

SALAM AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN

Wira mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin kepada semua umat Islam seluruh Malaysia.
Diingatkan kepada semua agar memandu dengan berhati-hati di jalan raya, sentiasa berwaspada dan pastikan mendapat rehat yang mencukupi sebelum memandu ke perjalanan yang jauh. Jangan lupa memeriksa kenderaan anda supaya berada dalam keadaan baik.
Berhati-hati jua dengan penularan penyakit H1N1. Jangan abaikan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan penyakit ini. Pastikan topeng mulut dan hidung dibawa bersama.
Akhir kata Salam Aidilfitri, semoga bergembira di samping keluarga tercinta.

Lawatan Pak Presiden SBY ke Malaysia dialu-alukan

Oleh: MM

Isu yang menjadi Malaysia sasaran pihak tertentu di Jakarta adalah sesuatu yang tidak patut timbul. Ini tidak melibatkan unsur-unsur yang membahayakan kedua-dua negara tetapi yang paling aneh ketegangan yang berlaku sekarang adalah sekitar masalah tarian Bali bernama Pendet. Mereka menuduh secara melulu bahawa Malaysia mencuri satu aspek dari kebudayaannya. Mereka mengatakan bahawa ini bukanlah kali pertama Malaysia berbuat demikian kerana Malaysia banyak juga menggunakan lagu-lagunya.
Tetapi Malaysia pernah mengeluarkan satu lagu bernama Isabella oleh Amy Search yang menjadi top hit di kalangan rakyatnya. Aneh jua lagu ini yang sangat popular juga di Indonesia sehingga telah dianggap ia berasal dari Indonesia. Namun ia bukanlah suatu yang menjadi kontroversi kerana ia popular dan seterusnya mendapat rangsangan komersial bagi peminat-peminat di kedua-dua negara.
Pihak media di Indonesia merupakan punca kepada isu Pendet ini. Di kaca televisyen Indonesia, cerdik pandai, saintis-saintis politik mereka membuat berbagai-bagai hujah di samping mengutuk Malaysia yang tidak berdosa. Kenapa ini berlaku? Adakah Indonesia sedang menghadapi masalah dalaman termasuk jumlah besar pengundi-pengundi Indonesia kecewa apabila idola-idola mereka seperti Megawati dan Yusof Kalla tewas dalam pilihan raya Presiden baru-baru ini? Apakah mereka tak bersetuju dengan cara Presiden Susilo memenangi pilihan raya Presiden di samping menganggap Susilo adalah seorang Presiden yang lemah?
Persoalan-persoalan ini menjadi tanda tanya di mana penyokong-penyokong Presiden Susilo tidak dapat memberi jawapan selain daripada mencari helah atau diversi tertentu untuk menyalurkan kemarahan rakyat Indonesia terhadap Presiden Susilo. Maka dalam hubungan ini Malaysia Bashing merupakan satu jalan keluar yang paling cocok untuk menampung kemarahan rakyat terhadap Pak Presiden baru. Cara begini pernah dibuat oleh Presiden Sukarno apabila beliau menghadapi tekanan-tekanan dalaman yang disemarakkan oleh Parti Komunis Indonesia (PKI) 40 tahun dahulu, dengan mudah menjadikan Malaysia sebagai sasaran. Beliau yang pakar pidato telah berjaya menaikkan kemarahan rakyat yang ditujukan kepada Malaysia. Tetapi program khusus Sukarno digagalkan oleh kerana ada pihak-pihak tertentu di Jakarta yang tidak setuju dengan perjuangan kosong Sukarno masa itu.
Pemerhati berpendapat bahawa perkara Pendet ini eloklah dipendekkan dan janganlah diperbesar-besarkan oleh pihak media Indonesia kerana ia akan hanya merugikan Indonesia dari segi jangka pendek. Malaysia tetap tabah dan tidak akan berbuat sesuatu luar biasa tetapi hanya bergerak dalam ruang lingkup diplomasi bagi mempastikan hubungan Kualal Lumpur - Jakarta terus mantap tanpa ganggu gugat. Negara ketiga suka Malaysia - Indonesia bercakaran supaya ia mendapat keuntungan apabila ini berlaku.
Apa yang dilakukan oleh pemimpin kita yang sangat berhati-hati tetapi penuh keprihatinan sangat dialu-alukan. Mudah-mudahan dengan cara ini dan seterusnya apabila lawatan Pak Presiden ke Kuala Lumpur berlaku pada Oktober akan datang, perhubungan Malaysia - Indonesia menjadi lebih kukuh dari dahulu.

Friday, September 11, 2009

PENJELASAN MENGENAI AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA) 1960

Oleh: Pemikir

Apakah itu AKDN atau ISA?
Akta ini adalah salah satu undang-undang pencegahan yang digubal di bawah perkara 149,Perlembagaan Persekutuan. Ia telah dikuatkuasakan di Semenanjung Malaysia pada 1 Ogos 1960 dan diperluaskan penguatkuasaannya di Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963.

Apakah tujuan tujuan ISA?
Tujuan ISA adalah untuk mengelakkan dari berlaku ancaman keselamatan, ketenteraman awam dan keamanan negara yang dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu yang bertujuan menganggu-gugat keamanan dan kestabilan negara.
Pernahkah ISA dipinda?ISA pernah dipinda beberapa kali pada tahun-tahun berikut: 1) 1962 2) 1963 3) 1964 4) 1965 5) 1966 6) 1969 7) 1989

Apakah contoh-contoh kes yang membabitkan tindakan ISA?
PKM
Mei 13
Al-Maunnah
Jamaatul Islamiyah
Jundul-Ilah
Penculikan di Sabah
Hindraf
Kenapa tidak digunakan Ordinan Jenayah sedia ada?ISA tidak bermotif untuk menganayai sesiapa juga yang ditahan oleh polis. Mereka ditahan berasaskan kepada kegiatan-kegiatan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam termasuklah sabotaj, subversif, pengintipan(espionage), ekstremis agama dan kaum, keganasan dan militan. Selain itu, maklumat risikan dari dalam dan luar negera terutamanya dari badan-badan keselamatan awam negara luar juga diambil kira.Penilaian tahanan ISA diasaskan kepada maklumat terperinci pihak polis. Sekiranya tiada sebarang bukti, tahanan dibebaskan mengikut masa tertentu.Peruntukan undang-undang Kanun Acara Jenayah dan Kanun Keseksaan, tidak mempunyai peruntukan untuk membicarakan kes-kes ISA.

Apakah yang dimaksudkan dengan penahanan?
Seksyen 73 (1) ISA memberi kuasa kepada polis mengambil tindakan awalan menahan mana-mana individu/kumpulan yang dianggap boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. Seksyen ini membolehkan polis menahan individu berkenaan selama; a) 1 hari 1 malam (24 jam)b) 2 hari 2 malam (48 jam)c) 1 minggu (168 jam)d) 60 hari (1440 jam)Jika pihak polis belum berpuas hati selepas 60 hari, ia perlu memaklumkan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dengan mengemukakan hujah-hujah yang kukuh bagi membolehkan tahanan dilanjutkan lebih daripada 60 hari.

Benarkah ISA dikatakan bertentangan dengan hak asasi manusia?
Sebenarnya dalam masa 3 bulan tahanan boleh dirujuk kepada Lembaga Penasihat Tahanan mengenai hak mereka dengan membawa peguam mereka bersama-sama dengan Lembaga Penasihat Tahanan. Sekiranya Lembaga Penasihat mendapati tahanan berkenaan masih ada ancaman keselamatan maka, tahanan boleh dilanjutkan sehingga 60 hari.

Adakah ruang rayuan untuk mereka yang ditahan?
Walaupun peruntukan 73(1) menyatakan pihak polis tidak perlu merujuk kepada Menteri Dalam Negeri, namun tahanan mempunyai hak untuk mencabar kesahihan penahanan mereka dan juga berhak membawa keluarga bersama peguam berhadapan dengan Lembaga Penasihat.
Selepas 60 hari, jika pihak polis mendapati masih ada ancaman kepada keselamatan negara maka perakuan hendaklah dibuat kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mengikut peruntukan seksyen 8(1) atau 8(5) dimana Menteri akan melihat hujah-hujah pihak polis untuk menahan individu berkenaan melebihi 60 hari.

Selepas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mengkaji hujah-hujah yang dikemukakan oleh pihak polis Menteri perlu menurunkan tandatangan ke atas dokumen yang dipanggil perintah terhad (Detention Order).

Adakah negera-negera lain mempunyai akta yang serupa ISA?
Beberapa negara lain turut mempunyai undang-undang yang meyerupai ISA untuk mempertahankan keselamatan negara mereka dari ancaman dalam dan luar.
Singapura mempunyai ISAnya tersendiri bagi tujuan menahan individu yang dianggap boleh mengancam keamanan dan keselamatannya. Pada 1963 dalam operasi Coldstore seramai 100 individu-individu terdiri dari ahli-ahli politik dan persatuan telah ditahan. Pada 2006, Singapura menahan Mas Selamat Bin Kastari, anggota (JI) Jamaatul Islamiyyah.

Brunei juga berhadapan dengan ancaman tertentu dan ISA telah digunapakai.
Filipina, Thailand dan Indonesia tidak mempunyai akta bertulis seperti ISA. Mereka menggunakan undang-undang sedia ada untuk menangani individu-individu yang menjejaskan keselamatan negara mereka.

Di Indonesia, aktivis-aktivis Jamaatul Islamiyyah (JI) begitu aktif dan mereka telah melakukan pengeboman di beberapa hotel terkemuka di Jakarta pada 17 Julai 2009. Pada 2002, Bali juga menghadapi pengeboman yang telah mengorbankan 202 orang, majoritinya pelancong dari Australia.

Negara Thailand mengakui bahawa Malaysia adalah satu-satunya Negara aman yang mempunyai akta khusus untuk menghadapi ancaman yang memudaratkan Negara.
Amerika Syarikat sebuah negara yang mengagungkan demokrasai dan hak asasi turut mempunyai akta yang serupa yang dipanggil The USA Patriot Act (Providing Appopriate Tools Required to Intercept and Obstruct Terrorism Act).

Akta yang komprehensif itu melibatkan pindaan-pindaan akta lain demi mengukuhkan perpaduan Amerika Syarikat. Misalnya, Patriot Act membolehkan pindaan dibuat kepada akta Immigration and Nationality Act (INA).
Ia membolehkan menahan seseorang asing yang membahayakan keselamatan AS sehingga 90 hari dan paling lama 6 bulan jika diperlukan.

Dalam kes pengeboman New York Trade Centre pada 9 September, ramai individu dari negara asing yang disyaki terlibat dalam tragedi itu ditahan dan dipenjarakan di penjara Guantanamo Bay sehingga kini, termasuk 2 dari rakyat Malaysia.

Akta ini walaupun diterima oleh majoriti ahli kongres tetapi telah dikritik keras oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia, namaun kerajaan AS tetpa mempertahankannya.
Di United Kingdom, akta seperti ISA yang dipanggil Terrorism Act yang bukan baru telah diguna pakai untuk berdepan dengan terrorism di utara Ireland.

Adakah ISA releven dengan pandangan Islam?
Doktor Borhanuddin Al Hilmi pengasas Parti Islam SeMalaysia (PAS) membuat perbandingan tentang ISA dengan sebilah pisau yang tajam yang boleh digunakan untuk kebaikan, dan pada masa yang sama juga boleh digunakan untuk keburukan.
Ibnu Najim berpendapat: “Sesuatu tindakan yang diambil oleh pemerintah yang pada pandangannya boleh menjaga kepentingan umum, sekalipun tidak terdapat dalil yang khusus mengenainya boleh dilaksanakan”.
Doktor Mohamad Mahmud Al Khalidi dalam kitabnya ”Qawa’id Nizam Al Hukmi Fi Al Islam” sebuah tesis Ph.D beliau menyatakan:"Para sahabat juga sependapat mengatakan bahawa melaksanakan peraturan yang didokong oleh pemerintah adalah wajib dan tidak halal bagi seseorang muslim mengikut hukum, undang-undang serta sistem pentadbiran yang lain dari apa yang ditentukan oleh pemerintah".

Misalnya, apabila pemerintah telah menentukan undang-undang berkaitan jalan raya, seluruh umat wajib disisi syarak mematuhi apa yang diperintah oleh Ketua Negara. Prinsip Sad Az Zara’ie iaitu: “Membendung Punca Keburukan”.

Penutup: Pepatah Arab“Al-Wiqayatu Khairun Mina Alillaj”, “Mencegah lagi baik daripada mengubat ”.

Q & A Pilihan Raya Kecil DUN N.11 Permatang Pasir

Oleh: Pemikir
Kenapa pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir diadakan?
Pilihan raya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.11 Permatang Pasir di adakan berikutan penyandangnya Dato’ Mohd.Hamdan Abdul Rahman (63) yang mewakili Parti PAS meninggal dunia kerana sakit jantung di Institut Jantung,KL pada 30 Julai 2009 (Rabu).
DUN N.11 Permatang Pasir adalah salah satu kawasan DUN daripada tiga kawasan DUN dalam Parlimen Permatang Pauh. Dua DUN yang lain dalam Parlimen ini adalah N.10 Sebarang Jaya yang diwakili oleh BN dan DUN N.12 Penanti, yang diwakili oleh PKR.

Bagaimanakah jumlah pengundi mengiku pecahan kaum?
Jumlah pengundi berdaftar yang berdaftar bagi kerusi N.11 Permatang Pasir adalah seramai 20,350 pengundi, termasuk 14,715 pengundi Melayu (72.31%), 5,278 pengundi Cina (25.94%), 327 pengundi India (1.61%) dan 28 pengundi lain-lain kaum (0.14%).

Apakah cara hidup pengundi DUN ini?
DUN N.11 Permatang Pasir merupakan satu kawasan luar bandar dalam Daerah Seberang Perai Tengah dan sebahagian besar pengundinya tinggal dalam taman-taman perumahan, kampong dan setinggan. Pada masa yang sama, sebahagian besar pengundi DUN ini terdiri daripada golongan petani,pekedai runcit dan pekerja kilang yang berpendapatan rendah.

Bagaimana sokongan BN dalam DUN ini ?
Tiada siapa dapat nafikan bahawa kawasan ini adalah kubu kuat BN sehingga pilihan raya umum tahun 1999. Pada 1990, BN menang dengan majoriti 4271 undi. Pada 1995 pula, BN terus menang dengan majoriti besar 6198 undi. Trend ini jelas menunjukkan peningkatan sokongan terhadap BN.Namun, pada tahun 1999, calon PAS, Mohd Hamdan, memenangi kawasan ini pada julungkalinya dengan majoriti 3,154.

Kenapa calon PAS menang pada tahun 1999,2004 dan 2008?
Calon PAS , Mohd Hamdan, menang dalam DUN Permatang Pasir kerana beberapa faktor. Antara faktor utama : 1. Tertimbul perpecahan antara barisan pemimpin-pemimpin UMNO akibat DS Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan UMNO kerana kes moral.
2. Calon PAS, Mohd Hamdan, bukan kerana polurariti PAS. Mohd Hamdan, selaku calon PAS, pernah kalah dua kali kepada calon BN apabila bertanding di DUN Penaga, Parlimen Kepala Batas.
3. Pengundi Cina dan India memihak pembangkang kerana terpengaruh dengan beberapa peristiwa yang menyentuh perasaan dan emosi mereka.
Bagaimana sokongan BN dalam pilihan raya 2004 DAN 2008?
Keputusan pilihan raya sejak tahun 1986 jelas menunjukkan bahawa UMNO dan PAS mempunyai jumlah penyokong yang seimbang dalam DUN ini. Malah, PAS didapati hanya mendahului BN (UMNO) dengan perbezaan peratusan undi yang kecil iaitu hanya dengan kadar lebih-kurang 5 peratus sahaja sejak tahun 1999 sehingga PRU12. BN berjaya memulihkan kehakisan sokongan BN dalam tahun 1999 dalam tahun 2004.
Pada tahun 2004, calon PAS, Mohd Hamdan, selaku penyandang hanya dapat mengekalkan DUN ini dengan majoriti 679 undi sahaja.
Namun, pada tahun 2008, PAS menang DUN ini dengan sokongan luar biasa dari pengundi bukan Melayu. PAS menang dengan majoriti 5433.Kemenangan PAS pada tahun 2008 adalah disebabkan oleh bukan kerana populariti PAS malah kerana masalah kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN kerana beberapa peristiwa pada saat –saat akhir.

Adakah kemungkinan BN menang dalam pilihan raya kecil di Permatang Pasir kali ini?
Berdasarkan analisis undi popular dalam pilihan raya umum sejak tahun 1986, Parti BN mempunyai 8,754 penyokong setia. Berbanding dengan 8,000 penyokong setia bagi PAS . Hampir 3,000 pengundi atau 15 % didapati mempunyai pendirian dan kecenderungan politik yang tidak tetap, malah memilih calon dan parti berdasarkan isu semasa. Jumlah peratusan pengundi setia tersebut jelas menunjukkan bahawa BN mendahului PAS sebelum bermulanya kempen gerak kerja pilihan raya kecil.
Walaupun timbul andaian-andaian bahawa sokongan pengundi Melayu terhadap PAS meningkat sedikit sejak PRU12, tetapi dari segi realitinya, keputusan pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan menunjukkan trend yang sebaliknya.Nyatanya, sokongan pengundi Melayu terhadap PAS kini kian merosot. DUN Manek Urai yang digempar gempurkan sebagai kubu kuat PAS, PAS hanya menang tipis dengan majoriti 65 undi berbanding dengan 1357 dalam PRU12. PAS hanya mendahului BN dengan perbezaan 1 % sahaja.

Betulkah pengundi bukan Melayu akan menentukan menang-kalah dalam Pilihan raya kecil ini?
Jumlah pengundi bukan Melayu, terutamanya Cina adalah sebanyak 27 %. Jumlah ini sudah tentu mampu menentukan menang-kalah.Namun, sokongan pengundi bukan Melayu kepada calon PAS dijangka merosot kerana beberapa faktor seperti berikuit:
1.Masyarakat Cina tidak puas hati dengan PAS kerana kerajaan PAS menutup tempat memelihara khinzir di negeri Kedah.2.Masayarakt India pula marah kepada DAP kerana kerajaan DAP di Penang cuba meroboh Kg.Buah Pala yang didiami oleh kaum India beratus-ratus tahun.
3.Masyarakat Cina dan India marah kepada Ahli EXCO kerajaan PKR Selangor yang terdiri daripada PAS kerana melarang penjualan minuman keras di kedai-kedai runcit (convinience store) sekitar kawasan perumahan masyarakat Islam. 4. Kaum India marah kepada kerajaan PR kerana mengurangkan bilangan ahli majlis-majlis kerajaan tempatan di Selangor dan Penang.
Tindakan kerajaan PR di negeri-negeri tersebut dijangka akan mengurangkan sokongan pengundi Cina dan India kepada calon PAS pada PR kecil ini.
Adakah pengundi Melayu akan terus menyokong PAS dalam pilihan raya kecil ini?
1.Kecenderungan pengundi Melayu terhadap PAS jelas sudah berubah ketika ini.Kejayaan BN mengurangkan majoriti undi PAS daripada 1357 kepada 65 undi pada pilihan raya kecil Manek Urai, Kelantan, telah meningkatkan moral penyokong-penyokong BN terus berjuang menghadapi PAS.
2.Malah, analisis dan kajian pendapat baru-baru ini menunjukkan populariti BN telah meningkat hampir 12 % di kalangan pengundi Melayu, terutamnya pengundi muda sejak PRU12.
3. Keterampilan dasar-dasar dan perubahan yang diperkenalkan oleh PM, Dato Seri Mohd.Najib Tun Razak, mencetuskan gelombang perubahan dalam pentadbiran dan pemikiran politik rakyat Malaysia.
4. Tidak dapat nafikan UMNO terus dapat sokongan daripada orang Melayu.tetapi PAS mendapat simpati.Apakah implikasi keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir kepada BN?
Secara umumnya, UMNO adalah dikaitkan dengan kuasa politik orang Melayu. Dengan itu, kemerosotan sokongan kepada UMNO akan dilihat sebagai kemerosotan dan kehilangan kuasa politik dan identiti orang Melayu di Malaysia. Kemerosotan kuasa politik Melayu akan menjejaskan stabiliti politik, malah kesejahteraan dan keharmonian hidup rakyat Malaysia dalam jangka panjang.
Memandangkan peri kepentingan kuasa politik UMNO di Malaysia, para penganalisis politik menjangka trend Manek Urai akan diulangi di Permatang Pasir.

Monday, September 7, 2009

PM menggesa warga Islam menjalin hubungan baik dengan warga bukan Islam

By M.Perry

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Razak, menggesa warga Islam menjalinkan hubungan baik dengan kaum bukan Islam supaya perpaduan antara kaum dapat terjalin dan di kukuhkan dalam menjayakan konsep 1 Malaysia,malah mempastikan Malaysia dapat menghadapi cabaran-cabaran semasa yang melanda Malaysia kesan dasar terbukaan kerajaan.

Dalam membentuk negara bangsa Malaysia, seperti disarankan oleh konsep 1 Malaysia, semua kaum yang menganggap negara ini sebagai negara ibunda, perlu merakyatkan dan membudayakan amalan menerima perbezaan yang wujud antara pelbagai kaum sebagai amalan hidup rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia perlu menjadikan perbezaan, terutamanya perbezaan agama rakyat sebagai aset dan penggerak kepada pembangunan dan kemajuan Malaysia. Malah, menjadi model kepada negara-negara yang rakyatnya berbilang kaum dan agama.

Konsep 1Malaysia yang dimajukan oleh Perdana Menteri menegaskan penerapan nilai-nilai hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. Lebih-lebih lagi budaya menghormati kebebasan agama di kalangan rakyat Malaysia seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Warga bukan Islam menghormati dan menghayati cara hidup warga Islam dan warga Islam pula menerima dan menghormati agama dan cara hidup warga bukan Islam harus diteruskan sebagai warisan negara ini demi kepentingan semua pihak.

Nila-nilai mengormati agama lain dituntut oleh semua agama yang di amal di Malaysia, lebih –lebih lagi agama Islam dan Hindu.Al-Quran yang menjadi panduan ,sumber kekuatan dan inspirasi kepada warga Islam dan Bagavad Gita kepada warga Hindu banyak menyentuh mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan nilai-nilai ‘kemanusaian’ yang harus menjadi pedoman rakyat Malaysia.

Sehubungan ini, Najib Tun Razak, Perdana Menteri baru-baru ini merujuk kepada Surah Al-Maidah, Ayat (8 ) yang membawa maksud “Wahai orang yang beriman,hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.Hendaklah kamu berlaku adil (kepada siapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.Dan bertaqwa kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Manakala, Bagavad Gita pula menyeru penganut Hindu supaya menganggap setiap orang di dunia ini sebagai ahli keluarga dan tidak sekali-kali menyakiti hati orang lain. Bagavad Gita dalam ayat (6.32) menjelaskan bahawa nilai utama yang harus ada pada seorang penganut Hindu yang baik adalah “ One is considered the best yogi who regards every being like oneself, and who can feel the pain and pleasures of others as one’s own, O Arjuna.”

Dalam konteks ini, rakyat Malaysia yang berjaya mengurus perbezaan yang wujud antara kaum di masa lampau perlu bertekad meneruskan usaha tersebut supaya Malaysia terus dijamin keamanan, keharmonian dan kemakmuran. Sekiranya rakyat Malaysia kurang bijak dan gagal mengurus masalah pelbagaian, termasuk pelbagaian agama, maka ketidakstabilan akan melanda negara ini yang akan merugikan semua pihak.

Sehubungan ini rakyat Malaysia harus berwaspada terhadap agenda politik yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu dalam memecah belahkan perpaduan yang terjalin sekian lama di kalangan rakyat berbilang kaum dan etnik di Malaysia.

Insiden ‘kepala lembu’ di Shah Alam dilaporkan tercetus kerana kerajaan Pakatan Rakyat yang dibentuk mentadbir negeri Selangor selepas pilihan raya umum ke 12 (PRU12) membuat keputusan untuk memindah sebuah kuil Hindu dari Sek.19 ke Sek.23, Shah Alam sebagai memenuhi janji pilihanraya. Majoriti penduduk Sek.23 adalah terdiri daripada orang Melayu.

Sebelum PRU12, Kerajaan negeri yang ditadbir oleh BN , pernah membuat keputuasan untuk memindahkan kuil tersebut dari Sek.19 ke Sek.18 dengan persetujuan pihak-pihak yang berkaitan.

Jadi, pindaan kuil Hindu tersebut tanpa menghiraukan bantahan penduduk Melayu Sek. 23 dilihat sebagai satu keputusan politik yang menguris hati pendudk Melayu di Sek.23, Shah Alam. Ketidakpuasan hati terhadap keputusan kerajaan Pakatan Rakyat itu telah menimbulkan peristiwa perarakan ‘kepala Lembu’ yang tidak dijangkakan. Walaupun ‘kepala lembu’ itu dibawa untuk menzahirkan perasaan tidak puas hati pendudk sek.23 terhadap keputusan kerajaan PR, masyarakat Hindu turut terguris hati kerana media baru mengempar- gempurkan bahawa tindakan itu kononnya menghina agama Hindu kerana ‘lembu’ dianggap sebagai simbol suci dalam agama Hindu.

Namun, peristiwa ‘kepala lembu’ dan bantahan penduduk Sek.23 terhadap pemindaan kuil Hindu tersebut jelas menunjukkan bahawa kerajaan PR tidak berkebolehan dan mampu mengurus hal-hal yang berkaitan dengan perkara-perkara yang melibatkan sensitivi kaum. Malah, jelas terbukti bahawa BN lebih cekap dan bijak mengurus hal-hal yang berkaitan dengan pelbagi agama rakyat Malaysia sejak merdeka.

Peristiwa ‘kepala Lembu’ jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia perlu didedahkan dengan ilmu ‘cross-cultural communication’ supaya dapat mengelakkan insiden-insiden yang menjadi batu halang kepada perpaduan nasional dalam menjayakan konsep 1 Malaysia.

Wednesday, September 2, 2009

Isu kepala lembu kerana bantahan masyarakat Islam diabaikan

Sumber: Utusan Malaysia, 2 Sept. 2009

MINGGU ini masalah kepala lembu menjadi tajuk utama dan isu negara. Maka ramailah yang membuat komen tanpa mengetahui secara khusus kenapa ia berlaku. Memang mudah menyalahkan orang. Tanpa sebab besar tidak akan berlaku tindakan sedemikian.

Artikel yang ditulis oleh Abdullah Bukahri Abdul Rahim, meminta langkah drastik diambil oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk segera mencuci tahi yang telah dipalitkan oleh kumpulan yang membawa kepala lembu.

Saya ingin menyatakan, tindakan penduduk Seksyen 23 Shah Alam adalah kerana bantahan mereka tidak diberi perhatian oleh pihak berkuasa. Kami yang tinggal di Seksyen 19 juga menghadapi masalah yang sama berhubung kuil yang telah berlarutan begitu lama.

Masalah di Seksyen 19 sudah memakan masa 21 tahun masih belum selesai hingga ke hari ini. Aduan, bantahan, perjumpaan telah dibuat oleh persatuan penduduk dan individu tetapi tidak mendapat tindakan yang sewajarnya.

Setiap kali kuil itu diarahkan berpindah pasti ada campur tangan pemimpin politik yang akan melewatkan proses itu. Campur tangan inilah yang menyukarkan pihak berkuasa untuk bertindak. Kuil itu yang pada mulanya kecil makin lama makin membesar tanpa pelan dan permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selepas bekalan air dan elektrik dimasukkan, aktiviti mereka semakin hebat. Kuil itu hanya di seberang jalan rumah penduduk Islam Seksyen 19. Apa perasaan pembaca apabila setiap hari kami terpaksa mendengar lagu-lagu Hindu yang membingitkan telinga?

Bila mereka mengadakan keramaian mereka buat perarakan di hadapan rumah penduduk Islam. Gangguan bergendang keramaian berjam-jam lamanya. Terlalu banyak masalah sampingan yang terpaksa kami hadapi jika hendak disenaraikan di sini.

Aduan terpaksa dihantar dari semasa ke semasa kepada pihak-pihak atasan. Namun bila ada campur tangan politik perkara ini sering terbantut. Gangguan bising yang dihadapi semakin teruk apabila Pakatan Rakyat mengambil alih negeri Selangor.

Sikap toleransi pemimpin Selangor telah menyebabkan gangguan yang dihadapi semakin teruk. Mereka bergendang hingga ke tengah malam mengganggu ketenteraman penduduk tempatan.

Mereka hampir semuanya datang dari luar kawasan kami. Mereka berani mengugut jika ada penduduk yang menegur mereka. Botol-botol arak bersepah di merata-rata kawasan berhampiran Jalan 19/28. Gangguan bising pemuda India mengganggu kehidupan kami.

Kami merayu bantuan dan membuat aduan kepada pelbagai pihak tetapi tiada tindak balas. Ketika keadaan sudah menjadi kronik penduduk merayu bantuan NGO Islam. Tindakan drastik yang diambil oleh NGO Islam untuk membantu penduduk menyebabkan ada sedikit perubahan apabila gangguan bising berkurangan.

Pada 29 Disember 2007 maklumat yang diterima daripada Jabatan Perancang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan kuil akan dipindahkan ke Seksyen 22.

Apabila Pakatan Rakyat berkuasa selepas Mac 2008, kuil itu hendak dipindahkan pula ke Seksyen 23, kawasan majoriti penduduk Islam. Penduduk Seksyen 23 sudah maklum apa yang dialami oleh penduduk Islam Seksyen 19, sebab itu mereka membantah. Malangnya bantahan mereka tidak diambil berat oleh kerajaan negeri dan diminta bertolak ansur. Jadi siapakah yang bersalah?

Apabila kepala lembu diusung sebagai tanda protes semua buka mata. Pelbagai bantahan kita dengar. Tetapi apabila masalah gangguan berlaku kepada orang Islam, SABARLAH!

HALI HARON

Shah Alam, Selangor

Sejarah tidak menjadi guru

MELAYU MUDAH LUPA....... (Tun Mahathir)

Oleh ZAINUDDIN MAIDIN

Sebab utama yang menyebabkan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman mengambil keputusan untuk menyingkirkan Singapura dari Malaysia ialah ucapan Perdana Menterinya Lee Kuan Yew dalam Parlimen Malaysia pada Mei 1965 mempersoalkan pemerintahan Melayu di Malaysia.

Selepas persidangan itu, Tunku ke London untuk hadir sidang Perdana Menteri Komanwel tetapi terpaksa masuk ke Hospital London kerana menjalani rawatan sakit kayap.

Beliau menulis dalam Looking Back; "The more pain I suffered, the more I directed my growing anger at him pitying Singapore for all its self impose problems. Whichever way my restless mind turned, I could not help but come to one conclusion - and that was to cut Singapore adrift from the rest of Malaysia."

Tunku juga marah dengan ucapan Kuan Yew di Dewan Masyarakat Delta Singapore di mana beliau mencadangkan "Alternative Arrangements" iaitu dengan Singapura, Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang bersatu untuk memutuskan ke arah mewujudkan Malaysian Malaysia.

Kata Kuan Yew; "Singapura tidak pernah bersetuju kepada pemerintahan Melayu apabila ia menyertai Malaysia tetapi apa yang saya setuju ialah pemerintahan rakyat Malaysia (Malaysian). Seseorang mestinya telah membuat kesilapan besar dalam membuat pertimbangan jika dia memikirkan rakyat bersetuju kepada pemerintahan Melayu dalam menyertai Malaysia."

Anggapan Kaun Yew bahawa dia mewakili orang Cina dalam membuat cadangan bagi pihak empat negeri lain telah disanggah oleh Tunku dalam interviu dengan akhbar The London Times.

Tunku menyatakan bahawa Kuan Yew bersengketa dengan Barisan Sosialis Singapura, MCA dan juga Parti Komunis Malaya yang mewakili jumlah orang Cina yang lebih besar.

Saya mengemukakan fakta sejarah ini adalah untuk mengingatkan semua pihak supaya menyedari bahawa dalam merayakan 52 tahun merdeka, kita sekarang berada dalam keadaan yang menyebabkan bapa kemerdekaan telah mencabut duri dalam daging.

Kedudukan istimewa orang Melayu, Agama Islam dan lain-lain soal sensitif yang melanggar prinsip penyelesaian kepada masalah pertikaian kaum yang disemai oleh Kuan Yew sehingga mencetuskan peristiwa 13 Mei telah menjadi perbincangan semula sehingga lembu mencabar orang beragama Hindu dan babi berselimutkan bendera UMNO mencabar orang Melayu.

Profesor Dzulkili Abdul Razak menulis dalam New Sunday Times 30 Ogos mengenai perayaan ke-52 merdeka bahawa peristiwa-peristiwa sejarah yang membawa kepada perayaan tahunan ini mesti dilawati semula.

"They say, history is a great teacher. But unless this is done in earnest, Merdeka tends to have a repetitive dampening effect in which the context is largely lost. It will reduce to a once - time cyclical happening, devoid of any meaning."

Sebenarnya inilah yang dirasakan oleh mereka yang telah menyaksikan sendiri pembinaan sejarah negara ini dari awal apabila keruntuhan fahaman terhadap keperluan menjadikan sejarah sebagai guru telah dilupakan sama sekali dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Jika kemerdekaan 50 tahun telah memberikan fahaman yang lebih mendalam daripada racun yang disemaikan oleh Kaun Yew lebih 40 tahun dahulu maka hal itu tidak akan berlaku.

Pilihan Raya Umum 2008 menyaksikan letupan dan luahan perasaan yang terpendam sekian lama yang tidak pernah mati dan hanya menunggu ketika yang sesuai untuk meledak.

Apabila Musa Hitam bekas Timbalan Perdana Menteri menyatakan bahawa kebebasan yang diberikan oleh Abdullah Ahmad Badawi tidak dapat dielakkan lagi maka beliau telah terlupa bahawa Kuan Yew dapat mengelaknya sekalipun Singapura telah lebih jauh dari Malaysia melangkah ke hadapan dalam globalisasi.

Singapura masih dengan demokrasi Dunia Ketiga walaupun berminda dunia maju tetapi Malaysia masih berminda Dunia Ketiga namun demokrasi dunia termaju.

PENULIS ialah mantan Menteri Penerangan.

Sumber: Utusan Malaysia, 1 Sept. 2009

Kepala Lembu: Bantahan Orang Melayu Terhadap Pembinaan Kuil Di Selangor

Oleh: Tulip Desa

Tulip setuju dengan Pewaris bahawa kepala lembu yang diletakkan di SUK Selangor sebagai simbolik bantahan Orang Melayu terhadap pembinaan kuil di Seksyen 23. Memang wajar Orang Melayu membantah kerana kawasan kuil itu dibina di kawasan majoriti Orang Melayu. Cuba kita fikirkan adakah Orang Cina bersetuju sekiranya masjid di bina di Cheras yang semua orang tahu itu kawasan majoriti Orang Cina. Sudah tentu apa-apa kepala akan diletakkan di SUK Selangor sebagai tanda bantahan.

Walau apa pun, bantahan tersebut menggambarkan Orang Melayu di Selangor mahu menyampaikan luahan perasaan bahawa sesuatu pembinaan rumah ibadat wajar mendapat persetujuan daripada masyarakat setempat bukannya melalui persetujuan orang yang berkepentingan sahaja. Rasanya Orang Melayu Selangor tidak marah dengan pembinaan kuil tersebut bersandarkan perpaduan dan muafakatan. Sebagai masyarakat majmuk, rakyat tahu bahawa setiap kaum bebas mengamalkan agama dan melaksanakan adat resam masing-masing.

Justeru itu, Menteri Besar Selangor harus sensitif dengan masalah yang berkisar dengan agama dan sensetiviti kaum. Jangan menafikan suara Orang Melayu berkaitan isu tersebut. Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor wajar mengkaji semula kawasan pembinaan kuil di tempat yang sesuai agar tidak lagi membangkitkan kemarahan Orang Melayu.