Thursday, October 16, 2008

Punca Proton jual saham Agusta

utusan online

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Keputusan untuk melupuskan saham Proton dalam MV Agusta Motors Spa (MV Agusta) pada tahun 2005 dibuat bagi mengelakkan syarikat kereta nasional itu menanggung hutang yang dianggarkan melebihi RM1 bilion.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan tersebut dibuat setelah pertimbangan terperinci dilakukan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, Proton pada awalnya merancang memulihkan kedudukan MV Agusta memandangkan semasa pembelian saham itu, MV Agusta menghadapi masalah kewangan dan mencatatkan kerugian.

"Tanpa suntikan kewangan tambahan oleh Proton, MV Agusta berhadapan dengan kemungkinan muflis yang akan menyebabkan kerugian yang lebih besar kepada Proton," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) di sini hari ini.

Najib berkata, pada masa sama, Proton memerlukan sumber kewangan untuk memulihkan prestasi aktiviti utamanya iaitu pembuatan dan penjualan kereta keluarannya.

Katanya, berdasarkan kekangan kewangan dan kedudukan ini, Lembaga Pengarah Proton memutus untuk melupuskan sahamnya dalam MV Agusta.

Beliau berkata, ia dibuat setelah mempertimbangkan secara terperinci kesan jangka pendek dan jangka panjang terhadap operasi, komersial dan kewangan syarikat Kumpulan Proton.

Pada Disember 2004, Proton melabur RM353 juta dalam syarikat pembuat motosikal Itali itu dengan pegangan saham sebanyak 57.75 peratus.

Najib menambah, keputusan pelupusan saham itu juga dibuat berdasarkan hasil kajian semula ke atas pelaburan Proton dalam MV Agusta oleh konsortium penasihat yang terdiri daripada beberapa syarikat antarabangsa bertauliah termasuk Credit Suisse First Boston.

Katanya, konsortium penasihat itu merumuskan empat perkara kritikal iaitu model perniagaan MV Agusta tidak boleh dikekalkan daripada segi operasi serta kewangan dan pembangunan syarikat pembuat motosikal itu memerlukan pelaburan besar berterusan bagi tempoh yang lama.

Selain itu, mereka juga merumuskan integrasi operasi MV Agusta dengan Proton tidak akan memberi skala ekonomi yang besar atau sinergi, malah terdapat kemungkinan syarikat itu jatuh muflis dan membawa risiko komersial, kewangan dan reputasi terhadap Proton.

Najib berkata, pemilihan konsortium penasihat itu dibuat berdasarkan jaringan dan pengalaman antarabangsa yang mendalam terhadap industri automotif dan kepakarannya dalam bidang berkaitan, selain daripada segi nasihat kewangan.

Beliau berkata, Proton juga mendapat khidmat nasihat ke atas nilai pelupusan saham yang wajar namun disebabkan MV Agusta mempunyai dana pemegang saham yang negatif, nilai jualan selain daripada nilai nominal sangat sukar diperolehi.

Katanya, nilai pelupusan saham selain nilai nominal juga dipengaruhi oleh aliran tunai MV Agusta yang tidak mencukupi dan tanggungan kerugian berterusan berjumlah 118.57 juta Euro bagi tempoh enam tahun sehingga 31 Disember 2005.

"Penjualan pegangan Proton dalam MV Agusta tidak boleh disamakan dengan transaksi penjualan Huqsvarna kepada BMW memandangkan keadaan masa dan kandungan urusan

itu sangat berbeza,'' katanya.

1 comment:

rayliew said...

Adalah lebih baik untuk melepaskan tanggungan berat ini dan meneruskan perjuangan barangan buatan Malaysia dan memulihkan jenama PROTON negara MALAYSIA.