Tuesday, October 14, 2008

Konsep kongsi kuasa BN masih relevan

Berita Harian Online
HANIF MOHSEIN MOHD FAUZI,
AMPANG.

BEBERAPA orang pemimpin parti Gerakan yang baru dilantik menyatakan pandangan mereka untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti pelbagai kaum tanpa membezakan parti mengikut kaum masing-masing.

Perkara ini mendapat pelbagai maklum balas daripada pemimpin parti komponen BN dan Umno. Ada yang bersetuju dan ada yang kurang bersetuju.

Saya secara peribadi berasakan idea berkenaan kurang relevan dan tidak sesuai untuk dilaksanakan. Ada beberapa faktor yang perlu diambil kira.

Antaranya ialah, masyarakat di Malaysia adalah daripada pelbagai kaum perlu diwakili oleh sebuah pertubuhan atau parti yang boleh menyuarakan pandangan serta memperjuangkan hak mereka secara langsung.

Jika diambil kira peranan dimainkan Umno, MCA dan MIC selama ini, saya berasakan parti yang mewakili majoriti kaum di Malaysia sudah berjaya. Sebagai contoh, peranan utama yang perlu dimainkan oleh Umno adalah untuk memastikan hak dan keistimewaan orang Melayu dan agama Islam terus dipelihara selaras Perlembagaan Persekutuan.

Bagi MIC dan MCA pula, kepentingan kaum Cina dan India di negara ini juga perlu dipelihara dan tidak diabaikan selaras dengan peruntukan Perlembagaan. Mana mungkin masyarakat kaum lain bercakap bagi pihak kaum lain kerana hanya mereka yang lebih memahami kehendak dan permintaan kaum mereka. Bak kata pepatah ‘hanya jauhari yang mengenal manikam.’

Selain itu, jika dilihat kepada soal kelemahan parti dalam BN, setiap parti tidak dapat lari daripada masalah masing-masing. Namun, kelemahan yang wujud dalam parti masing-masing perlu diperbaiki oleh parti itu sendiri.

Sebagai contoh, jika orang India dan Melayu berasakan masalah utama dalam MIC dan Umno adalah berhubung soal kepemimpinan, merekalah yang perlu mengubah keadaan sedia ada dan bukan mengharapkan kaum Cina untuk mencampuri urusan parti mereka. Begitu juga parti komponen lain di Sabah dan Sarawak .

Seterusnya, saya berpendapat, idea menjadikan BN sebagai sebuah parti yang tidak membezakan kaum juga tidak relevan kerana sekarang pun, BN adalah sebuah parti yang menggabungkan parti komponen di Malaysia yang bermatlamat mewujudkan persefahaman dan perkongsian kuasa.

Persoalannya, sejauh mana konsep perkongsian kuasa dalam BN itu sedia dikaji semula dan diberi penambahbaikan kepada mana perlu.

Perdana Menteri juga pernah mencadangkan supaya BN dibuka keahliannya kepada sesiapa yang berminat menyertai BN secara langsung tanpa menjadi ahli mana-mana parti komponen. Saya berasakan idea ini lebih relevan berbanding BN dijadikan sebuah parti yang tidak membezakan mengikut kaum kerana sesiapa saja yang berminat untuk menyertai BN boleh berbuat demikian tanpa memberikan sebarang komitmen kepada perjuangan yang lebih menjurus kepada sesuatu kaum semata-mata.

Namun, saya percaya, satu kajian mendalam perlu dijalankan sebelum BN melaksanakan cadangan itu demi kepentingan seluruh parti, dan seluruh rakyat Malaysia.

3 comments:

jameslau85 said...
This comment has been removed by the author.
PineappleTown said...

Salam Tuan,

Konsep Kongsi kuasa ini memang perlu diteruskan untuk kesejahteraan dan kebahagian semua lapisan kaum.

LIMAUDONG said...

Salam JR

Cadangan parti Gerakan untuk menjadi BN sebagai sebuah parti pelbagai kaum tidak relevan. Hakikatnya setiap kaum yang dalam BN juga masih lagi menuntut hak-hak masing-masing. Kita tidak dapat lari isu-isu seperti Ketuanan, Agama, Kedudukan , Peniagaan, Politik dlln. Barang siapa yang jadi Boss Besar BN (Big Brother) dalam BN ada juga yang tidak puas hati nanti dan akan keluar dan menubuhkan parti baru dan dalam masa yang sama mereka juga akan memohon sebagai adik-angkat kepada BN.
Keputusan parti Gerakan tidak mahu bekerjasama dengan Umno Pulau Pinang dan ini pula parti Gerakan mencadangkan menubuh Parti Barisan Nasional dan kemungkinan Gerakan melobi jawatan Timbalan Pengerusi Parti BN .
Kekalkan konsep kongsi kuasa dalam BN sekarang masih relevan