Dipetik dari Utusan Online
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee menyelar sikap pemimpin MCA yang kini dilihat cuba menjadi jaguh kaum sendiri sehingga sanggup bersifat hipokrit terhadap konsep permuafakatan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, daripada apa yang berlaku pada perhimpunan parti itu, pemimpin MCA ternyata menghiris hati rakannya dalam UMNO dengan mengemukakan pelbagai resolusi dan tuntutan yang mencerminkan rasa tidak hormat mereka.
''Ini khususnya dalam soal tuntutan bekas Ketua Pemudanya, Datuk Liow Tiong Lai supaya diwujudkan jawatan Timbalan Pengerusi BN kedua untuk diberikan kepada MCA. Ia jelas sesuatu yang tidak harus dilakukan oleh sebuah parti yang menjadi rakan utama UMNO.
''Beliau langsung tidak menghormati perasaan pemimpin UMNO yang menjadi tonggak kerajaan yang memerintah.
''Sebab itu tuntutan Tiong Lai itu pada saya sudah keterlaluan, melampau dan secara langsung mencabar kewibawaan UMNO sebagai rakan BN,'' katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Tiong Lai dalam ucapannya pada perasmian Perhimpunan Agung Pemuda MCA Jumaat lalu mencadangkan supaya diwujudkan dua jawatan Timbalan Pengerusi BN dengan salah satunya diisi oleh pemimpin MCA.
Syed Ali yang kini menghadiri Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York turut mempersoalkan apakah tuntutan Tiong Lai itu mampu mengembalikan kekuatan BN.
Katanya, sepatutnya Tiong Lai yang kini Naib Presiden MCA mengutarakan pandangan melalui saluran yang berhemah dan bukannya diluahkan dalam perhimpunan yang hanya untuk mendapatkan pujian dan sorakan.
''MCA patut membuktikan keikhlasan untuk terus bersama menguatkan prestasi dan perjuangan BN ketika suasana sukar seperti sekarang,'' jelasnya.
Tambah Syed Ali, kepimpinan MCA sekarang mengemukakan bermacam-macam tuntutan dan resolusi yang tidak ubah seperti kata pepatah, 'berikan betis hendakkan paha'.
Katanya, sepatutnya MCA mengutamakan agenda mengembalikan semula keyakinan dan sokongan pengundi Cina terhadap parti itu yang jelas semakin terhakis seperti yang dapat dilihat daripada keputusan pilihan raya umum lalu.
''Perhimpunan Agung MCA bukan gelanggang melepas geram atau mencetuskan provokasi politik dengan cuba membakar semangat orang Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
''Sebab itu, saya ingatkan MCA supaya jangan terikut-ikut dengan rentak pembangkang melalui sentimen agama dan kaum untuk kepentingan politik,'' tegasnya.
1 comment:
Salam JR
Pemintaan MCA sebagai Timbalan Pengerusi BN sebagai ' Munsuh dalam selimut" dan jangan dipandang ringan dan kalau dapat jangan dipertimbangkan pemohonan MCA itu.
Saya cadangkan MCA ribut balik semula kerusi-kerusi yang kalah semasa PRU-12 dan tunjukan kemenangan 100% dalam PRU ke 13 dulu barulah boleh tawar menawar jawatan TPBN.
Hello MCA bolehkah saya cadang jawatan Timbalan Pengerusi BN diberi kepada Sarawak dan Sabah baru adil iaitu Sarawak & Sabah.
Post a Comment