Thursday, October 9, 2008

Kapal selam kedua negara dilancar

CARTAGENA, Sepanyol 8 Okt. - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekali lagi mencipta sejarah hari ini selepas pelancaran kapal selam Scorpene kedua (Scorpene 2) oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah yang dinamakan sebagai Kapal Diraja (KD) Tun Razak.

Pemilihan nama kapal selam tersebut yang berkelas Perdana Menteri sebagai mengenang jasa dan pengorbanan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang banyak berjasa terhadap kemerdekaan, pemodenan dan pembangunan negara.

Dalam upacara penuh istiadat di Limbungan Navantia di sini, Tuanku Nur Zahirah melepaskan botol mengandungi air zamzam ke kapal sebagai simbolik pelancaran kapal selam kedua negara.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berangkat pada majlis itu.
Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abu Seman Yusop; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; Panglima TLDM, Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar; Duta Malaysia ke Sepanyol, Datuk Naimun Ashakli Mohammad; Panglima Tentera Laut Sepanyol, Almirante General Manuel Rebollo Gargia; Ketua Limbungan Cartagena, Manuel Filgueira Ameniros dan Presiden Navantia, Juan Pedro Gomex.

Upacara pelancaran hari ini menjadi pelengkap kepada pembelian dua buah kapal selam Scorpene oleh TLDM selepas kapal selam Scorpene pertama atau KD Tunku Abdul Rahman dilancarkan di Perancis, Oktober tahun lepas.

Malaysia membeli dua kapal selam jenis Scorpene pada 2002 yang dibina oleh DCN Shipyard International (DCNS) dan rakan kongsi dari Sepanyol, Navantia bernilai RM3.4 bilion pada 2002 dan KD Tunku Abdul Rahman telah selesai menjalani ujian sistem peperangan dan validasi pelaksanaan di Perancis.

Kapal selam itu ketika ini menjalani ujian di laut yang melibatkan pelatih Angkatan Kapal Selam TLDM dan dijangka pulang ke Malaysia pertengahan tahun depan sebelum disusuli oleh KD Tun Razak pada 2010 selepas selesai menjalani ujian-ujian di laut oleh anggota TLDM.

Dalam ucapannya, Abu Seman berkata, pembelian kapal selam oleh kerajaan adalah sebahagian daripada rancangan pemodenan Angkatan Tentera Malaysia yang merangkumi pembelian peralatan, senjata dan sistem berteknologi tinggi menggantikan peralatan usang sedia ada.
"Kami juga melihat pembelian kapal selam ini langkah penting dalam membangunkan industri pertahanan tempatan dan juga persediaan negara menghadapi sebarang bentuk ancaman serta meningkatkan kemampuan pasukan tentera," katanya.

Selain itu, katanya, memandangkan keluasan perairan yang hampir dua kali ganda berbanding daratan dan lokasi strategik di laluan perdagangan utama dunia, adalah satu keperluan untuk negara memiliki kapal selam. Malaysia juga menggunakan lebih 90 peratus pengangkutan laut untuk urusan dagangan dalam dan luar negara, mempunyai paip-paip minyak dan gas di dasar laut serta kabel komunikasi yang merentangi laut antarabangsa.

"Ini menunjukkan TLDM mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan dan kemakmuran ekonomi negara," katanya.

Abu Seman berkata, berikutan kejayaan kerjasama Malaysia, Perancis dan Sepanyol dalam industri kapal selam, kerajaan amat mengalu-alukan industri pertahanan kedua-dua negara itu sama-sama menyertai pembangunan industri kapal selam di Malaysia secara aktif.

Sumber: Utusan Malaysia ( 9 Oktober 2008)

****************************************************************************

Wira:

Sekalung tahniah kepada Kerajaan di atas pembelian kapal selam kedua negara. Kerajaan begitu prihatin dalam memastikan aspek pertahanan dan keselamatan negara sentiasa terjamin serta dilindungi sekaligus meningkatkan kemampuan pasukan tentera Malaysia dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman.

No comments: