Thursday, October 16, 2008

Perjelas isu BII, Eurocopter

utusan online

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan meminta penjelasan daripada Malayan Banking Berhad (Maybank) berhubung pembelian salam dalam PT Bank Internasional Indonesia (BII) dan Eurocopter berhubung pembelian helikopter terbaru.

Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, satu tarikh akan ditetapkan selepas ini bagi PAC mendapatkan penjelasan dan taklimat berhubung pembelian BII dan Eurocopter.

"Dalam pembelian BII, kita perlukan taklimat terlebih dulu mengenai bagaimana keputusan pembelian berkenaan dibuat sehinggakan pembayaran menjadi empat kali ganda daripada nilai asal.

"Sementara dalam isu Eurocopter, PAC akan panggil pihak yang terlibat iaitu kementerian tertentu berhubung pembelian tersebut," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat PAC yang berlangsung di Parlimen di sini hari ini.

Jelasnya, PAC memerlukan penjelasan mengenai isu BII dan Eurocopter memandangkan isu berkenaan hangat diperdebatkan di Dewan Rakyat dan media.

"Berdasarkan isu-isu yang dibangkitkan di Parlimen dan laporan akhbar, wajarlah perkara ini dilihat dengan teliti kerana rakyat memerlukan penjelasan.

"Ini tidak bermakna PAC ingin menyiasat kes Eurocopter, cuma inginkan penjelasan sahaja," katanya.

Ditanya sama ada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Menteri Pertahanan sebelum ini akan dipanggil memberikan penjelasan, Azmi menjawab, perkara berkenaan perlu diteliti oleh PAC dulu.

Tambah beliau, selain isu BII dan Eurocopter, satu lagi perkara yang perlu dijelaskan kepada PAC ialah kontrak projek jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) yang dianugerahkan kepada Telekom Malaysia Berhad.

"Tarikh bagi taklimat dan semua pihak yang berkenaan tampil memberikan penjelasan akan ditetapkan selepas ini," katanya.

Jelas Azmi, turut dibincangkan dalam mesyuarat PAC hari ini ialah sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang boleh menyebabkan rakyat terbatal kerakyatan.

"Di Sabah dan Sarawak perkara ini sering dibincangkan dan ia adalah perkara yang sensitif bagi mereka," katanya.

1 comment:

rayliew said...

Segala pembelian hendaklah dimaklumkan kepada orang ramai supaya tidak timbul rasa curiga dan tidak mudah diputar belitkan oleh pembangkang. Isu JPN membatalkan kerakyatan penduduk Sarawak dan Sabah sememangnya telah lama berlaku tetapi tidak diutarakan dalam media, masalah ini timbul kerana pegawai jabatan yang tidak bertanggungjawab dan berlakunya sindiket jualan kad pengenalan... Takkan semua perkara kita mahu bawa ke media masa,,,adalah lebih baik kita selesaikan melalui saluran yang lebih baik iaitu melalui wakil rakyat kawasan.. begitulah yang diamalkan oleh wakil rakyat Sarawak selama ini...