Thursday, October 30, 2008

Hanya atas alasan keselamatan

utusan online

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Tindakan kerajaan terhadap pertubuhan haram Hindraf dan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menahan beberapa individu baru-baru ini dilakukan semata-mata atas alasan keselamatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd. Aziz berkata, tindakan itu diambil kerana kerajaan bimbang dengan kemungkinan berlaku potensi ancaman yang lebih besar kepada rakyat dan negara.

''Kita ambil tindakan itu atas kepentingan ramai," katanya ketika menggulung Bajet 2009 pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan tidak tertekan dengan desakan pihak tertentu dalam mengambil tindakan sedemikian.

''Sekiranya kita tidak mengambil tindakan tepat untuk menghentikan sesuatu kemungkinan, ia boleh menyebabkan ancaman yang lebih besar berlaku," katanya.

Nazri menegaskan, kerajaan juga tidak pernah membenci masyarakat India apabila bertindak mengharamkan Hindraf dan mengambil tindakan terhadap para pemimpinnya.

Jelasnya, prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Mac lalu tidak menyebabkan kerajaan bertindak balas dengan menindas kaum bukan Melayu.

''Saya boleh beri jaminan walaupun sebenarnya pada hari ini kita terjejas sedikit dari segi jumlah kerusi tetapi ia bukan alasan untuk kita menindas bangsa lain," ujarnya.

Malah, katanya, beliau memenangi pilihan raya umum lalu kerana adanya sokongan daripada pengundi Cina dan India.

Menurut Nazri, beliau juga bersetuju dengan pandangan ramai bahawa dalam usaha kerajaan membantu kaum Melayu, kaum lain juga perlu dipastikan hak mereka dan tidak boleh ditindas.

1 comment:

rayliew said...

MEMANG WAJAR MEREKA YANG MENGANCAM KEAMANAN NEGARA DITANGKAP...TANGKAPLAH DAN HADAPKANLAH KE MAHKAMAH...

PERPADUAN DAN KEAMANAN NEGARA ADALAH LEBIH PENTING....