Tuesday, October 14, 2008

MEMO ISU LADANG DAGING BABI DIHANTAR LAGI

SHAH ALAM 13 Okt. - Pergerakan Perpaduan Islam Malaysia (PPPIM) dan Majlis Muafakat Kebangsaan Melayu Malaysia (MMKMM) hari ini sekali lagi menghantar memorandum bagi mendesak kerajaan negeri memindahkan projek ternakan babi mega di Kampung Tumbuk, Sepang, ke salah sebuah pulau atau kawasan yang jauh dari penempatan orang ramai.
Memorandum yang pernah dihantar kepada pejabat Menteri Besar Selangor itu diserahkan sendiri oleh wakil kedua-dua NGO tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Selangor, Yaakob Sapari di pejabatnya, pada pukul 4 petang ini.

Pengerusi PPPIM, Datuk Zulkifli Mohamad ketika ditemui pemberita berkata, memorandum itu dihantar selepas Yaakob mendakwa tidak pernah menerima atau membaca memorandum berkaitan yang diserahkan kepada pejabat Menteri Besar Selangor pada 5 Ogos lalu.
Selain itu, kata beliau, pihaknya juga ingin mengulangi desakan agar kerajaan negeri segera mengalihkan lebih 100 kandang ternakan babi yang kini jumlahnya mencecah 600,000 ekor di Kampung Tumbuk dan kampung-kampung lain di sekitarnya ke tempat yang sesuai.

''Lebih 50,000 penduduk di 18 buah kampung Melayu yang penduduknya beragama Islam amat berharap kerajaan negeri mengalihkan ladang babi sedia ada dan memindahkan tapak projek babi mega yang sedang dirancang ke tempat lain.

''Jika perkara ini tidak diselesaikan secara musyawarah, ia dikhuatiri akan menjadi serius kerana melibatkan kepentingan ramai orang," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Tumbuk, Mohamad Tarmudi Tushiran pula berkata, kerajaan negeri dan pihak berkuasa diminta memantau kegiatan jenayah dan tidak bermoral yang berlaku di kawasan kandang babi seperti penyeludupan rokok dan pelacuran.

''Sebelum ini, kita pernah buat laporan dan ada tindakan dibuat tetapi kini perkara itu kembali menjadi-jadi," dakwanya.
Tambah beliau, paling dikesalkan ialah terdapat penternak babi meninggalkan seekor bangkai babi di tepi jalan di Kampung Kundang baru-baru ini tanpa memikirkan sensitiviti penduduk kampung yang hampir kesemuanya beragama Islam.

Sementara itu, Yaakob berkata, semua desakan, bantahan dan cadangan termasuk mencari lokasi baru yang dibuat oleh orang ramai mengenai projek ternakan babi mega akan dikaji dan disalurkan dalam satu jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan semua masalah berbangkit mengenai projek itu akan selesai akhir tahun ini.

''Semuanya akan diputuskan hasil kajian jawatankuasa yang terlibat,'' katanya.
Yaakob juga menjelaskan bahawa pihaknya memang tidak pernah menerima memorandum daripada PPIM atau salinan memorandum daripada pejabat Menteri Besar Selangor.
habis.

1 comment:

LIMAUDONG said...

Salam JR

''Semuanya akan diputuskan hasil kajian jawatankuasa yang terlibat,'' katanya,
Yaakob juga menjelaskan bahawa pihaknya memang tidak pernah menerima memorandum daripada PPIM atau salinan memorandum daripada pejabat Menteri Besar Selangor."

Komen: Memorandum telah diserah kepada Pejabat KM pada 5/8/2008 tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil. Semua ini boleh kita katakan " melepaskan batuk di tangga" .Kerajaan PR di Selangor adalah kerajaan boneka DAP yang inginkan ladang ternakan babi ini teruskan dan tidak menghormati kaum Islam dipersekitaran Selangor