oleh: Citra Adora
Baru-baru ini Gerakan iaitu salah satu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) telah membuat satu kenyataan bahawa semua parti komponen dalam BN perlu dibubarkan dan diganti dengan sebuah parti pelbagai kaum. Rasional cadangan mereka ini adalah kerana merasakan parti BN yang ada sekarang ini hanya tertumpu kepada satu kaum majoriti dalam satu-satu parti, maknanya bersifat perkauman.Gerakan adalah sebuah parti yang keahliannya terdiri daripada berbilang kaum, majoriti ahlinya adalah kaum Cina. Hanya sedikit keahlian daripada kaum-kaum lain. Barisan peneraju utama parti ini adalah berbangsa Cina.
Kenyataan Gerakan berhubung pembubaran BN ini pastinya mengundang rasa jengkel dan tidak senang parti komponen BN lain khususnya UMNO yang telah lama wujud sebelum Malaysia mendapat kemerdekaan dan penubuhan parti Perikatan lagi (kini Barisan Nasional).
Umum mengakui dan menyedari bahawa BN dianggotai oleh UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan beberapa parti komponen lain adalah begitu mantap dan kukuh hasil daripada konsep perkongsian kuasa yang dipersetujui dan dimeterai bersama sejak dahulu lagi.
Cadangan Gerakan agar BN dibubarkan menjadi satu parti berbilang kaum (single and multi-racial party) adalah tidak munasabah dan relevan serta tidak mengambil kira survivor politik serta sensitiviti rakan komponen lain yang telah lama wujud sebelum Gerakan seperti UMNO, MCA dan MIC. Sudah pastilah parti-parti ini tidak ingin terkubur begitu sahaja setelah berhempas-pulas memastikan survival parti masing-masing untuk terus kukuh berdiri sejak zaman pramerdeka lagi. Masakan UMNO, MCA dan MIC senang-senang mahu dikuburkan begitu sahaja.
Saya selaku orang Melayu, ahli muda UMNO dan rakyat marhaen amat menyokong kenyataan Menteri Penerangan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek bahawa sebarang cadangan untuk mewujudkan BN sebagai satu parti pelbagai kaum adalah ibarat seperti membubarkan UMNO yang selama ini merupakan tunjang kepada kerajaan yang memerintah yakni BN.
Gerakan perlu sedar bahawa UMNO adalah parti dominan dalam BN yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan kerajaan BN selama 51 tahun memerintah Malaysia yang mana telah mengharungi pelbagai cabaran dan ujian namun tetap berjaya menangani segala onak dan duri untuk membangunkan Malaysia.
Gerakan melihat UMNO seolah-olah sebagai punca prestasi buruk BN dalam Pilihan raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu. Kononnya konflik dalaman UMNO telah menjejaskan keutuhan BN. Padahal hakikat sebenar ialah beberapa parti komponen BN yang lain termasuklah Gerakan telah kalah teruk dalam pilihan raya tersebut. Parti UMNOlah yang telah menyelamatkan maruah BN untuk terus menang dan mentadbir negara meskipun tidak mendapat dua pertiga majoriti undi. Lima negeri jatuh ke tangan pembangkang. Tsunami politik yang paling buruk melanda negara dan kerajaan BN. Jadi di mana silapnya berhubung perkara ini? Adakah parti komponen BN benar-benar bekerjasama dengan UMNO? Tepuk dada tanya selera. Gerakan perlu mengubah sikap dan tidak terus-terusan menuding jari kepada UMNO seolah-olah bersalah dan perlu bertanggungjawab atas kekalahan teruk dalam PRU 12.
UMNO meskipun merupakan parti dominan telah banyak memberi apa yang diinginkan oleh parti komponen lain. UMNO tidak membeza-bezakan keistimewaan antara parti-parti komponen. Semuanya dilayan sama rata, tiada bersifat perkauman. Konsep perkongsian kuasa dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab, jujur, telus dan prihatin. Konsep kesepakatan dan perundingan yang diguna pakai diterima oleh semua pihak. UMNO juga tidak memperhambakan parti-parti komponen dalam BN tetapi UMNO memang perlu bertegas dalam membuat sesuatu keputusan berhubung beberapa perkara yang melibatkan ketuanan Melayu dan Perlembagaan Negara. Keistimewaan hak-hak orang Melayu tidak boleh disangkal dan diperkotak-katikkan kerana realitinya orang Melayu adalah kaum pribumi Malaysia.
Jika dibandingkan antara UMNO dan Gerakan, ia umpama langit dengan bumi. UMNO memiliki infrastruktur yang luas di mana keahliannya ada di merata-rata di seluruh pelosok tanah air baik di kampung-kampung mahupun di bandar-bandar. Manakala Gerakan hanya dianggotai oleh mereka yang tinggal di bandar. Sesungguhnya Gerakan belum layak untuk menentang UMNO jika mereka berhajat untuk berbuat demikian.
UMNO masih relevan dan tidak perlu dirombak, dibubar, diruntuh atau sebagainya. Jika UMNO hancur, maka akan hancurlah perjuangan politik orang Melayu di buminya sendiri. BN sekarang masih tetap utuh dan stabil untuk terus memperjuangkan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.
Peranan UMNO sebagai parti teras dalam BN perlu dikekalkan bagi terus memimpin parti-parti komponen lain. UMNO adalah model terbaik sebuah parti yang berjaya menyatu-padukan masyarakat majmuk di Malaysia sekali gus memartabatkan Malaysia di persada dunia.
No comments:
Post a Comment