Monday, January 5, 2009

Wan Farid serah surat letak jawatan

KUALA TERENGGANU 4 Jan. - Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (gambar) sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Timbalan Menteri dan Senator tiga hari lalu.

Wan Ahmad Farid berkata, surat berkenaan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh melalui Setiausaha Sulit Kerjanya, Zulkifli Abidin.

''Surat peletakan jawatan saya sebagai Senator dan Timbalan Menteri telah diserahkan dan ia berkuatkuasa esok," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Wan Ahmad Farid meletakkan dua jawatan itu bagi membolehkan beliau bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan yang ditetapkan pada 17 Januari.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu.

Wan Ahmad Farid sebelum ini menyatakan beliau tidak akan menyesal melepaskan jawatan tersebut kerana melakukannya demi kepentingan parti.

"Sebagai pemimpin parti politik kita perlu meletakkan kepentingan parti berbanding peribadi.
"Apabila parti meminta kita menawarkan diri, kita perlu bersedia mengikut arahan parti," katanya
***********************************************************************************************
PutriMalaysia
"Berkorban demi kepentingan rakyat Kuala Terengganu"

No comments: