Saturday, January 10, 2009

Hudud: Pakatan Rakyat semakin tidak sehaluan

KUALA TERENGGANU 9 Jan. - Pertikaian di kalangan pemimpin pembangkang mengenai hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud menunjukkan pakatan mereka tidak boleh membentuk kerajaan yang mempunyai dasar bersama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, parti-parti pembangkang tidak mempunyai polisi bersama, cuma ada pakatan yang agak longgar yang tujuannya hanya untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, pakatan yang longgar menyebabkan semakin hari semakin banyak perbezaan pendapat timbul di kalangan pemimpin pembangkang.

"Apa yang berlaku sekarang jelas menggambarkan mereka tidak ada pendirian bersama.
"Mereka tidak boleh membentuk satu kerajaan yang mempunyai dasar bersama," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan menolak hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud sekiranya berjaya memerintah negara ini.
Anwar juga dilaporkan menolak teguran Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyatakan hukum hudud tidak menepati Perlembagaan Persekutuan dengan menyifatkan kenyataan itu bersifat umum.

Mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu tidak perlu menjelaskan kepada rakyat bukan Islam mengenai hudud sebaliknya mahu menjelaskan perkara itu kepada UMNO kata Najib, perkara itu tidak perlu.

Ini kerana menurutnya, sikap pemimpin pembangkang itu menjelaskan bahawa mereka sebenarnya bermain politik sejak dari awal isu hudud dibangkitkan.

"Tak payah hendak jelaskan kepada UMNO, mereka sebenarnya main politik dari mula isu hudud ini," jelasnya.

Beliau percaya ramai pengundi bukan Islam tidak senang hati dengan apa yang dinyatakan pemimpin Pas itu mengenai pelaksanaan hukum hudud.
Sumber: Utusan Malaysia (10 Jan. 2009)
*******************************
Citra Adora:
Isu hudud ini telah lama dibahaskan oleh PAS. Namun ia ternyata hanyalah isu basi yang sering dibangkitkan demi meraih sokongan penyokong-penyokongnya bagi menentang BN. Saya amat yakin jika PAS berjaya memerintah, PAS pasti tidak akan mengimplementasikan hukum ini. Isu ini hanya mainan politik mereka semata-mata.
Masakan PAS dapat melaksanakan hukum hudud apabila parti gabungannya dalam Pakatan Rakyat terutama DAP tidak merestui niatnya. Jelas kini ikatan Pakatan Rakyat semakin longgar, tetapi DAP dan PKR berpura-pura kononnya setuju isu hukum hudud dijadikan bahan kempen PAS semata-mata untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu sahaja.

No comments: