Tuesday, January 13, 2009

Wan Ahmad ikrar bawa suara rakyat ke Parlimen

WAN Ahmad Farid (kiri) mengangkat Fatimah Abdullah yang menderita penyakit saraf untuk dihantar ke Hospital Besar Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu di Kampung Masjid, Batu Burok, semalam.

CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menyifatkan semua pengundi di Kuala Terengganu, termasuk penyokong parti pembangkang adalah majikannya. Katanya, jika diberi mandat sebagai wakil rakyat dan sebagai seorang pekerja, beliau akan bekerja untuk semua penduduk daerah Kuala Terengganu tanpa mengira agama, bangsa, usia, budaya serta fahaman politik. "Suara dan kehendak pengundi tanpa mengira latar belakang akan diterjemahkan di Parlimen," katanya ketika ditemui selepas diwawancara Pengarang Berita Online Berita Harian, Zainuddin Isa di Pusat Media The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Permai Inn, di sini, semalam.
Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kekosongan kerusi apabila penyandangnya, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail meninggal dunia di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands pada 28 November lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari mengundi pilihan raya kecil yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Wan Ahmad Farid; Mohd Abdul Wahid Endut (Pas), manakala Azharudin Mamat @ Adam (Bebas). Wan Ahmad Farid yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu berkata, setiap seorang penduduk yang berdaftar sebagai pemilih tanpa mengira kedudukan, kaya atau miskin hanya mempunyai satu undi.
Katanya, undi mereka termasuk orang kurang upaya (OKU) adalah mustahak dan besar maknanya kepada semua calon yang bertanding. Ketika mengulas isu dibangkitkan pengundi hasil kempen dari rumah ke rumah yang diadakan, Wan Ahmad Farid berkata, banjir kilat yang melanda di kawasan Parlimen Kuala Terengganu bulan lalu antara isu besar disuarakan pemilih. Katanya, banjir kilat itu berpunca daripada sistem saliran yang ada tidak mampu menampung jumlah air disebabkan hujan yang melanda di negeri ini melebihi daripada kadar biasa. "Kita sudah mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim. Sebanyak RM59.5 juta akan dibelanjakan untuk projek saliran bandar fasa dua sejauh kira-kira 18 kilometer, termasuk RM2.5 juta bagi menyediakan sistem perparitan jejari di sekitar bandar Kuala Terengganu,” katanya.
Sumber: Berita Harian, 13 Januari 2009
***************************************
Tulip Desa

Janji calon BN, Wan Ahmad Farid, akan bekerja untuk semua penduduk Kuala Terengganu tanpa mengira usia, bangsa, agama, budaya dan fahaman politik apabila menjadi wakil rakyat. Pada Tulip janji tersebut menggambarkan kesungguhan beliau untuk menabur bakti sebagai wakil Kerajaan untuk membawa kehidupan rakyat Kuala Terengganu kepada yang lebih baik dan selesa. Berilah beliau peluang untuk membuktikan bahawa Kerajaan Barisan Nasional adalah yang terbaik dalam memacu pembangunan negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat bagi menangkis tohmahan Pakatan Rakyat yang senantiasa mendakwa Kerajaan Barisan Nasional tidak membela nasib rakyat.

No comments: