Sumber: Mingguan Malaysia, 11 Januari 2009
Mukadimah
TANPA menghiraukan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, rejim Zionis dengan angkuh meneruskan misi membunuh dan melanyak penduduk Genting Gaza. Dunia tahu ada ‘tangan’ Amerika Syarikat (AS) di sebalik keberanian Israel mendabik dada kepada dunia bahawa rejim itu kini menjadi the last colonial power on earth.
Hubungan erat di antara AS yang bertindak sebagai God of the world dan Israel yang kini menjadi the most powerfull political nation adalah jawapan kepada persoalan mengapa sebahagian daripada dunia porak-peranda.Percaturan politik dunia terutama di Asia Barat itu menurut Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim amat berkait rapat dengan cita-cita rejim Zionis untuk meluaskan empayarnya baik dari sudut agama, politik dan ekonomi.
Yang dikesali ialah kecacatan Israel-AS yang buta untuk melihat mayat penduduk Palestin yang tidak berdosa bergelimpangan dan tuli untuk mendengar suara dunia agar keganasan dihentikan.Rais ketika diwawancara wartawan Mingguan Malaysia NORAINI ABD. RAZAK dan KHUZAIRI ISMAIL merumuskan keganasan Israel itu sebagai lantunan imej kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang juga terpaksa sujud di kaki AS. Begitu juga dengan Liga Arab yang amat teragak-agak untuk memperjuangkan nasib negara anggota hanya kerana menjaga kepentingan hubungan dengan AS dan Israel.
Menurut Rais, hanya jalinan perpaduan yang tulen di kalangan negara Islam dapat menangkis keangkuhan AS sekali gus mengekang keganasan Israel.“Kita tidak ada kuasa dan lunas untuk berjuang menterjemahkan kuasa kepada bentuk fizikal. Keupayaan itu mesti kita cari”.
MINGGUAN: Resolusi yang diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) hasil inisiatif Malaysia supaya Israel menghentikan serangan menerusi gencatan senjata tidak dipedulikan. Bagaimana Datuk Seri melihat perkembangan ini?
DR. RAIS: Tindakan rejim Zionis yang terus menyerang seketika selepas Resolusi Majlis Keselamatan PBB itu dibuat dua hari lalu, mencerminkan apa sebenarnya jenis manusia yang dipanggil Zionis itu. Melalui kacamata Judaism, Zionis memandang hina terhadap manusia lain yang mereka anggap hanya ‘isi dunia’ sahaja. Mereka menganggap hanya diri mereka yang bertaraf “manusia pilihan Yahweh” (Tuhan) mereka. Inilah sebab utama kenapa Hitler hampir melenyapkan orang Yahudi di Jerman dan Eropah.
Tindakan Israel terus menyerang itu bukan tamparan kepada Malaysia, Brazil dan lain-lain negara yang bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib kemanusiaan di Gaza. Sebaliknya perbuatan itu adalah tamparan khusus kepada PBB dan dasar keamanan sejagatnya yang setakat ini gagal mengatasi sifat pemusnah Zionis. Fakta bahawa Amerika Syarikat (AS) berkecuali dalam membuat keputusan Majlis Keselamatan PBB itu juga mencerminkan siapa sebenarnya yang memperkasa dan mendalangi Israel. Jika hanya Israel bertindak bersendirian, ia sudah lama hancur-lumat ‘dikerjakan’ oleh Palestin dan sekutunya.
Jadi sebenarnya keganasan rejim Zionis ke atas penduduk Palestin amat berkait rapat dengan faktor agama?
DR. RAIS: Tindakan Israel sebenarnya adalah untuk meneruskan ideologi agama mereka yang memandang rendah terhadap manusia lain yang tidak seagama dengan mereka atau tidak sehaluan falsafah hidup dengan Yahudi. Terdapat satu falsafah dalam Judaism yang menganggap manusia selain daripada penganut agama itu dianggap tidak setaraf dengan mereka.
Jadi kelangsungan daripada situ kita dapati tindakan keganasan Israel ke atas Gaza adalah penerusan bagi mencapai tahap bukan sahaja dari sudut politik tetapi juga dari sudut ideologi keagamaan. Memang tindakan Israel boleh dilihat cuba melupuskan Palestin sebab dulu pernah dilakukan dan pernah juga dinyatakan bahawa peperangan ini adalah peperangan agama.
Sejarah pernah menunjukkan bahawa asal usul Islam dan Yahudi adalah Nabi Ibrahim dan kemudian anaknya Nabi Ismail seterusnya Nabi Yakub. Kalau dari segi itu mereka tidak seharusnya berbunuhan. Tetapi fakta bahawa mereka berbunuhan tidak dapat diselesaikan dengan soal politik.
Jadi apa jalan penyelesaiannya?
DR. RAIS: Justeru banyak pihak berpendapat bahawa ini adalah perang agama terutamanya di pihak Israel. Pandangan saya pastinya akan dikritik tetapi sebenarnya itulah yang berlaku. Ini juga menunjukkan dialog dan persidangan agama yang dilaksanakan sebelum ini adalah gagal. Ini kerana yang berkudis di tempat lain tetapi yang diubat di tempat yang lain.
Tinggal lagi sebagai manusia kita mesti ada harapan. Dalam kumpulan Yahudi pun ada yang liberal dan pragmatik. Tapi kumpulan itu tidak dicari bersungguh-sungguh. Di sebelah pihak Palestin pula kalau Yasser Arafat masih hidup, mereka sebenarnya mempunyai kekuatan. Tetapi Presiden Palestin Mahmoud Abbas tidak dilihat sebagai seorang lagi Yassir Arafat.
Di sebelah Israel juga kekuatan tentera Yahudi disokong oleh Amerika Syarikat. Tetapi tiada sokongan di pihak Palestin melainkan sokongan kewangan secara diam-diam dari beberapa negara seperti Iran dan Arab Saudi. Kejayaan Palestin mesti dikuatkan dari segi ekonomi dan pertahanannya sebab mereka tidak akan berjaya dan hancur kalau bersendirian.
Apa yang mampu kita buat sekarang ialah melahirkan pandangan yang positif supaya konflik Palestin dilihat dari perspektif sebenar. Kita yang berada beribu-ribu batu jauhnya dari Palestin tidak akan dapat menyelesaikan konflik di sana, tetapi kita cuba memberi idea supaya pemikiran dan prosesnya itu menelurkan satu penyelesaian pada jangka panjang.
Apa jadi kepada pertubuhan-pertubuhan dunia yang seolah-olah merelakan Israel bermaharajalela di Palestin sejak 1948? Di mana peranan mereka?
DR. RAIS: Keadaan ini dapat merumuskan beberapa pandangan. Pertama, gagalnya Liga Bangsa-bangsa (League of Nations) dahulu dan sekarang gagalnya pula Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memainkan peranan lantaran badan-badan ini sentiasa di kekang oleh AS. Oleh kerana kedudukan AS yang melibatkan persenjataan dan kekayaan yang luas serta begitu berkesan, maka dunia sebenarnya dikongkong oleh kuasa-kuasa ini.
Jadi dalam soal ini apa yang boleh dilaksanakan oleh PBB sangat terhad. Justeru negara-negara Islam perlu menerima hakikat jika mereka tidak mempunyai perancangan sendiri maka Palestin akan terus dalam keadaan sedikit demi sedikit dikurangkan oleh Yahudi dan Israel.
Kita tidak menyatakan bahawa PBB itu sepenuhnya tidak memainkan peranan, sebaliknya kita masih boleh meletakkan harapan sekiranya satu mandat itu diputuskan secara prosedur yang tepat.Prosedur pertama ialah menerusi Majlis Keselamatan yang harus membuat keputusan. Malangnya, keputusan yang berbentuk resolusi setakat ini dipermainkan oleh kuasa besar khususnya AS. Maka kuasa itu telah memendapkan resolusi yang dibuat. Dalam keadaan sedemikian hanya satu lagi kuasa kolektif yang ada iaitu menerusi resolusi perhimpunan khas (special assembly).
Inilah yang negara telah perjuangkan dan Wisma Putra menggunakan saluran diplomatik tertinggi ini termasuk secara mengirim surat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada semua Perdana Menteri di bawah sayap PBB, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Liga Arab, Asean dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa lain.
Kesannya sudah jelas bahawa PBB telah menerima surat ini selain surat dari Brazil. Kedua-dua kesannya ialah dengan mengadakan sidang khas pada 8 Januari lalu di New York. Ini sudah diketahui umum merupakan satu peranan yang cemerlang dari segi perjuangan Malaysia.
Biarpun telah diputuskan resolusi.
Keganasan Israel di Gaza terus mendapat kutukan dunia. Ia sepatutnya memberi tekanan kepada PBB untuk memastikan resolusi yang diputuskan dilaksanakan secara berkesan bukan sekadar beresolusi?
DR. RAIS: Memang ada petanda positif dan kita tidak boleh memandang remeh terhadap suara dunia yang begitu kuat menentang tindakan Israel. Sebenarnya Israel sekarang sudah menterjemahkan tindakannya ke dalam bentuk perang apabila semua isyarat dan syarat-syarat kepada wujudnya peperangan itu sudah ada. Antaranya menggunakan kekerasan udara dan darat serta melakukan pembunuhan. Ketiga-tiga ini sudah wujud di Gaza dan dengan itu menjadikan tindakan Israel ketika ini dianggap sebagai peperangan.
Lantaran itu pandangan dunia sekarang terhadap Israel ialah satu negara yang menceroboh, satu negara yang menyeksa kemanusiaan dan satu negara yang perlu diambil tindakan hukuman antarabangsa. Jadi memanglah dunia berharap supaya PBB bertindak dan salah satu caranya dengan mengawasi pemberhentian serangan Israel.
Resolusi daripada perhimpunan agung khas pernah berjaya ketika peperangan di Korea, begitu juga beberapa tindakan dalam krisis di Darfur dan Bosnia suatu ketika dahulu. Tetapi kita juga harus sedar tidak semua resolusi itu berjaya kerana adanya permainan kuasa tertentu.
Bagaimanapun di situ ada landasan-landasan untuk kita menaruh harapan. AS sendiri ketika ini faham jika mereka keterlaluan bermain dengan politik, maka dengan keadaan ekonomi negara itu yang semakin teruk, mereka juga akan dihimpit oleh dunia bebas. Saya yakin perkara-perkara ini berada dalam pemikiran Presiden baru AS iaitu Barack Obama yang akan mewarisi segala perkara yang dahsyat dari George W. Bush. Untuk itu kita akan tunggu setakat mana kebijaksanaan AS. Menerusi lunas diplomasi, Malaysia akan terus memainkan peranan supaya suara kita tidak akan terhenti setakat itu saja. Kita berharap Liga Arab khususnya juga memainkan peranan yang sama.
Dalam konflik di Asia Barat, Liga Arab dilihat gagal memainkan peranan. Apa sebenarnya yang mengekang pergerakan Liga Arab ini?
DR. RAIS: Liga Arab sebenarnya berdepan dengan dilema keyakinan. Banyak pihak melahirkan pandangan bahawa Liga Arab tidak dapat menyelesaikan masalah di negara Arab kerana perkara-perkara yang ada di depan mereka. Kalau persoalan Hamas yang timbul dalam konflik ketika ini, kita harus menyatakan bahawa dunia luar melihat Hamas semata-mata sebagai pemberontak atau kumpulan yang menaja keganasan.
Mereka lupa bahawa Hamas juga menjalankan kegiatan amal seperti membina hospital dan sekolah. Malah, Hamas sendiri dipilih oleh rakyat Gaza sebagai pihak berkuasa. Perkara ini tidak pernah ditimbang oleh masyarakat dunia atau Liga Arab.
Malaysia sebaliknya dalam perkara ini mempunyai pandangan yang sangat adil. Apa yang dilakukan oleh Hamas dalam bentuk yang baik kita terima sebagai penaja kebaikan. Apa yang dianggap sebagai teroris, maka Hamas terpaksa berhadapan dan menjawab tentang perkara itu. Apa yang penting ketika ini kita perlukan resolusi ini diterjemahkan dalam tindakan PBB.
Masalah Liga Arab juga ialah keseganan mereka terhadap AS. Liga Arab tidak bersatu sesama mereka dalam menghadapi sesuatu isu termasuk krisis di Palestin. Mesir yang bersempadan dengan Israel misalnya rapat dan mempunyai hubungan diplomatik dengan negara Yahudi itu. Begitu juga dengan Jordan dan Turki yang turut mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
Tetapi 13 buah negara lain tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan di situ sendiri pun sudah menunjukkan bahawa mereka tidak bersama. Selain itu kepentingan ekonomi juga menyebabkan mereka tidak sekutu dalam penentuan haluan politik. Misalnya dari segi pandangan Mesir, mereka dapat sekitar empat bilion dolar setahun dalam bentuk sumbangan dari AS.
Jadi kemungkinan dalam keadaan ekonomi dan sosio mereka, bantuan itu perlu diterima. Maka agak lunak untuk Mesir berhadapan dengan kekuasaan dan kekerasan yang dikenakan Yahudi apatah lagi AS ke atas Palestin.
Selain itu kita dapati dasar pentadbiran negara-negara Liga Arab juga masing-masing berbeza. Tidak pernah kita dapat lihat satu suara menerusi Liga Arab. Kita tidak memandang rendah kepada Liga Arab tetapi Liga Arab mulai hari ini memikirkan dari sudut survival umah Islam yang sebenar.
Adakah mereka terlibat untuk ke tahap yang positif atau sekadar menyatakan pandangan individu dalam Liga Arab. Saya pernah bercakap dengan Abu Musa iaitu Setiausaha Agung Liga Arab, walaupun meyakinkan tetapi praktisnya belum dapat kita lihat.
Jadi sama-samalah kita berdoa sebagai saudara seagama supaya Liga Arab akan lebih kuat dan bersatu. Tetapi ini lebih mudah untuk kita bercakap tetapi sukar dilaksanakan.
No comments:
Post a Comment