Tuesday, January 6, 2009

Pembangkang Makin Terdesak, Muflis Isu

Oleh Adnil Mohd
(WEB PEMUDA UMNO MALAYSIA)

Kuala Terengganu -- Pembangkang yang muflis isu cuba mengalihkan perhatian rakyat apabila menuduh kerajaan melakukan rasuah politik berikutan pengumuman beberapa projek pembangunan kerajaan menjelang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Sambil menyelar sikap pembangkang, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dakwaan itu dibuat untuk menutup kelemahan parti pembangkang yang gagal melakukan sesuatu untuk membela rakyat.

"Semua pelaksanaan projek kerajaan dibuat dengan perancangan, penuh tanggungjawab dan kesedaran.
''Tuduhan itu tidak berasas, melampau dan cuba mengelirukan rakyat. Mereka buat tuduhan sebab mereka sendiri tidak mampu melaksanakan pembangunan.

"Mereka cuba tutup kelemahan mereka sendiri apatah lagi dengan ketiadaan modal isu untuk mereka menyerang Barisan Nasional ketika ini", katanya.

Tambah beliau lagi apa yang cuba dilakukan oleh pembangkang ketika ini adalah memesongkan fikiran rakyat khususnya pengundi di sini yang terbukti sentiasa menikmati pembelaan dan pembangunan yang dilakukan kerajaan BN.

"Mereka mula serang peribadi dan lempar pelbagai dakwaan yang tidak berasas. Ini bukti mereka cukup terdesak", ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran seterusnya berkata, semua yang diputuskan adalah sebahagian perancangan yang termasuk dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan sedia ada.

''Projek pembangunan ini semuanya berada dalam perancangan kementerian.

"Apa yang kita buat dan putuskan secara kebetulannya ia diumumkan di Kuala Terengganu dan ia meliputi kepentingan sekolah di seluruh negara dan pelbagai isu lain termasuk kemasukan anak kita ke sekolah," katanya.

Tambahnya lagi setiap projek pembangunan kerajaan akan dilakukan menurut perancangan tanpa mengira semasa atau sebelum pilihan raya.

No comments: