Saturday, January 10, 2009

Pakatan Rakyat Goyah Kerana Tiada Pendirian

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Najib Razak berkata, parti politik dalam Pakatan Rakyat tidak pernah mempunyai pendirian dan dasar yang sama sehingga menyebabkan pakatan itu kini semakin rapuh serta goyah. Timbalan Perdana Menteri berkata, Pakatan Rakyat yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP tidak mempunyai dasar bersama dan apa yang ada hanya persefahaman longgar yang bertujuan menumbangkan Barisan Nasional (BN). "Saya selalu kata mereka tidak boleh membentuk kerajaan yang mempunyai dasar bersama. Inilah yang menyebabkan dari sehari ke sehari banyak perbezaan pendapat dalam Pakatan Rakyat,” katanya merujuk pertikaian berterusan antara Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu hudud.

Najib berkata demikian selepas merasmikan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta pengumuman penawaran Program Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan Universiti Darul Iman (UDM) di sini, semalam. Hadir sama pada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Menyentuh kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ceramahnya semalam bahawa parti itu mahu 'mengajar' Umno berkaitan hudud, Najib berkata, isu itu hanyalah mainan politik Pas sejak dulu lagi
Abdul Hadi dalam ceramahnya mendakwa Pas tidak perlu menjelaskan isu hudud kepada bukan Islam, sebaliknya kepada Umno kerana orang bukan Islam, termasuk DAP lebih memahami bahawa mereka bebas memilih undang-undang sivil atau Islam. “Tak perlu nak menyekolahkan Umno kerana mereka (Pas) ini main politik dari mula lagi. Dalam isu hudud ini, saya percaya ramai pengundi bukan Islam tidak senang hati dengan apa yang dinyatakan pemimpin Pas,” katanya. Mengenai perkembangan kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Najib berkata, beliau berpuas hati dengan gerak kerja jentera BN. “Jentera kita bergerak lancar, baik dari sayap, komponen dan juga Menteri Besar serta calon sendiri (Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh) manakala yang lain berusaha menemui pengundi seramai mungkin.

“Kita cuba meyakinkan pengundi bahawa yang penting sekali ialah kita perlukan seorang wakil rakyat yang boleh membawa perubahan dan berkhidmat dengan berkesan di kawasan ini. Walaupun pembangkang cuba membangkitkan isu lain, perkara teras di sini ialah siapa yang terbaik untuk pengundi Kuala Terengganu. "Kita bercakap mengenai realiti, bukan retorik. ..bukan hanya mengadakan seorang wakil (dalam Dewan Rakyat). Kita bercakap mengenai keupayaan bercakap dalam dewan dan berupaya menyelesai dan membawa perubahan dan mencari peruntukan. Dalam hal ini jelas sekali calon BN lebih berkesan daripada calon atau wakil rakyat pembangkang,” katanya. Ditanya tindakan pembangkang masih mempersoalkan pembinaan beberapa ikon tertentu seperti Taman Tamadun Islam, Najib berkata, kompleks itu dan pertandingan Piala Monsun bertujuan menyemarakkan sektor pelancongan dan meletakkan Terengganu di mata dunia. Katanya, kerajaan negeri sudah menggariskan agenda pembangunan dengan sebahagian besar dana daripada wang royalti, digunakan untuk kepentingan rakyat.
Sumber: Berita Harian (10 Januari 2009)
****************************************************
Tulip Desa
Rakyat sedar bahawa Pakatan Rakyat hanya pandai menabur janji. Konflik dalaman yang berlaku dalam Pakatan Rakyat mengukuhkan lagi bahawa Pakatan Rakyat sedang "Retak menanti belah". Sepanjang 10 bulan memerintah, apa pembaharuan yang telah dibuat. Mereka hanya pandai mengkritik usaha-usaha Kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat. Tidakkah Pakatan Rakyat sedar bahawa segala pembangunan yang dilakanakan terutamanya projek Piala Monsun Cup dan Taman Tamadun Islam adalah untuk menjadikan Terengganu sebagai tempat pilihan pelancong sekaligus diikenali di serata dunia. Sehubungan itu, pengundi Kuala Terengganu, Tulip menggesa agar kekalkanlah pembangunan di Terengganu dengan mengundi Barisan Nasional. Tidak rugi menyokong Barisan Nasional yang ternyata parti yang mampu mengubah hidup rakyat ke arah yang lebih baik.

No comments: