Thursday, January 15, 2009

BN TAK PAKSA PILIH CALON

Sumber: Berita Harian, 14 Januari 2009

Kakitangan awam bebas undi wakil pilihan masing-masing

Kakitangan awam bebas undi wakil pilihan masing-masing KUALA TERENGGANU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah memaksa kakitangan awam, sebaliknya mereka bebas mengundi calon pilihan masing-masing pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada Sabtu ini, kata Datuk Seri Najib Razak. Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri berkata, adalah menjadi tugas pemimpin kerajaan bertemu dan menerangkan dasar kepada kakitangan awam. "Kita tidak paksa sesiapa, ini tugas kita sebagai kerajaan dan kita boleh jumpa dengan pegawai dan kakitangan kerajaan. Mereka bebas mengundi ikut kehendak masing-masing, kita cuma terangkan dasar kerajaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kesedaran Alam Sekitar di Wisma Darul Iman di sini semalam.
Beliau mengulas dakwaan Pas bahawa BN menggunakan majlis Anugerah Khidmat Cemerlang Majlis Bandaraya Kuala Terengganu yang berlangsung kelmarin untuk memaksa kakitangannya menyokong calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Najib juga ditanya mengenai kaji selidik Merdeka Centre for Opinion Research yang mendapati isu layanan adil bagi bukan Bumiputera mendapat perhatian tinggi dengan 75 peratus responden Cina amat bersetuju atau agak bersetuju dengan memilih calon bukan BN, masyarakat Cina mendapat memberi isyarat jelas kepada kerajaan BN mengenai menjaga kepentingan mereka. Najib berkata, kerajaan tidak sama sekali membezakan layanan antara orang Melayu, Cina dan India, sebaliknya BN lebih bertimbang rasa kepada kaum minoriti kerana Pas tidak pernah memberikan kerusi untuk kaum Cina di Terengganu, berbanding BN yang memperuntukkan wakil rakyat MCA di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar.
"(Bantuan) wang ihsan adalah contoh jelas. Semua dapat...yang miskin tidak kira kaum dapat, raya...raya Cina dapat dan banyak lagi bantuan yang kita berikan," katanya. Najib juga mengharapkan semua pihak menyokong BN kerana ia sudah berjasa kepada negara dan apa yang dikecapi hari ini adalah hasil perjuangan BN. Katanya, BN mengambil kira hasrat pengundi supaya berlaku dasar yang seimbang dan tidak lupa bahawa ramai rakyat masih ketinggalan dan memerlukan pertimbangan kerajaan. "Bukan saja mereka yang berjaya tetapi mereka yang kurang berjaya memerlukan bantuan. Bagi kaum minoriti di Kuala Terengganu, kerajaan tidak membezakan layanan antara orang Melayu, Cina dan India," katanya.

Menjawab dakwaan Pas bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersekongkol dalam isu pengundi hantu, Najib berkata, itu hanyalah taktik pembangkang yang ditimbulkan setiap kali pilihan raya. Sambil menafikan sekeras-kerasnya, beliau berkata, pembangkang tidak akan menimbulkan isu pengundi hantu apabila menang pilihan raya.
**********************************
Tulip Desa
Tinggal satu hari lagi, tempoh berkempen untuk Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu. Nampaknya calon Barisan Nasional dan PAS tidak menang tangan berkempen di peringkat akar umbi untuk memastikan kejayaan parti masing-masing. Yang pastinya, pada 17.1.2009 semua warga Kuala Terengganu akan keluar mengundi untuk memilih wakil rakyat yang dapat membawa suara rakyat Kuala Terengganu dengan lantang ke Parlimen. Untuk pengundi Kuala Terengganu, buatlah pilihan yang tepat kerana undi anda akan menentukan nasib rakyat Kuala Terengganu.

No comments: