KUALA LUMPUR 12 Jan. - Malaysia akan mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan Perhimpunan Agung Khas sekali lagi sekiranya arahan gencatan senjata di Genting Gaza yang diputuskan minggu lalu gagal dipatuhi sepenuhnya oleh rejim Zionis dan keadaan buruk di wilayah itu tidak berubah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, negara-negara yang sependapat dengan Malaysia mesti mengambil langkah yang sama dengan mendesak Presiden Perhimpunan Agung PBB mengadakan sidang tergempar khusus untuk membincangkan kegagalan Israel mematuhi keputusan Majlis Keselamatan PBB.
Menurut Abdullah, beliau sendiri telah mengutus surat kepada Setiausaha Agung PBB, ketua-ketua kerajaan negara anggota Majlis Keselamatan, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan tokoh-tokoh dunia untuk membantu dalam usaha mencari kedamaian di Asia Barat amnya dan Gaza khasnya.
Katanya, antara tokoh-tokoh yang telah dihubungi termasuk Pope Bendict XVI; bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama; dan bekas Presiden AS, Jimmy Carter.
"Kerajaan juga, telah mengarahkan Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York terus berusaha demi keamanan dan keselamatan bumi Palestin.
"Beliau telah diarah bekerjasama dan berurusan rapat dengan wakil negara-negara anggota OIC dan NAM," katanya ketika membentangkan usul mengecam serangan rejim Zionis Israel ke atas wilayah Gaza pada sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, keputusan Majlis Keselamatan pada 9 Januari lalu amat jelas iaitu mengisytiharkan gencatan senjata di Gaza di bawah Resolusi No. 1860 (2009), mendesak semua pihak mematuhi keputusan tersebut dan mengarahkan tentera Israel keluar dari wilayah Palestin.
Bagaimanapun, kata Abdullah, resolusi itu langsung tidak menyentuh tentang kepungan atau blockade yang dikenakan oleh Israel ke atas Palestin sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak terutamanya sikap AS yang berkecuali ketika 14 negara lain menyatakan sokongan.
Lebih mendukacitakan, Perdana Menteri berkata, resolusi itu tidak mengadakan sebarang peruntukan mengenai penubuhan satu pasukan antarabangsa sama ada kumpulan pengawasan atau pasukan tentera pengaman untuk menyelia gencatan senjata dan arahan-arahan lain dipatuhi.
Abdullah menarik perhatian mengenai ketiadaan kumpulan seumpama itu menyebabkan tiada sesiapa pun dapat berperanan atau memastikan tentera Israel berundur dari wilayah Gaza seperti yang diputuskan oleh Majlis Keselamatan PBB.
"Tiada siapa untuk menentukan bahawa gencatan senjata benar-benar berlaku. Inilah kelemahan Resolusi No. 9567 itu," katanya.
Perdana Menteri turut merumuskan serangan ke atas wilayah Gaza kali ini adalah yang terburuk pernah dilakukan oleh rejim Zionis terhadap Palestin sejak penaklukan wilayah itu pada tahun 1967.
Dalam perkembangan terbaru pula, kata Abdullah, kanak-kanak Palestin terbunuh akibat terkena tembakan, pengeboman dan bedilan kereta kebal Israel yang dilakukan secara rambang sehingga memusnahkan tiga sekolah yang ditadbir oleh United Nations Relief and Works Agency.
"Serangan tersebut telah mengorbankan berpuluh kanak-kanak sekolah. Kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin tiada tolok bandingnya," kata Perdana Menteri.
Perdana Menteri turut melahirkan rasa sedih dan kesal rakyat negara ini terhadap tragedi di Gaza akibat serangan dan tindakan kejam tentera Israel sehingga melumpuhkan sebuah wilayah kecil yang tidak berupaya mempertahankan dirinya daripada serangan kejam yang dilakukan secara bertubi-tubi.
Abdullah turut menyeru Obama bersungguh-sungguh membawa pembaharuan terutamanya apabila kuasa besar itu tidak henti-henti mengaku menjadi negara demokrasi terulung di dunia tetapi pada masa yang sama menolak keputusan pilihan raya umum di Palestin pada 2006 yang memberi kemenangan kepada Hamas.
Usul tersebut disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut menyampaikan ucapan dan disusuli dengan perbahasan wakil parti komponen Barisan Nasional dan parti-parti pembangkang.
Lebih 60 diplomat asing termasuk Duta Palestin ke Malaysia, Abd. ElAziz Abu Ghoush hadir pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini. Kedutaan AS, Britain dan Singapura turut menghantar wakil masing-masing sebagai pemerhati.
Sumber: Utusan Malaysia (13 Jan. 2009)
No comments:
Post a Comment