Tuesday, January 6, 2009

Saingan tiga penjuru BN, Pas dan Bebas

sumber: BHarian Online


KUALA TERENGGANU: Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Pas dan Bebas. Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 46, akan ditentang calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut, 52,; dan calon Bebas, Azharudin Mamat, 46.

Penerimaan pencalonan mereka diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mat Razak Kassim, pada jam 11.30 tengahari tadi.

Empat bantahan diterima sepanjang tempoh bantahan dibuka. Terdahulu, Wan Ahmad Farid yang diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta kira-kira 10,000 penyokong BN, tiba di pusat penamaan calon di Stadium Negeri pada jam 9.05 pagi sejurus ia dibuka.

Mohd Abdul yang diiringi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, pula tiba sepuluh minit kemudian dengan kira-kira 8,000 penyokong parti dan Pakatan Rakyat. Azharudin yang juga seorang peniaga, tiba di pusat penamaan itu pada jam 9.27 pagi.

Calon parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun @ Abd Rahman Mohamad, pula membuat kejutan apabila mengumumkan penarikan diri sejurus tiba dengan beberapa penyokongnya kira-kira jam 9.40 pagi. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail, pada 28 November lalu.

Sebanyak 80,229 pemilih berdaftar termasuk 1,035 pemilih pos layak mengundi pada pilihan raya kecil kali ini. Kira-kira 8,000 pemilih di kawasan itu adalah pengundi Cina. Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham Razali menewaskan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu, dengan majoriti 628 undi.

Daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kuala Terengganu, hanya Bandar yang dimenangi BN, manakala Wakaf Mempelam, Ladang dan Batuk Burok dimiliki Pas. BN, bagaimanapun, yakin meraih majoriti lebih besar antara 3,000 hingga 3,500 undi pada pilihan raya kecil kali ini berbanding 628 undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac 2008.

No comments: