PUTRAJAYA 14 Jan. – Jemaah Menteri hari ini meminta MIC membetulkan tuduhan tidak berasas oleh pertubuhan haram Hindraf di luar negara yang mendakwa kerajaan merobohkan sebuah kuil Hindu setiap minggu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam (gambar) berkata, Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorty yang menetap di United Kingdom didapati menyebarkan fitnah bahawa kerajaan Malaysia telah bertindak zalim terhadap masyarakat India dan merobohkan kuil-kuil Hindu.
‘‘Dia telah menyebarkan satu risalah bertajuk Laporan Minoriti India Malaysia dan Pencabulan Hak Asasi Manusia di dalam satu persidangan di Chennai, India yang mengandungi dakwaan bahawa sebuah kuil Hindu dirobohkan pada setiap minggu.
‘‘Pemimpin Hindraf tersebut juga menyeru kerajaan India mengadakan sekatan perdagangan terhadap Malaysia dan menghentikan segala projek yang diberikan kepada syarikat Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Subramaniam yang juga Setiausaha Agung MIC berkata, Jemaah Menteri hari ini turut meminta Wisma Putra menjalankan siasatan bagaimana pemimpin pertubuhan haram itu dapat berkunjung ke India dengan menggunakan dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh negara ketiga.
‘‘Menurut laporan, P. Waytha telah menyerahkan pasport Malaysia kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London.
‘‘Sehubungan itu, Wisma Putra diminta menyiasat bagaimana P. Waytha dapat pergi ke India,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius tuduhan tidak berasas oleh pemimpin Hindraf itu dan mahu persepsi salah tersebut dibetulkan.
‘‘Jemaah Menteri mahu MIC bertindak proaktif untuk membetulkan persepsi buruk yang cuba diwujudkan oleh Hindraf.
‘‘MIC akan terus memberi gambaran yang benar mengenai apa yang telah dilakukan kerajaan untuk membantu masyarakat India negara ini,” katanya.
Beliau berkata, tindakan Hindraf menyebarkan fitnah itu mungkin menimbulkan masalah kepada dasar dan program yang dijalankan oleh kerajaan untuk membantu kaum India.
‘‘Melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Masalah Berkaitan Kaum India, kita telah mencapai banyak kejayaan seperti mendapatkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pelajar India, tambahan peluang pekerjaan dalam sektor awam dan banyak lagi,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia (15 Jan. 2009)
*************************************
Citra Adora:
HINDRAF berniat jahat terhadap Kerajaan Malaysia dengan menyebar cerita-cerita palsu berunsur fitnah. Kononnya pihak Kerajaan telah merobohkan kuil-kuil Hindu setiap minggu dan menindas kaum India.
Pemimpin HINDRAF juga telah meminta Kerajaan India mengadakan sekatan perdagangan terhadap Malaysia dan menghentikan segala projek yang telah diberikan kepada syarikat-syarikat dari Malaysia.
Tuduhan tidak berasas ini wajar diperbetulkan dan pihak berkuasa perlu menggunakan saluran undang-undang yang ada bagi menahan atau menghukum mereka yang terlibat memfitnah Malaysia di luar negara.
Fitnah yang ditaburkan HINDRAF ini memberi gambaran buruk terhadap pentadbiran Negara sekali gus mencemarkan imej negara di mata dunia. Walhal perkara sedemikian tidak wujud sama sekali. Tindakan tegas perlu dikuatkuasakan.
1 comment:
FITNAH tersebut amatlah serius dan kerajaan perlu mengambil tindakan yang cepat untuk mengatasinya dan juga berusaha untuk mendapatkan bantuan negera lain untuk menangkap pemimpin HINDRAF tersebut..
Post a Comment