Tuesday, January 6, 2009

BN Akan Jelas Isu Ekonomi, Harga Barang Naik


KUALA TERENGGANU, 6 Jan (Bernama) - Barisan Nasional (BN) akan memberikan penjelasan sewajarnya kepada penduduk kawasan Parlimen Kuala Terengganu berhubung isu kelembapan ekonomi dunia dan faktor kenaikan harga barang agar ia tidak dimanipulasi oleh pihak pembangkang untuk meraih undi, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata jentera parti telah bersedia untuk mematahkan hujah pembangkang berhubung isu yang akan berbangkit dengan memberikan perspektif yang betul mengenai isu ekonomi yang melanda dunia dan faktor yang menyebabkan harga barang melambung.Selain itu, katanya, BN bersedia untuk mendengar keluhan serta kebimbangan yang ingin disuarakan oleh masyarakat di kawasan Parlimen Kuala Terengganu berhubung isu ekonomi terutamanya di kalangan masyarakat Cina."Mungkin pilihan raya yang lalu (Pilihan Raya Umum ke-12) telah menyedarkan bahawa mereka memerlukan kerajaan yang kuat yang boleh menjamin masa depan mereka."Kita bersedia untuk mendengar keluhan mereka. Saya juga akan berjumpa dengan dewan-dewan perniagaan, persatuan-persatuan dan masyarakat Cina untuk mendengar dan memberikan penjelasan apa yang mereka mahukan," katanya yang ditemui pekarangan Stadium Negeri di sini selepas proses penamaan calon hari ini.
Muhyiddin berkata harapan BN untuk mempertahan kerusi Parlimen itu cerah berikutan kekecewaan rakyat terhadap janji Pakatan Rakyat terutama dalam isu pembentukan kerajaan pusat."Saya yakin mereka akan tetap yakin dengan kerajaan BN. Pilihan raya ini, rakyat bakal menunjukkan dengan lebih jelas keyakinan mereka kepada BN. Banyak fakta yang memihak kepada kita," katanya.Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Jan ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), PAS dan Bebas.BN meletakkan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon yang akan ditentang calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas Azharudin Mamat @ Adam.Pilihan raya kecil Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail pada 28 Nov lepas. Pada pilihan raya umum lepas, Razali menang dengan majoriti 628 undi.-- BERNAMA

No comments: