Monday, January 12, 2009

BN pegang janji bela nasib rakyat

NAJIB dan Yen Yen membantu menolak kerusi roda Pani Embung, 68, ketika mencuba kemudahan tangga bas selepas melancarkan Klinik Bergerak LPPKN di Kuala Terengganu, semalam.

Konsep tetap diterus

Najib KUALA TERENGGANU: Kerajaan Barisan Nasional (BN), sentiasa berpegang kepada dasar membela nasib rakyat dan akan terus berbuat demikian tanpa perlu menggunakan label negara kebajikan, kata Datuk Seri Najib Razak. Timbalan Perdana Menteri berkata, BN akan terus memerintah dengan konsep mesra rakyat dan sentiasa berusaha melebarkan jaringan keselamatan sosialnya bagi membela nasib golongan kurang mampu di seluruh pelosok negara. Beliau berkata, sejajar dengan sasaran menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2010, kerajaan meningkatkan garis pendapatan golongan yang dianggap miskin daripada RM450 kepada RM720 sebulan dan menggiatkan kegiatan mengenal pasti golongan berkenaan menerusi 'Program Cari-Cari' yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.


Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, hasil daripada langkah proaktif itu, bilangan isi rumah yang perlu mendapat bantuan meningkat daripada 54,000 kepada 110,000 keluarga. "Kerajaan BN bukan saja prihatin membela rakyat, tetapi juga mempunyai kemampuan kewangan berbuat demikian," katanya berucap pada perasmian majlis Cakna Rakyat dan menyampaikan bantuan kepada pelajar cemerlang, orang miskin dan kurang upaya di Wakaf Mempelam di sini, semalam. Hadir sama Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said; calon BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Ng Yen Yen.

Mengulas lanjut, Najib berkata, sejak daripada seseorang itu lahir hinggalah meninggal dunia, sumbangan kerajaan BN tetap ada, bukannya seperti didakwa sesetengah pihak untuk menubuhkan negara kebajikan jika berkuasa, tetapi tidak mampu menunaikannya. "Ada pihak kata nak perjuangkan kebajikan dalam pilihan raya dulu. Mula-mula dia main isu hudud lepas itu dia senyap, dapat kawan baru timbul pula negara kebajikan kononnya nak perjuangkan kebajikan. "Di Malaysia, daripada kita lahir sampai ke liang lahad boleh dikatakan setiap detik kehidupan kita banyak pertolongan dan bantuan yang diberi kerajaan," katanya sambil menambah keadaan itu menunjukkan Malaysia memang negara kebajikan. Sehubungan itu, Najib menepis dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan mempunyai maksud tersirat atau cuba memancing undi setiap kali memberi bantuan kepada golongan memerlukan.


"Siapa boleh kata kerajaan tidak cakna rakyat dan tidak prihatin. Siapa kata ini politik beli undi? Kerajaan (sudah) umumkan program Jaringan Keselamatan Sosial ini, jauh lebih awal dan kerajaan tak tahu pun akan berlaku pilihan raya kecil di Kuala Terengganu ini," katanya. Najib berkata, rakyat perlu faham bahawa kerajaan tetap akan memberikan bantuan, walaupun tiada pilihan raya kecil Kuala Terengganu kerana program membantu rakyat yang sudah dirancang akan tetap dilaksanakan.

Sumber: Berita Harian, 12 Januari 2009

*******************************************************

Tulip Desa

Pakatan Rakyat acapkali menyalah ertikan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan sebagai umpan untuk memancing pengundi untuk menyokong Kerajaan. Telah terbukti Kerajaan secara optimis melaksanakan janji-janjinya kepada rakyat tanpa perlu melaung-laungkan 'negara kebajikan' kerana Kerajaan mempunyai kemampuan kewangan untuk berbuat demikian.

Pembangkang gemar membuat provokasi memburuk-burukkan Kerajaan bagi menyembunyikan kelemahan mereka yang ternyata tidak mampu menunaikan janji-janji manis kerana kekangan kewangan dan kepentingan survival politik. Itulah pembangkang, ibarat tin kosong yang sentiasa berbunyi sedangkan hasilnya tidak seberapa.


No comments: