Sunday, January 11, 2009

Projek bukan pancing undi-TPM

KUALA TERENGGANU 10 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek-projek yang diumumkan di kawasan ini sejak beberapa hari lalu adalah sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan di Parlimen November lalu.

Justeru Timbalan Perdana Menteri berkata, adalah tidak benar untuk mana-mana pihak mengaitkan projek-projek yang diumumkan itu dengan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang berlangsung sekarang.

Beliau berkata, pakej rangsangan itu meliputi bantuan untuk seluruh negara dan apa yang diumumkan kebelakangan ini adalah untuk membahagikan bantuan bagi daerah Kuala Terengganu serta negeri Terengganu.

''Jadi ini bukanlah pembelian undi tapi cuma pelaksanaan yang sudah pun kita tentukan bermula pada bulan Januari ini iaitu sebelum Datuk Razali Ismail meninggal dunia lagi," katanya.

Najib berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Perjumpaan Mesra Bersama Imam, Bilal dan Jawatankuasa Masjid serta Penyerahan Cek Bantuan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan pembangkang bahawa Barisan Nasional (BN) cuba 'membeli undi' apabila mengumumkan banyak projek pembangunan untuk bandar Kuala Terengganu pada sepanjang tempoh berkempen ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagai contoh, kedua-dua program yang dihadirinya hari ini juga merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi iaitu bantuan kepada SABK dan pelaksanaan projek infrastruktur awam dan swasta.

Kata beliau, seperti mana yang ditetapkan sebelum ini, projek-projek infrastruktur awam dan swasta yang melibatkan 583 kontraktor kelas F itu sememangnya mesti dilaksanakan menjelang bulan ini.

''Itu sebahagian daripada projek pakej rangsangan. Seperti mana yang kita tetapkan, pada bulan Januari projek mesti dilaksanakan dan peruntukan mesti dibelanjakan pada tahun ini dan tidak boleh dibawa ke tahun depan.

''Sementara program bantuan kepada sekolah agama ini yang kita lakukan sebentar tadi juga sebahagian daripada pakej tersebut kerana sekolah-sekolah itu mengambil peruntukan daripada RM50 juta yang kita telah tentukan," jelasnya.

Terdahulu dalam ucapannya Najib berkata, setiap sekolah agama rakyat yang didaftarkan sebagai SABK menikmati pelbagai kemudahan lain dan bukan sekadar peruntukan untuk pembangunan fizikal sekolah sahaja.

Katanya, sebagai contoh para guru akan menikmati skim gaji yang lebih baik manakala murid akan menerima pelbagai bantuan sama seperti yang dinikmati pelajar di sekolah kebangsaan.

''Kerajaan amat komited untuk membantu masa depan sekolah agama dan hari ini menjadi saksi kumpulan pertama SABK yang menerima bantuan bagi negeri Terengganu ini," ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia (11 Jan. 2009)
*************************************
Citra Adora:
Jangan disalahertikan niat murni Kerajaan dalam melaksanakan pakej rangsangan ekonomi khusus untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

No comments: