Saturday, January 10, 2009

Perak mula terima Camry ganti Proton

IPOH 9 Jan. - Kerajaan negeri Perak menerima sembilan daripada 16 buah kereta baru jenis Toyota Camry 2.4 yang dibeli bagi menggantikan kereta keluaran nasional Proton Perdana V6 Executive hari ini.

Kesemua kereta yang berharga RM160,000 sebuah itu bakal digunakan sebagai kenderaan rasmi anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Kereta pertama jenis itu dilihat memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di sini kira-kira pukul 10 pagi dengan nombor pendaftaran AFD 33 berwarna hitam.

Kereta-kereta tersebut dibawa masuk secara berperingkat-peringkat oleh jurujual UMW Toyota dan diletakkan di kawasan letak kereta berbumbung bagi kenderaan Exco dan pegawai kanan terbabit.

Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, enam buah lagi kereta berkenaan akan diterima pihaknya secara berperingkat-peringkat oleh pihak penjual.
''Kita telah menerima sembilan buah kereta Toyota Camry 2.4 hari ini untuk digunakan oleh ahli-ahli Exco kerajaan negeri.

''Mana-mana Exco yang kereta mereka (Proton Perdana V6 Executive) sebelum ini mengalami kerosakan teruk hingga menyebabkan kita banyak mengeluarkan belanja untuk membaikinya akan menerima kereta itu (Proton Camry 2.4) dulu," katanya kepada pemberita di bangunan SUK di sini hari ini.

Mohammad Nizar berkata, kereta-kereta rasmi sebelum ini yang sudah berusia empat tahun sembilan bulan adalah menjadi keutamaan untuk ditukar dengan kereta baru.
Jelas beliau, bagi kereta-kereta ahli Exco atau pegawai kanan termasuk kereta rasminya sendiri yang hanya mengalami sedikit kerosakan akan digantikan kemudian.

''Jadi yang mana selalu rosak akan dapat kereta dulu, manakala yang sudah dihantar untuk diperbaiki perlu tunggu.

''Macam kereta saya walaupun telah rosak, tetapi ia masih boleh digunakan. Barangkali kereta saya adalah yang terakhir untuk ditukar kerana ia masih boleh berjalan," katanya.
Pada masa yang sama, beliau mendakwa harga sebenar bagi sebuah kereta Toyota Camry 2.4 adalah lebih rendah berbanding kereta Proton Perdana V6 Executive jika kerajaan tidak mengenakan cukai.

''Kenderaan lama (Proton Perdana V6 Executive) kita tukar ganti dengan penjual yang berharga antara RM30,000 hingga RM40,000 sebuah.

''Jadi, kalau kerajaan tidak kenakan cukai dan ditolak pula dengan nilai tukar ganti itu, harga Toyota Camry 2.4 adalah lebih murah berbanding Proton V6 Executive iaitu sekitar RM80,000 sahaja," katanya.

Katanya lagi, pembelian kereta berkenaan dibuat secara tender terbuka.
Jelas beliau, mereka yang bakal menggunakan kereta tersebut ialah beliau sendiri, 10 anggota Exco, Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan, Mufti Perak dan Speaker Dewan Undangan Negeri.
Sumber: Utusan Malaysia (10 Jan. 2009)
************************************
Citra Adora:
Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak mula menggunapakai kereta Toyota Camry semalam. Hebatnya, kereta import menjadi pilihan wakil-wakil rakyat ini.
Alasan mengenai kos penyelenggaraan yang tinggi terhadap kereta nasional Perdana V6 bukanlah sesuatu yang wajar dipertikaikan. Pendapat saya, perkara tersebut boleh dirunding dan dibincangkan dengan pihak Proton.
Apa yang dikesalkan, kenderaan keluaran Malaysia tidak dimartabatkan di negara sendiri meskipun jenama ini turut mendapat tempat di negara-negara luar.

No comments: