Thursday, January 15, 2009

PENGUNDI KUALA TERENGGANU:- CALON BN LEBIH BERWIBAWA

Oleh: Perry
Tinjauan dan pengamatan umum mengenai populariti calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu jelas menunjukkan bahawa majoriti pengundi Kuala Terengganu mempunyai persepsi bahawa calon BN , Wan Ahmad Farid Bin Wan Salleh lebih berwibawa dan berpengalaman politik berbanding dengan calon PAS, Abdul Wahid Endut.

Calon PAS , Abdul Wahid Endut yang berumur 52 tahun mempunyai kelulusan Diploma dalam bidang pertanian dan perikanan dari Universiti tempatan. Beliau pernah menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) selama 5 penggal.

Manakala Wan Ahmad Farid yang berumur 46 tahun mempunyai kelulusan Ijazah Undang-Undang dari United Kingdom, boleh berbahasa Inggeris dan Arab dengan fasih. Wan Ahmad Farid juga merupakan seorang Peguambela dan Peguamcara dan Peguam Syarie sejak tahun 1987.

Beliau pernah dijemput untuk menyampaikan kertas kerja dalam seminar berkaitan dengan isu-isu semasa, kepimpinan di kalangan golongan muda dan ancaman pengganas di nusantara oleh beberapa negara luar termasuk negara-negara di Asia dan Barat seperti Vietnam, Australia, Indonesia dan Amerika.

Beberapa kertas kerja yang disampaikan oleh Wan Ahmad Farid pernah menjadi kertas rujukan oleh Universiti Of Copenhagen dan University Of Sydney.

Wan Farid juga pernah dianugerahkan sebagai “contoh generasi baru kepimpinan Asia” oleh Regional Institute For Asia And The Pacific (RIAP) kerana membentangkan kertas kerja bertajuk “Malaysia After Mahathir” pada tahun 2003. Pemikiran dan pengalaman luas beliau dalam mendekati isu-isu semasa turut dikongsi oleh Universiti dan Badan-Badan Antarabangsa tersebut dan dijadikan sebagai bahan penulisan dan rujukan pelajar-pelajar di Institusi Tinggi.

Dalam bidang kemasyarakatan pula, Wan Farid juga mempunyai rekod menabur jasa kebaktian kepada hal-ehwal kemasyarakatan dan pembangunan serta bidang sukan. Beliau pernah menjawat jawatan Presiden Persatuan Badminton Negeri Terengganu dan Setiausha Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu,

Dalam kerjaya politik pula, beliau menceburi politik dalam usia yang muda dengan tujuan meningkatkan taraf hidup kaum Melayu di Kuala Terengganu dengan menyertai politik UMNO. Sehubungan ini beliau pernah menjadi ahli jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu pada tahun 1995, Ketua Pemuda Bahagian UMNO Kuala Terengganu pada tahun 1998, menganggotai EXCO Pemuda Malaysia pada tahun 1999 hingga 2004, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu pada tahun 2001 dan dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu pada tahun 2004 sehingga sekarang.

Seterusnya, Wan Ahmad Farid pernah di lantik sebagai setiausaha politik kepada Perdana Menteri dan pernah dilantik sebagai Senator dan menjawat jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri sejak 18 Mac 2008 sehingga beliau meletak jawatan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 17.1.09.

Memandangkan rekod kerjaya politik dan kemasyarakatan Wan Ahmad Farid , calon BN dan Abdul Wahid Endut, calon PAS, ramai pengundi Kuala Terengganu berpendapat bahawa Wan Ahmad Farid harus dipilih sebagai wakil rakyat supaya beliau dapat memberi perkhidmatan kepada rakkyat Kuala Terengganu dengan berkesan.

Menurut persepsi bilangan besar pengundi Kuala Terengganu, Calon PAS, Abdul Wahid Endut sedia dilantik sebagai ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam. DUN ini merupakan salah satu DUN dalam kawasan parlimen Kuala Terengganu. Dengan itu, adalah menjadi harapan pengundi Kuala Terengganu bahawa biarlah Abdul Wahid Endut mewakili kaum Melayu (Kuala Terengganu ) di peringkat negeri dan Wan Ahmad Farid mewakili mereka di peringkat Persekutuan atau Parlimen.

Harapan pengundi Kuala Terengganu adalah munasabah dan berpatutan kerana sekiranya Wan Ahmad Farid menang dalam pilihan raya kecil ini, beliau akan dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, satu jawatan yang akan memberi peluang kepada Wan Ahmad Farid untuk memberi perkhidmatan yang lebih berkesan kepada rakyat Kuala Terengganu.

Sementara itu, sekiranya kita membuat analisis terhadap landskap politik dan dasar –dasar kerajaan Persekutuan, segala perubahan yang dijanjikan oleh Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi semasa beliau mengambil alih teraju kepimpinan kerajaan didapati dilaksanakan . Sebagai contoh, kita melihat kerajaan kepimpinan Pak Lah membawa perubahan dalam sistem kehakiman yang didakwa tidak adil, memberi lebih kuasa kepada agensi yang menjalankan usaha-usaha mencegahan rasuah dan sebagainya.

Kedua-dua perubahan utama yang dilaksanakan oleh kerajaan BN pimpinan Pak Lah dijangka akan meningkatkan ketelusan ( transparency) dan meningkatkan tahap kerajaan yang bersih dan cekap ( good governance ). Kedua-dua perubahan ini mendapat sokongan dan sambutan daripada parti Pakatan Rakyat, termasuk Dato Seri Anwar Ibrahim.

Justeru itu, pengundi Kuala Terengganu yang berpemikiran liberal, berpengalaman (wisdom) dan mantap , malah mengharapkan penerusan perubahan dan pembaikan dalam sistem pentadbiran kerajaan Persekutuan , harus memilih Wan Ahmad Farid supaya beliau dapat membantu merealisasikan cita-cita rakyat dalam melahirkan sebuah kerajaan yang bersih, liberal, telus dan cekap tadbir.

Dato’ Razali yang mewakili BN menang tipis iaitu dengan majoriti 628 undi dalam pilihan raya umum ke 12 yang lalu. Tetapi, pada ketika ini, majoriti pengundi Kuala Terengganu telah bersedia untuk memilih Wan Ahmad Farid supaya penduduk Kuala Terengganu dapat menikmati perkhidmatan yang lebih memanafaatkan rakyat . Pemberian sokongan kepada calon BN, Wan Ahmad Farid adalah disifatkan sebagai satu usaha meneruskan segala rancangan yang diidamkan oleh mendiang Dato’ Razali, yang menjadi pilihan bilangan besar kaum Melayu, malah kaum bukan Melayu.

Penganalisis politik yang berkumpul di Kuala Terengganu sejak hari penamaan calon pada 6.1.2009 menjangka calon BN, Wan Ahmad Farid akan mencapai kemenangan atau mengulangi keputusan pilihan raya umum tahun 2004 iaitu mencatat kemenangan dengan majoriti hampir 2,000 undi.

No comments: