KOTA BHARU 7 Jan. - Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali meminta Pas supaya tidak tunduk dengan gesaan DAP yang mahu parti itu menghentikan cita-cita membentuk negara Islam dengan pelaksanaan hukum hudud.
Katanya, adalah sesuatu yang malang jika Pas terpaksa akur dengan kehendak DAP dan melupakan teras perjuangannya selama ini dalam usaha pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan negara.
Ibrahim menyifatkan DAP menolak Islam sebagai agama rasmi negara kerana secara terang-terangan tidak dapat menerima pelaksanaan hukum hudud dan qisas.
"DAP telah menolak hudud, ia adalah sebahagian daripada Islam, sekiranya parti itu menolak hudud, maka dengan sendirinya ia menolak Islam dan menentang Perlembagaan negara.
"Perlembagaan jelas menunjukkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, jika parti ini masih berpegang kepada pendiriannya, maka mereka boleh dianggap menentang Perlembagaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh semalam yang dilaporkan terus bertegas menentang pelaksanaan negara Islam dan hudud di negara ini.
Karpal juga meminta pemimpin Pas supaya menghentikan kenyataan dan pendirian untuk melaksanakan hukum tersebut sekiranya mahu terus berada dalam pakatan pembangkang kerana syarat itulah yang membolehkan mereka terus bekerjasama dalam pilihan raya umum lalu.
Malah, menurut Karpal, DAP hanya memutuskan untuk membantu Pas dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu setelah Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menarik balik kenyataannya berhubung pelaksanaan hudud selepas pembangkang berpeluang membentuk kerajaan.
Ibrahim yakin, DAP tidak ikhlas dalam menjalinkan kerjasama dengan Pas dan ia diadakan semata-mata mahu memperoleh undi daripada kaum Melayu bagi mendapatkan lagi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
"Saya menyokong penuh sekiranya Pas mahu melaksanakan hudud jika pakatan pembangkang dapat memerintah negara ini.
"Bagaimanapun, ia agak sukar untuk dilaksanakan (hudud) kerana rakan mereka (DAP) dalam pakatan tidak dapat menerima dasar itu dan Pas sedia menunggu untuk mendapat persetujuan semua," katanya.
Katanya lagi, jika DAP tidak dapat menerima dasar parti Islam itu, mereka seharusnya tidak bekerjasama untuk membentuk kerajaan di Perak.
''Pas perlu bertegas dalam pelaksanaan dasarnya dan mereka juga perlu menarik diri daripada bekerjasama dengan parti itu. Ia tidak perlu mengorbankan dasarnya dan berkawan dengan DAP semata-mata untuk mendapatkan kuasa.
''Apa guna perjuangan sekiranya dasar tidak dapat dilaksanakan. DAP secara jelas menolak hukum hudud, oleh itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin dan Pas perlu keluar daripada kerajaan pakatan di negeri itu," katanya.
No comments:
Post a Comment