Thursday, January 15, 2009

EZAM DEDAH SURAT.......HUSAM KENAL PERIBADI ANWAR


Ezam dedah surat..Husam kenal peribadi Anwar

KUALA TERENGGANU – Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd Noor semalam mengotakan janjinya dengan mendedahkan isi kandungan surat yang ditulis oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika itu Datuk Seri) seminggu selepas Anwar dipecat dari jawatan dalam kabinet pada 2 September 1998.Ezam turut membuktikan bahawa apa yang diperkatakan olehnya selama ini bukan rekaan atau gimik politik semata-mata.

“Saya tunjukkan kebenaran di hadapan anda. Ini adalah bukti besar bahawa Anwar Ibrahim adalah manusia yang paling hipokrit. Saya melakukan ini (pendedahan mengenai surat) kerana ingin mempertahankan diri saya dari tuduhan yang dibuat oleh banyak pihak berkaitan dengan enam kotak yang mengandungi dokumen rasuah yang sibuk diperkatakan.“Saya ingin jelaskan di sini bahawa pada hari Anwar meminta saya menyerahkan surat inilah, beliau (Anwar) juga telah menunjukkan kepada saya isi empat daripada enam kotak yang mengandungi pelbagai dokumen rasuah yang membabitkan pelbagai dokumen rasuah yang membabitkan banyak pihak termasuk beberapa pemimpin negara yang sehingga sekarang masih lagi tidak didedahkan oleh Anwar,” katanya.

Menurut Ezam, Anwar telah meminta beliau menyerahkan surat itu terus ke tangan Tun Mahathir pada 8 September 1998 sebelum Tun (yang ketika itu memegang jawatan sebagai Presiden UMNO) berjumpa dan berucap dengan semua pemimpin UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pada petang hari tersebut.

“Itu merupakan pertemuan pertama Tun bersama semua pucuk pimpinan UMNO dan akar umbi selepas Anwar dipecat, “katanya.

Bagaimanapun menurut Ezam, beliau gagal menyerahkan surat berkenaan ke tangan Tun pada waktu yang sepatutnya.

“Saya terlewat beberapa minit sahaja dan ketika saya sampai di Jabatan Perdana Menteri, Tun Mahathir ketika itu baru sahaja meninggalkan pejabatnya menuju ke PWTC dan saya serahkan surat berkenaan kepada salah seorang pegawai Tun, dan meminta pegawai berkenaan menyerahkan surat itu kepada Tun".

“Isi kandungan surat ini telah membuktikan sikap hipokrit Anwar yang sebenarnya. Ini kerana kita semua tahu sebaik beliau dipecat, Anwar dengan segala kekuatan yang ada, di hadapan puluhan ribu penyokongnya di merata tempat termasuk dalam dan luar negara telah mengutuk dan mengkritik keras Mahathir dengan pelbagai gelaran dan cacian, tetapi pada hari yang sama kutukan itu dibuat, beliau secara peribadi tanpa pengetahuan penyokong-penyokongnya meminta saya untuk menguruskan usaha damai dan berbaik dengan Tun.

“Inikah ciri-ciri seorang pemimpin yang kita semua inginkan?” ujar Ezam.

Ezam sebelum itu hadir menyampaikan ucapan dan membuat pendedahan mengenai surat berkenaan di hadapan lebih seribu penduduk di Kampung Kubang Parit di sini malam tadi.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang menganggap integriti bekas Setiausaha Politik Anwar itu sudah tidak boleh dipercayai ekoran dakwaan yang dibuat tetapi masih belum dibuktikan, Ezam berkata, Husam sepatutnya lebih arif tentang perkara itu kerana beliau sendiri telah menjelaskan kepada Husam mengenai perkara itu dan Husam juga mengakui akan keperibadian Anwar yang sebenar.

“Husam tahu sebab saya meninggalkan Keadilan dari saya masih ingat kata-kata Husam bahawa dia juga kenal peribadi Anwar tetapi mereka (PAS) juga mahu mempergunakan Anwar untuk kepentingan parti (PAS). Kalau itu yang dimaksudkan dengan integriti oleh Husam, rakyat boleh menilai, “kata Ezam.

Ezam juga berkata, beliau sanggup bersumpah menyatakan kebenaran apa yang diperkatakan oleh Husam kepadanya mengenai isu itu.“Anwar juga pernah menyatakan kepada saya bahawa beliau tidak pernah ada hormat kepada PAS, tetapi PAS boleh dipergunakan untuk kepentingan parti (PKR), “katanya.

Menjawab tuduhan Anwar bahawa dia dipergunakan oleh UMNO dan BN, Ezam berkata, Sayidina Ali juga dipergunakan oleh Rasulullah ketika peperangan.

“Tidak salah dipergunakan tetapi perlu dilihat atas dasar apa? Saya rela dipergunakan sekiranya itu adalah cara terbaik untuk melawan sifat munafik manusia seperti Anwar Ibrahim, “katanya.Menurutnya, apa yang beliau lakukan hari ini adalah dengan niat untuk mempertahankan agama dan bangsa.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam bahawa Anwar akan mendedahkan isi kandungan surat yang dihantar oleh Ezam kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Khairy Jamaluddin yang kononnya beliau meminta jawatan dan beberapa kepentingan lain dalam UMNO, Ezam berkata, “Saya cabar Anwar dalam masa tujuh hari untuk mendedahkan bukti isi kandungan surat itu. Kalau dia dapat buktikannya dalam masa tujuh hari, saya akan tinggalkan dunia politik saya dalam masa 24 jam. Sebaliknya jika Anwar gagal berbuat demikian dalam masa tujuh hari itu, saya cabar dia untuk letak semua jawatannya dalam politik, “ tegas Ezam.



1 comment:

rayliew said...

Parti politik sememangnya saling mempergunakan antara satu dengan lain untuk meningkatkan imej masing-masing, pati komonen dalam Pakatan Rakyat juga begitu, masing-masing ada motif di belakang tabir..