Sunday, January 11, 2009

RM 77J NAIK TARAF TASKA KEMAS


ROSMAH (tengah), Muhammad (tiga dari kanan), Musa (kanan) dan Norliza (dua dari kanan) bersama kanak-kanak tadika selepas penyerahan replika cek Permata di Bukit Bayas, semalam.
Sumber: Berita Harian, 11 Mei 2008
KUALA TERENGGANU: Kerajaan memperuntukkan RM77 juta untuk menaik taraf 220 Taska Kemas kepada Taska Permata Kemas mulai tahun ini. Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Dasar Permata negara, berkata sejak ditubuhkan pada 2007, 14 Pusat Permata sudah beroperasi membabitkan 380 kanak-kanak dengan 80 tenaga pengajar berkelulusan sekurang-kurangnya diploma. Beliau berkata, dengan perluasan program Permata di Taska Kemas, Taska Perpaduan, Taska Komuniti, taska tempat kerja dan Taska Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), bilangan taska yang mengguna pakai kurikulum itu dijangka meningkat kepada lebih 300 unit.
Katanya, bagi tahun ini, pihaknya merancang untuk menambah 16 Pusat Permata di seluruh negara bagi membolehkan semua kanak-kanak terutama dari luar bandar menikmati taraf dan kualiti asuhan seperti yang diterima di taska swasta. “Saya harap peruntukan besar ini menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan perkembangan holistik kanak-kanak bawah umur empat tahun terutama dari luar bandar," katanya berucap merasmikan pelancaran Perluasan Program Permata Kemas, semalam. Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Norliza Mahmud.
Pada majlis itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Latifah Abu Mansur menyampaikan replika cek RM77 juta kepada Ketua Pengarah Kemas, Abdul Fuad Md Nayan. Rosmah berkata, perluasan Permata dijangka memberi faedah kepada 7,000 kanak-kanak bawah empat tahun daripada anak golongan berpendapatan rendah. Pada majlis itu, Rosmah memberikan sumbangan peribadi enam komputer kepada Taska Kemas Bukit Bayas.
*********************************************
Tulip Desa
Berita baik untuk kanak-kanak khususnya di luar bandar apabila Kerajaan menaiktaraf Tadika Kemas kepada Taska Permata Kemas. Kanak-kanak bakal menerima pengajaran dan asuhan yang setaraf dengan tadika swasta.
Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 77 juta untuk membangunkan Tadika Kemas. Jumlah yang besar bagi memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan yang secukupnya bagi menghadapai cabaran globalisasi. Inilah Kerajaan yang prihatin yang senantiasa memastikan rakyat menikmati hidup yang selesa.

No comments: