Wednesday, January 7, 2009

Proses penamaan calon terbaik

KUALA TERENGGANU 6 Jan. - Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu hari ini dianggap terbaik berbanding mana-mana pilihan raya kecil sebelum ini hasil kawalan beresan pihak polis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, ia berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku daripada parti-parti yang bertanding.
Beliau berkata, situasi terkawal kerana polis sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan parti-parti politik agar mengawal penyokong masing-masing bagi membolehkan proses penamaan calon berjalan lancar.

''Penyokong kedua-dua parti berarak dengan penuh beradab dan teratur ketika mengiringi calon masing-masing walaupun bilangan mereka ramai iaitu sekitar 45,000 orang bagi kedua-dua parti.

''Ini membuktikan kehadiran polis bukan untuk menyusahkan orang ramai tetapi adalah untuk membantu kelancaran proses penamaan calon dan diharapkan suasana harmoni itu berterusan sehingga hari pengundian dan penjumlahan undi nanti,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan.

Syed Hamid berkata, situasi ini juga menunjukkan kedua-dua parti yang bertanding memahami proses demokrasi dengan baik di samping menunjukkan tahap kematangan yang semakin meningkat.

Menurut beliau, ini juga jelas menunjukkan tindakan awal polis dan kawalan keselamatan yang baik sejak awal perarakan sehingga pengumuman calon berjaya mengelakkan kejadian yang boleh membangkitkan kemarahan penyokong kedua-dua parti.

Mengenai kempen dan ceramah yang akan bermula malam ini, Syed Hamid berkata, sehingga petang ini polis belum menerima sebarang permohonan daripada parti-parti yang bertanding.
''Polis akan cuba memberi kelulusan atau permit dengan cepat jika peraturan dipatuhi,'' ujarnya.
Dipetik dari Utusan Malaysia

No comments: