KUALA LUMPUR 14 Jan. – Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) menjelaskan perubahan waktu siaran Warta Perdana dari pukul 8 malam kepada 9 malam bertujuan membolehkan penonton mengikuti perkembangan berita-berita mutakhir.
RTM dalam kenyataan hari ini memberitahu, semua pihak harus sedar peristiwa atau kejadian penting tidak semestinya berlaku sebelum 8 malam sebaliknya ia boleh berlaku pada bila-bila masa.
Menurut kenyataan itu, setakat ini maklum balas yang diterima amat baik malah ada yang menyatakan perubahan tersebut merupakan satu usaha memartabatkan syiar Islam.
“Pelbagai komen dan maklum balas telah diterima RTM sejak penstrukturan semula TV1 dan TV2. Antaranya daripada seorang pelajar Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Shah Alam yang bersetuju ia diubah.
“Pelajar berkenaan menyatakan perubahan itu amat wajar kerana ia menghormati waktu solat Isyak dan memberi peluang kepada mereka yang berjemaah di masjid untuk tidak ketinggalan menonton berita,’’ jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas perubahan waktu Warta Perdana manakala berita berbahasa Mandarin disiarkan pada pukul 8 malam.
Perubahan tersebut mendapat kritikan ramai terutama penonton RTM yang berharap kementerian itu mengembalikan siaran Warta Perdana kepada waktu asal.
Kenyataan itu menambah, pendapat tersebut turut disokong oleh seorang lagi penonton yang menyatakan ramai di kalangan masyarakat tidak dapat mengikuti siaran berita sebelum ini kerana mereka berada di masjid untuk berjemaah.
“Kata penonton ini, perubahan tersebut merupakan satu langkah ke depan kerana memberi peluang kepada mereka yang berada di masjid mengikuti siaran berita dengan lebih selesa,’’ jelas kenyataan itu.
Kenyataan tersebut menambah, TV1 yang sebelum ini dikenali sebagai RTM1 merupakan saluran informasi dan berita sepenuhnya.
“Selain Warta Perdana, TV1 memulakan siaran berita dalam bahasa Melayu seawal 6 pagi dan diikuti pukul 1 tengah hari, pukul 6.05 petang dan pukul 2 pagi. Kesemua berita ini disiarkan selama 30 minit.
“TV1 juga ada menyiarkan Warta Wilayah iaitu berita yang memuatkan berita-berita negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Ia disiarkan pada pukul 8 malam,’’ ujar kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut, TV1 turut menumpukan rancangan bual bicara secara langsung seperti Semasa@1, Dunia@1 dan Blog@1.
Ia juga memberitahu, TV2 yang dahulu dikenali sebagai RTM2 pula lebih tertumpu kepada program berbentuk drama, filem, dokumentari dan program hiburan untuk tontonan pelbagai lapisan masyarakat.
Sumber: Utusan Malaysia (15 Jan. 2009)
2 comments:
Saya menyokong perubahan waktu kerana ia memberi peluang kepada penonton yang berjemaah di surau dan masjid untuk menikmati berita.
Hari ini mereka tak sempat menonton kerana waktu nya tak sesuai
Saya yakin dengan perubahan masa yang telah dibuat untuk menyalurkan maklumat yang tepat dan padat kepada para penonton zaman sekarang yang lebih peka dan utamakan maklumat..
Post a Comment