Monday, January 12, 2009

'Surat Damai' kepada Dr. Mahathir: Ezam cabar Anwar dan PAS

Sumber:Http://www.agendadaily.com
Perang antara bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) , Ezam Mohd Nor dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagai hampir ke kemuncak apabila Ezam mencabar penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjawab isu ‘surat damainya’ kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 8 September 1998, seminggu selepas beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Malah, berdasarkan ceramahnya di Bukit Kecil, Kuala Terengganu, Ahad malam, Ezam turut mencabar PAS menyatakan pendirian parti itu selepas beliau mendedahkan kandungan surat dua muka surat bertulis tangan yang sekaligus membuktikan Anwar seorang yang munafik serta pembohong.

Katanya surat itu juga akan mendedahkan cara Anwar yang ‘siang lain...malam lain’.
Menurut Ezam yang juga bekas Setiausaha Politik Anwar, beliau akan mendedahkan surat itu beberapa hari lagi sebaik sahaja kembali ke Kuala Terengganu selepas selesai urusannya di Kuala Lumpur, Selasa nanti.

“Saya akan turun lagi ke sini sebelum Sabtu ini (hari pilihanraya kecil) dan akan tunjuk bukti bahawa Anwar seorang yang hipokrit dan penipu. Disebabkan Anwar Ketua Pembangkang, saya juga cabar PAS selepas pendedahan saya nanti untuk nyatakan pendirian serta prinsip parti itu yang sebenarnya, “ kata beliau.
Tegasnya, sebagai parti yang mendokong prinsip mahukan pemimpin yang bersih, PAS perlu tarik balik keputusan mencabar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini selepas pendedahannya nanti. “Itupun kalaulah PAS ada prinsip. Dulu orang Permatang Pauh tak percaya cakap saya pasal 16 September. Akhirnya tak ada apa pun. Kali ini sama ada Anwar jawab atau tidak (cabaran), saya akan buat (dedah) apa yang sepatutnya,” kata Ezam.

"Saya ingat lagi, malam itu dia bukan main marah, kutuk Perdana Menteri kerana pecatnya, tapi dalam surat itu amat berlainan sekali sikap Anwar yang hipokrit," katanya. Ezam berkata, beliau akan mendedahkan semua kandungan surat itu kepada pengundi di Kuala Terengganu sebelum Sabtu ini. Katanya, apa yang berlaku selepas diminta menyerahkan surat itu kepada Tun Dr Mahathir akan diceritakan kemudian.

Beliau juga mengingatkan Anwar supaya bukan sahaja menjawab isu surat itu tetapi turut mencabar Anwar menjawab persoalan enam kotak maklumat yang menjadi isu pada pilihan raya umum di Permatang Pauh dahulu. Ketika pilihan raya kecil itu pada Ogos lalu, Ezam membangkitkan isu enam kotak rahsia yang disimpan oleh Anwar tetapi penasihat PKR itu hanya membisu.
Bagaimanapun, menjelang pilihan raya Kuala Terengganu, pemimpin Angkatan Muda Keadilan mencabar Ezam mendedahkan mengenai kandungan enam kotak tersebut.
“Di Permatang Pauh, Anwar tak jawab. Di sini, disuruh ‘anak-anak cicak’ serang saya dengan isu itu. Dia (Anwar) ingat saya takut. Di Kuala Terengganu, saya buka gelanggang mahu bertarung dengan Anwar,” katanya yang sudah hilang sabar kerana menaganggap maruahnya dipijak-pijak oleh pembangkang berkaitan isu enam kotak itu.

Katanya, beliau menyimpan secara rahsia selama 10 tahun surat itu dan tidak mahu mendedahkannya kerana membabitkan maruah. “Tetapi saya diperleceh, saya dihina kerana isu enam kotak itu sedangkan sebelum ini saya beritahu bahawa Anwar ada menyimpan kotak tersebut,” katanya yang pernah di penjara di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana membuka rahsia mengenai rasuah pemimpin negara ini semata-mata kerana setia kepada Anwar dan mahu membelanya sebelum ini. Lebih 1,000 orang mendengar ceramah Ezam serta bekas ketua AMK Johor, Lokman Nor Adam serta bekas ketua AMK Perak Hamdan Taha.

Kini Kuala Terengganu bukan sahaja menyaksikan persaingan sengit calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut serta seorang calon bebas, tetapi perang berterusan Ezam dan Anwar. Apapun, Ezam kali ini memilih menggunakan satu peluru bagi menumbangkan dua musuh dengan cabarannya terhadap Anwar dan PAS supaya menyatakan prinsip parti itu sebaik sahaja kandungan surat 8 September 1998 didedahkan kelak.

Pasti igauan 16 September yang menjadi mimpi buruk Anwar kerana gagal menawan Putrajaya beralih kepada igauan baru dengan surat kepada Tun Dr Mahathir juga pada bulan September.
*********************************************
Tulip Desa
Syabas, Tulip ucapkan kepada Ezam kerana keberaniannya untuk menegakkan keadilan. Sudah pasti Brother Anwar kecut perut kerana rahsia besarnya bakal terbongkar sekaligus melunturkan sokongan penyokong fanatiknnya. Apakah pendirian PAS terhadap Brother Anwar selepas ini? Apakah masih setia untuk melindungi ketua pembangkang yang jelas bersifat pembohong dan hipokrit. Mana prinsip PAS yang mahukan pemimpin yang bersih? Memang betullah Brother Anwar ini spesis 'siang lain........malam lain. Yang pastinya, impian Brother Anwar untuk menawan Putrajaya semakin kelam dan berkabus .

No comments: