Sunday, January 11, 2009

Hudud: PAS tak payah nak sekolahkan Umno - Najib

KT: Umno tidak memerlukan penjelasan PAS mengenai pelaksanaan undang-undang hudud yang kini turut menjadi 'hangat' dalam Pakatan Rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak hari ini.

"Tak perlu nak menyekolahkan Umno kerana mereka (PAS)... ini main politik dari mula lagi," kata beliau pada hari keempat kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Dalam isu hudud ini, Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, beliau percaya ramai pengundi bukan Islam yang tidak senang hati dengan apa yang dinyatakan pemimpin PAS itu.

Najib mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelah pagi ini bahawa pihaknya tidak perlu lagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan hukum hudud dan qisas kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh kerana Ahli Parlimen Jelutong itu telah faham mengenainya.

"Kita dah pernah buat seminar dan berbincang pasal benda ini (hudud dan qisas) kepada semua pemimpin Pakatan Rakyat. Saya rasa tak perlu lagi saya nak jelaskan kepada DAP kerana saya rasa Karpal Singh (Pengerusi DAP) dah faham.

"Sekarang ini persoalannya kenapa Umno menolak untuk dilaksanakan hudud? Saya bersedia untuk berbincang dan memberikan penjelasan kepada Umno mengenai hudud," kata beliau kepada pemberita di kediamannya di Rusila, Marang dekat sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Karpal yang meminta parti itu menjelaskan mengenai pelaksanaan hukum hudud itu. Hadi memberitahu, PAS sedia berbincang dengan Umno bagi memberikan penjelasan mengenai implikasi hukum itu jika ia dilaksanakan.

Najib menyatakan demikian selepas merasmikan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, dan pengumuman penawaran Program Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan oleh Universiti Darul Iman (UDM) di sini.

Dalam pada itu, Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, hubungan parti-parti dalam Pakatan Rakyat tidak mampu menyamai apa yang ada pada Barisan Nasional (BN) dan semakin goyah dari hari ke hari sejak pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Sehingga kini, kata beliau, parti-parti dalam Pakatan Rakyat - PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat masih belum mempunyai dasar bersama, malahan ikatan di antara mereka juga semakin goyah.

"Saya selalu menyatakan bahawa mereka tidak ada pendirian dan dasar bersama... cuma ada pakatan longgar yang bertujuan untuk menumbangkan kerajaan Barisan, tetapi mereka tidak boleh membentuk satu pakatan yang ada dasar bersama pun.

"Ini yang menyebabkan dari hari ke hari kita lihat semakin banyak perbezaan pendapat dalam Pakatan Rakyat, termasuk isu hudud yang hanya menjadi mainan politik PAS," katanya.
Menyentuh perkembangan kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Najib berkata, beliau berpuas hati dengan gerak kerja jentera BN.

"Jentera kita bergerak dengan lancar, baik dari sayap, komponen dan juga Menteri Besar, calon sendiri (Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh) dan yang lain berusaha menemui pengundi seramai yang mungkin," katanya.

Najib menambah, penekanan yang diberikan BN ialah tentang calon yang boleh berkhidmat dengan baik untuk rakyat walaupun PAS lebih mempromosikan personaliti calon sebagai seorang yang lantang bersuara.

"Wakil rakyat yang boleh selesaikan masalah, bawa perubahan dan memberi khidmat terbaik adalah jelas calon BN berbanding daripada pembangkang.

"Yang penting sekarang adalah realiti, kita tak bercakap pasal retorik. Wakil rakyat kita boleh berkhidmat kepada rakyat dan juga memainkan peranan mereka dalam dewan (Dewan Rakyat)," katanya.

Mengenai isu projek yang dilaksanakan kerajaan Terengganu yang didakwa pembangkang sebagai satu pembaziran, Najib berkata, kerajaan mempunyai perancangan besar bagi setiap projek yang dilakukan.

"Kerajaan sudah garis banyak benda untuk bantu rakyat... sepatutnya (projek-projek) seperti Piala Monsun tak dijadikan isu, tapi kita boleh pertahankan kerajaan negeri buat acara itu antara lain untuk menjadikan Terengganu sebagai tarikan pelancongan," kata beliau.

"Perkara-perkara lain tidak penting, bukan teras... parti pembangkang cuba membawa perkara-perkara lain tetapi sebenarnya isu utama dalam pilihan raya ini ialah siapakah yang terbaik untuk pengundi di kawasan Kuala Terengganu," katanya. / Mstar

No comments: