Saturday, January 10, 2009

Peruntukan kerajaan bina perumahan rakyat

KUALA TERENGGANU 9 Jan. - Sebahagian besar daripada peruntukan RM7 bilion yang diluluskan kerajaan tahun lalu, untuk program kesejahteraan hidup rakyat akan digunakan bagi projek pembinaan perumahan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, selain itu ia juga akan digunakan untuk membantu kontraktor Kelas F di seluruh negara menjayakan projek masing-masing.

Menurutnya, ada di antara projek berkenaan telah dilaksanakan manakala sebahagian besar lagi akan bermula bulan ini.

"Jika kita tak mampu laksanakan, kita tidak akan berjanji tapi bila kita janji, kita laksanakan," katanya semasa berucap pada majlis perasmian dan pecah tanah projek perumahan nelayan dan setinggan Pantai Pandak di Chendering hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokthar Nong dan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Najib memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan menggunakan peruntukan semaksimum mungkin untuk membantu rakyat.

Mengenai pilihan raya kecil ini katanya, ia merupakan peluang kepada rakyat untuk memilih calon terbaik untuk mewakili mereka.

"Pilihan raya ini hanya untuk memilih seorang wakil rakyat. Ia tidak boleh menentukan kerajaan kerana BN adalah kerajaan sekarang," katanya.

Mengenai dakwaan pembangkang kononnya mereka mampu mengubah kerajaan Najib memberitahu, beliau tidak fikir mereka mampu untuk berbuat demikian.
Katanya, sebelum ini pun pembangkang mendakwa berupaya menubuhkan kerajaan tetapi apabila tiba masanya segala dakwaan itu tidak menjadi kenyataan.

Menurutnya, punca pembangkang gagal menubuhkan kerajaan adalah kerana mereka tidak mempunyai keupayaan atau kemampuan untuk berbuat demikian.
"Sejak awal lagi bila dia (pembangkang) kata dia nak tubuh kerajaan saya tidak percaya malah mereka tidak berani untuk berbuat demikian.

"Bagaimana untuk saya percaya sedangkan kita (BN) mempunyai cukup majoriti untuk memerintah negara," ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia (10 Jan. 2009)
*************************************
Citra Adora:
Pembangkang memang tidak berupaya dan mampu memerintah negeri apatah lagi sebuah negara. Kita sendiri sedia maklum pembangkang tidak berjaya membawa pembangunan kepada negeri-negeri yang ditakluknya meskipun sudah sekian lama mentadbir.
Contoh paling jelas ialah negeri Kelantan. Hampir dua dekad PAS mentadbir Kelantan tetapi lihatlah hasilnya. Tidak banyak pembangunan yang berjaya dibawanya. Masih ramai rakyat yang hidup di takuk lama. Tiada peningkatan sosioekonomi yang boleh dibanggakan untuk dibandingkan dengan negeri-negeri jajahan Kerajaan BN.

No comments: