Tuesday, January 6, 2009

Najib: BN sedia jawab isu dibangkitkan pembangkang

Utusan Online

KUALA TERENGGANU 6 Jan. — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) bersedia menjawab segala isu yang akan dibangkitkan pembangkang pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Jan ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, BN tidak menjangkakan banyak isu akan ditimbulkan pada pilihan raya kecil itu, yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon BN, PAS dan Bebas.

Beliau berkata pada masa ini, pembangkang semakin terdesak menggunakan isu-isu nasional dan keadaan itu menunjukkan bahawa mereka sudah ketandusan isu.

“Pada pilihan raya kecil ini, isu yang mungkin menjadi tumpuan ialah isu tempatan. Bagaimanapun, jika ada isu nasional, BN sedia jawab,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri di sini hari ini.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ditentang calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail pada 28 Nov lepas. Pada pilihan raya umum Mac lepas, Razali menang dengan majoriti 628 undi. - Bernama

No comments: