Saturday, January 10, 2009

Yakinkan pengundi pilih calon BN - TPM

KUALA TERENGGANU 9 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua komponen dalam jentera Barisan Nasional (BN) bekerja keras untuk meyakinkan pengundi supaya memilih calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pengundi perlu diberitahu bahawa isu teras dalam pemilihan seseorang wakil rakyat ialah beliau merupakan seorang yang boleh membawa perubahan dan memberi khidmat berkesan untuk rakyat.

Dalam hal ini jelasnya, mempunyai wakil rakyat yang lantang bersuara saja tidak mencukupi, sebaliknya jika beliau merupakan wakil dari kerajaan negeri dan Pusat, wakil rakyat itu mempunyai kelebihan untuk memberi khidmat berbanding anggota pembangkang.
"Perkara lain tidak penting, parti pembangkang cuba bawa perkara lain tapi isu utama dalam pilihan raya ialah isu siapa yang terbaik untuk pengundi.

"Apa yang penting ialah realiti, kita tidak bercakap pasal retorik atau menjadi wakil kepada rakyat saja, kita bercakap mengenai keupayaan untuk melaksanakan tugas dan membuat perubahan yang dikehendaki," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Darul Iman Malaysia di sini hari ini.

Menurut Najib, anggota pembangkang memang boleh bersuara di dalam Dewan Rakyat, namun untuk mencari peruntukan bagi menyelesaikan sebarang masalah, calon BN mempunyai kelebihan kerana beliau merupakan anggota kerajaan.

Mengenai pergerakan jentera BN masuk hari keempat berkempen, Najib berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh semua pihak.

Menurutnya, semua komponen dalam jentera memainkan peranan masing-masing termasuk calon, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

"Saya lihat jentera BN bergerak dengan baik dan lancar. Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan calon kita serta jentera yang lain nampaknya bekerja kuat untuk menemui seberapa ramai pengundi yang mungkin," ujarnya.

Mengenai dakwaan pembangkang bahawa projek-projek yang dilakukan oleh kerajaan di Terengganu tidak membawa kebaikan kepada rakyat, jelasnya, perkara itu tidak seharusnya terus dijadikan isu.

Menurutnya, kepimpinan Terengganu di bawah Ahmad telah menggariskan agenda berasaskan konsep mesra rakyat dalam projek-projek pembangunan yang menggunakan wang royalti minyak.

"Kita harus pertahankan beberapa program yang dijalankan umpamanya Piala Monsun ialah usaha untuk mempromosikan Terengganu. Ini adalah sebahagian usaha kita untuk meletakkan Terengganu di peta dunia," ujarnya.

Mengenai kekejaman Israel di Gaza jelasnya, Malaysia akan meneruskan usaha membantu rakyat Palestin kerana itu merupakan pendirian kerajaan.

Namun katanya, pada akhirnya isu itu hanya boleh diselesaikan melalui usaha di peringkat multilateral dan dalam hal ini apa yang dikesali Malaysia ialah disebabkan kuasa besar ada kepentingan strategi tertentu, rakyat Palestin yang menjadi mangsa.
Sumber: Utusan Malaysia (10 Jan. 2009)

No comments: