Wednesday, January 7, 2009

Penjelasan Terhadap Permakaian Tali Pinggang Keledar Tempat Duduk Belakang

Mustikaindah

Arahan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar di belakang adalah satu usaha murni kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia selamat di jalan raya. Banyak kemalangan maut yang melibatkan kegagalan penumpang untuk memakai tali pinggang di belakang. Ini menyebabkan penumpang mengalami hentakan yang kuat malah mungkin akan tercampak keluar dari kenderaan.

Kemalangan maut yang berlaku di Gua Musang sehingga meragut nyawa kesemua penumpang kecuali kanak-kanak berusia setahun setengah itu amat mengejutkan seluruh rakyat Malaysia. Mungkin bagi sesetengah orang, mereka berpendapat kejadian tersebut sudah takdir namun apa yang pasti kemalangan boleh dielakkan jika pemandu dan penumpang sentiasa beringat.

Ketika Mustika dalam perjalan ke Kuala Terengganu dari Kuala Lumpur melalui Jalan Al-Muktafi Billah Shah minggu lepas, terdapat 3 kemalangan melibatkan kereta, van dan pacuan empat roda. Hati terdetik apakah nasib mereka jika ciri-ciri keselamatan diabaikan...

Rakyat harus sentiasa beringat...Kerajaan mengarahkan dan mewajibkan begitu ada faedahnya... sekurang-kurangnya risiko kemalangan dapat dielakkan terutama di jalan-jalan yang disyaki selalu mengalami kemalangan maut bukan sahaja di Felda Jerangau, Dungun dan Marang malah di seluruh Malaysia...

BERIKUT ADALAH Penjelasan Terhadap Permakaian Tali Pinggang Keledar Tempat Duduk Belakang:

SUMBER: panducermat.org

Bermula 1 Jun 2008, Kerajaan memulakan kempen advokasi pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang. Ianya merupakan satu pendekatan bagi melaksanakan dasar baru keselamatan jalan raya iaitu pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang, sebelum tindakan penguatkuasaan dimulakan.

Kempen advokasi ini akan diadakan bagi tempoh 6 bulan.

Kempen advokasi ini bertujuan untuk membiasakan orang ramai terhadap peraturan baru pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang. Pegawai-pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan mengadakan Operasi Nasihat di seluruh negara.

Dalam operasi ini, mana-mana penumpang tempat duduk belakang yang didapati tidak memakai tali pinggang keledar akan diberikan nasihat (termasuklah memberikan risalah dan pelekat) berkenaan kepentingan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang.

Penguatkuasaan

Bermula 1 Januari 2009, peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang akan dikuatkuasakan ke atas semua jenis kenderaan kecuali kenderaan-kenderaan seperti berikut:

kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 1995;

kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995, tetapi tidak dilengkapi dengan anchorage points;

kenderaan komersil termasuk teksi dan kereta sewa;

kenderaan penumpang yang mempunyai lebih dari 8 tempat duduk tidak termasuk tempat duduk pemandu; dan

kenderaan barangan yang mempunyai had muatan barangan melebihi 3.5 tan.


Kerajaan berhasrat melaksanakan peraturan yang sama ke atas kenderaan-kenderaan seperti yang dinyatakan dalam perenggan 3(iii) dan (iv) di atas secara berperingkat-peringkat.
Bagi kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995 dan mempunyai anchorage points, tetapi tidak dipasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang, pemilik kenderaan tersebut diberi tempoh selama 3 tahun untuk memasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang. Tempoh 3 tahun bermula dari 1 Januari 2009.

Kerajaan telah mendapat kerjasama dari pihak industri dan beberapa pembuat kenderaan untuk memasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang secara percuma bagi kenderaan yang masih belum dipasang dengan tali pinggang keledar tempat duduk belakang.

Sekiranya bilangan penumpang melebihi dari bilangan tali pinggang tempat duduk belakang, pemandu kenderaan tersebut bertanggungjawab untuk memastikan kesemua tali pinggang keledar tempat duduk belakang yang ada digunakan sepenuhnya. Sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemandu kenderaan tersebut.

Peraturan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 sedia ada berkenaan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk hadapan adalah masih terpakai ke atas semua jenis kenderaan.

No comments: