Monday, January 12, 2009

ANTARA KHIDMAT DAN SUARA

Sumber: Mingguan Malaysia, 11 Januari 2009

Mukadimah

Pada Sabtu ini, seramai 80,229 pengundi di Kuala Terengganu akan keluar memilih ahli Parlimen mereka yang baru bagi menggantikan Allahyarham Datuk Razali Ismail. Pilihan raya kecil berkenaan bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru yang melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut dan calon bebas, Azharudin Mamat.

Bagaimanapun tumpuan sudah tentu akan diberikan kepada dua musuh tradisi iaitu BN dan Pas. Apa yang menarik ia bakal menyaksikan pertembungan antara Wan Ahmad Farid yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya dengan Mohd Abdul Endut yang sudah lima penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam – salah satu DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Bagi Wan Ahmad Farid, pilihan raya ini amat penting kerana beliau rela melepaskan kedudukannya sebagai Senator dan Timbalan Menteri semata-mata untuk menawarkan diri berkhidmat untuk rakyat. Keadaan ini berbeza dengan Mohd Abdul Wahid yang dalam pilihan raya ini dilihat sekadar untuk ‘melebarkan sayap’ dari DUN kepada Parlimen pula.

Apapun kedua-dua mereka mempunyai visi dan agenda sendiri, untuk mengetahuinya wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan HERMAN MAJID menemui kedua-dua calon itu di Kuala Terengganu.

Wan Ahmad Farid meminta supaya beliau diberi peluang untuk berbakti bagi meneruskan agenda-agenda yang ditinggalkan oleh Allahyarham Razali serta memastikan program bagi memberi kesejahteraan kepada penduduk Kuala Terengganu dapat diteruskan. Mohd Abdul Wahid pula berharap, rakyat akan memilihnya bagi membolehkan beliau menjadi wakil rakyat kedua dari pembangkang di Parlimen. Katanya, “Saya ingin mengetengah hasrat dan suara rakyat.”
Datuk Wan Ahmad Farid, calon Barisan Nasional.

MINGGUAN: Setelah menjalankan kempen setakat ini, sejauh manakah penerimaan orang ramai terhadap Datuk?

WAN AHMAD FARID: Bila kita berdepan dengan pilihan raya kecil ini, kita harus menerima hakikat bahawa kita menang dengan majoriti yang tidak tinggi dalam pilihan raya umum lalu iaitu hanya dengan 628 undi berbanding pencapaian 2004. Tetapi dari sudut positifnya, sekurang-kurangnya rakyat Kuala Terengganu telah memberi mandat kepada BN sebanyak dua penggal berturut-turut, maknanya ada harapan untuk rakyat terus memberikan sokongan dan harapan kepada BN. Jadi oleh sebab rakyat sanggup memberi mandat kepada BN selama dua penggal maka harapannya mereka akan menyambung mandat tersebut, ini kerana kita hanya memperoleh mandat 10 bulan lalu.

Sepanjang bertemu penduduk apa yang mereka luahkan?

WAN AHMAD FARID: Yang mereka bangkitkan ialah masalah-masalah tempatan seperti sistem perparitan, rumah bocor dan pinjaman untuk masuk universiti. Ini adalah isu-isu yang boleh kita selesaikan. Dari segi positif pula ialah hanya calon yang mempunyai ikatan dengan kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang boleh menyelesaikan masalah-masalah tersebut, akhir ceritanya rakyat akan memilih orang yang boleh menyampaikan, itu tafsiran saya.

Walaupun Datuk berkata demikian tetapi Pas lebih banyak memberi penekanan kepada soal untuk membawa suara rakyat ke Parlimen termasuklah membangkitkan soal penyelewengan?

WAN AHMAD FARID: Pas mempunyai seorang Ahli Parlimen dari Terengganu dan kalau tugas Pas hanya untuk bercakap soal penyelewengan maka saya tidak fikirlah perlu dihantar satu wakil lagi ke Parlimen. Dari segi bilangan pembangkang telah banyak. Saya fikir bahawa trend pengundian Mac mencipta satu barisan pembangkang yang kuat di mana mereka tidak pernah beri mandat kepada Pas, PKR atau DAP untuk tubuh kerajaan. Apa yang rakyat lakukan hanya setakat mewujudkan pembangkang yang kuat, sebab itu berlaku penafian dua pertiga dalam Parlimen kepada BN. Kalau itu sudah tercapai kenapa perlu pembangkang diperkuatkan lagi. Dalam keadaan dari segi bilangan sudah ada jadi tidak ada sebab kita memperkuatkan pembangkang apa yang lebih penting untuk mencari kestabilan politik.

Dalam ceramah-ceramah, Pas juga mula memainkan sentimen Allahyarham Datuk Razali Ismail bagi meraih undi, apa pandangan Datuk?

WAN AHMAD FARID: Kalau Pas benar-benar mempercayai bahawa Allahyarham Datuk Razali seorang pemimpin yang pada pandangan mereka layak diberikan tempat dalam Parlimen saya tidak fikir mereka akan meletakkan calon pada tahun 2008. Pada saya, BN sememangnya yakin bahawa Allahyarham mempunyai pengalaman, kewibawaan, dan seorang Ahli Parlimen yang berkesan, tetapi bagaimana dengan Pas? Apakah mereka mempunyai pandangan yang sama? Jika jawapan ‘ya’ Pas sudah tentu tidak akan ‘mengimport’ calon dari luar untuk bertanding menentang Allahyarham dalam pilihan raya umum lalu. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa komen Pas itu tidak berasaskan kepada keyakinan sebenar akan kebolehan Datuk Razali.
Allahyarham Razali telah meninggalkan banyak agenda dalam bidang pendidikan, oleh itu apa mesej yang hendak Datuk sampaikan kepada pengundi?

WAN AHMAD FARID: Kita tahu keseluruhan kehidupan dewasa Allahyarham adalah pendidikan dan Allahyarham beritahu saya banyak tentang dunia pendidikan dan hari-hari terakhir pun beliau bercakap soal pendidikan. Ada antara agenda pendidikan itu telah dilaksanakan oleh UMNO, di mana Allahyarham memainkan peranan penting termasuk mengadakan tuisyen percuma dan beberapa program lain yang dilakukan oleh Allahyarham dan saya tidak nampak apa masalah di situ kerana Allahyarham telah meletakkan asas yang kita cuma menyambung apa yang telah diletakkan itu.

Dalam ceramah Pas mereka suruh undi calon Pas, pengajaran kepada UMNO kerana didakwa tidak melayan Allahyarham Razali dengan baik?

WAN AHMAD FARID: Pertamanya, saya tidak fikir bahawa pilihan raya adalah medan untuk kita membalas dendam. Ia adalah medan untuk memilih calon yang terbaik bagi mewakili dan mengetengahkan suara rakyat. Kedua, tidak dalam keadaan apa sekalipun UMNO menyisihkan Razali, tidak ada bukti kita berbuat demikian. Kita tahu Allahyarham bertanding tidak menang tetapi ramai lagi yang menerima nasib yang sama. Allahyarham Datuk Razali apabila tidak menang saya melantiknya sebagai AJK bahagian dan sebagai Pengerusi Biro Pembelaan Rakyat dan Allahyarham sudah pun membuat mesyuarat mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai kerajaan bagaimana hendak membela nasib penduduk di Wakaf Mempelam. Oleh itu tuduhan mengatakan bahawa UMNO menyisihkan Datuk Razali tidak benar dan mengatakan ini adalah satu medan untuk membalas dendam, saya tidak fikir kita boleh memberikan ruang. Pilihan raya bukan medan untuk membalas dendam dan saya tidak fikir membalas dendam ada dalam ajaran Islam.

Dari segi isu, Pas masih terus membangkitkan isu- isu yang sebelum ini sudah disebut dalam kempen pilihan raya umum lalu, kenapa ini dilakukan?

WAN AHMAD FARID: Apabila seseorang itu ketiadaan isu atau bahasa orang politik kebankrapan isu maka mereka terpaksa mengulangi isu-isu yang telah mereka gunakan dan gagal. Memang jelas beberapa isu yang dibangkitkan itu sudah digunakan dalam pilihan raya umum dan jelas rakyat mengekalkan majoriti dua pertiga BN dalam DUN dan memberikan tujuh daripada lapan kerusi Parlimen kepada BN. Ini menunjukkan bahawa isu yang ditimbulkan tidak memberi kesan secara yang boleh menjejaskan sokongan BN secara keseluruhan di negeri Terengganu. Jadi mengulangi isu yang tidak mendapat tempat di hati rakyat bagi mengubah pendirian mereka adalah satu taktik kesilapan taktik yang sepatutnya tidak boleh dibuat oleh pakar-pakar strategik dalam Pas.

Adakah Datuk bersetuju bahawa pengundi bukan Melayu akan menjadi penentu?

WAN AHMAD FARID: Dalam berdepan dengan pengundi kita tidak boleh mengutamakan sesuatu kaum dan mengenepikan kaum yang lain. Kepada kita, semua undi adalah mustahak sama ada undi Melayu, Cina dan India, tetapi pandangan pengundi Cina di Kuala Terengganu bahkan Terengganu amat berbeza dengan pandangan mereka yang berada di negeri-negeri sebelah barat. Kalau orang Melayu layak diberi bantuan dana khas RM300 orang Cina pun mendapat jumlah yang sama. Jadi bermakna berlaku keadilan di kalangan orang-orang yang layak terima sumbangan, kita juga telah membuktikan bahawa sementara kerajaan ini adalah majoritinya Melayu khususnya dalam exco kerajaan negeri tetapi hakikatnya ini adalah kerajaan yang membela semua kaum dan agama.

Dari segi personaliti, masih ada dakwaan Datuk sombong, apa komen Datuk?

WAN AHMAD FARID: Saya tidak boleh menjadi hakim kepada persepsi yang dikatakan kepada saya dan saya sendiri tak tahu punca sebenar ia terjadi. Tetapi seperti mana yang selalu saya sebut bahawa dalam tempoh 14 tahun dalam politik tidak ada pun orang yang menuduh saya sebagai seorang yang sombong dan Pak Lah pun sudah terangkan bahawa dia dengar orang kata saya sombong dan kalau dia tahu saya sombong dia tidak akan lantik sebagai Setiausaha Politiknya. Jadi kenapa isu ini tiba-tiba muncul? Ia disebab kani ada agenda politik. Tetapi kepada saya apapun tuduhannya, saya tidak boleh hilang fokus, saya mesti fokus,fokus,fokus.
Kalau tuduhan itu dibuat saya lebih cenderung untuk menafikan bukan secara lisan tetapi perbuatan. Kawasan jiran saya mereka tahu siapa saya. Saya sebenarnya tidak berasa bimbang dengan tuduhan-tuduhan mereka yang tidak layak mengundi. Saya lebih suka berinteraksi dengan orang-orang yang benar mempunyai kuasa mengundi.

Tidakkah tindakan mereka itu seolah-olah menghukum Datuk sebelum mereka mengenali Datuk terlebih dahulu?

WAN AHMAD FARID: Saya banyak kali mengatakan berilah saya peluang untuk saya memberikan saudara-saudara peluang, tolonglah saya untuk saya menolong saudara, bantulah saya untuk saya membantu saudara. Jadi apabila persepsi ini timbul memang dari satu sudut ia tidak adil kerana pertama saya tidak pernah menjadi wakil rakyat, waima sepenggal pun tak pernah sedangkan ada orang sudah lima penggal menjadi wakil rakyat. Orang yang membuat kesimpulan bahawa sombong itu barangkali 90 peratus daripadanya tidak pernah jumpa saya pun. Bila kita tanya kenapa dia kata saya sombong, dia jawab kerana dengar orang kata saya sombong. Benda-benda ini bagaimanapun tidak menjejaskan keutamaan dan menghilangkan fokus saya.Jika saya mengizinkan diri saya menjadi terikat dengan persepsi ini maka saya tidak boleh fokus dengan apa yang dibuat dalam kempen ini.

Tidakkan persepsi ini boleh menjejaskan peluang Datuk?

WAN AHMAD FARID: Sebenarnya, jentera BN mengetahui pergerakan saya dan mengetahui bagaimana saya masuk ke kampung-kampung dan berjumpa dengan petugas parti. Mereka boleh jadi pembela saya kalau orang kata saya sombong. Sebenarnya persepsi ini terjadi kerana selama ini masuk ke kampung berjumpa dengan orang sakit ia tidak dilaporkan. Jika dilaporkan oleh media maka ia secara automatik boleh menafikan bahawa saya sombong, ada asas mana kata saya sombong tak tahu. tetapi saya tetap akan fokus dan tidak akan menghiraukan tuduhan-tuduhan ini.

Tidak sampai enam hari lagi kempen apa tumpuan Datuk?

WAN AHMAD FARID: Fokus saya ialah berjumpa dengan seramai mungkin pengundi dan saya lebih memilih untuk mengadakan perbincangan kecil-kecil tetapi saya kena kerja kuatlah. Setiap hari saya jumpa antara 50 hingga 60 orang satu kumpulan dan purata saya bertemu dengan 3,000 dalam sehari. Itu lebih berkesan kerana ia ada interaktif, kalau saya boleh ceramah untuk 20,000 orang, ia hanya berbentuk satu hala tidak berbentuk interaktif

Apakah mesej kepada pengundi supaya tidak melakukan tindakan berasaskan persepsi?

WAN AHMAD FARID: Saya meminta supaya mereka mengambil kira bahawa saya kali pertama menawarkan diri untuk menjadi Ahli Parlimen, maka saya minta diberikan ruang dan peluang untuk saya berkhidmat, saya tidak menjanjikan bulan bintang, langit bumi, pahala dosa, syurga neraka tetapi saya menjanjikan khidmat yang terbaik dan khidmat yang ikhlas kepada rakyat. Saya sedia dihukum jika gagal menunaikan janji itu.

No comments: