Wednesday, January 14, 2009

Pas putar belit fakta kemiskinan di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Parti pembangkang sengaja memutar belit fakta dengan mendakwa kononnya Terengganu masih berada di tempat kedua kadar kemiskinan tertinggi dalam negara bagi menutup kelemahan mereka ketika memerintah negeri itu dari 1999 hingga 2004, kata bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh. Beliau berkata pembangkang memberikan maklumat yang kurang tepat mengenai perkara itu dalam siri ceramah mereka bagi memburukkan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini. Katanya, fakta yang menunjukkan bahawa Terengganu menjadi negeri kedua termiskin dalam negara, sebenarnya adalah semasa negeri Terengganu di bawah pentadbiran Pas.

“Selepas BN kembali memerintah pada Mac 2004 hingga 2007, kadar kemiskinan turun dari 15.4 peratus kepada 6.5 peratus dengan pendapatan purata penduduk meningkat daripada RM1,984 kepada RM2,463,” katanya kepada pemberita pada majlis penutupan Program Jejak Rakan Sebaya anjuran Pemuda Bahagian Kuala Terengganu di sini hari ini. Majlis itu disempurnakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga Menteri Pelajaran, dan yang turut hadir ialah Ketua Pemuda Umno negeri, Mohd Sabri Alwi. Idris berkata, Terengganu kini bukan lagi negeri kedua termiskin, sebaliknya ia sudah turun ke tangga keempat, hasil program-program yang dilakukan kerajaan untuk memajukan ekonomi rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa pembangkang terutama Pas supaya tidak lagi membohongi rakyat dengan memberikan fakta yang tidak tepat sedangkan pada masa yang sama parti itu mendakwa bahawa perjuangan mereka berlandaskan Islam. Sementara itu, Hishammuddin mengarahkan semua jentera pemuda supaya menggunakan tempoh berkempen yang tinggal beberapa hari lagi, untuk terus mengingatkan penduduk Kuala Terengganu tentang peritnya kehidupan rakyat semasa PAS memerintah negeri itu. “Inilah jentera yang akan digunakan untuk beri penjelasan kepada perkara-perkara yang cuba dimanipulasi oleh pembangkang. Kalau tak dijelaskan, orang akan terpengaruh,” katanya. - Bernama
***********************************************************
Tulip Desa
Jelas PAS gemar memanipulasikan fakta khususnya isu kemiskinan bagi melindungi kegagalannya ketika memerintah Terengganu. PAS bijak meletakkan kelemahannya di bahu Kerajaan Barisan Nasional supaya kredebiliti dan imej Kerajaan tercalar di kacamata rakyat. Pada pandangan Tulip, pengundi perlu sedar dengan niat jahat Pakatan Rakyat yang mengambil kesempatan untuk memperbodohkan-bodohkan rakyat dengan pembohongannya itu.

No comments: