Tuesday, January 6, 2009

Syabas Bantu Mangsa Banjir Di Pantai Timur

Bernama Online



KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Berikutan kejadian banjir yang melanda Pahang, Kelantan dan Terengganu, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bersiap sedia untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terlibat.

Pengerusi Eksekutif Syabas Tan Sri Rozali Ismail berkata bantuan yang akan disalurkan itu bertujuan memastikan semua mangsa banjir mendapat bekalan air bersih bagi kegunaan harian mereka.

Beliau berkata Syabas akan menyediakan stok air minuman botol bersaiz lima liter dan air minuman bersaiz 500 mililiter selain 42 buah lori tangki air untuk dihantar ke kawasan yang dilanda banjir.

"Syabas merasakan sumbangan yang bakal diberi merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial Syabas dalam usaha untuk turut sama turun padang bagi membantu kerajaan menghadapi situasi bencana alam seperti ini," katanya dalam satu kenyataan.

Rozali berkata sumbangan sedemikian merupakan tanda keprihatinan Syabas terhadap kejadian yang menimpa para penduduk di negeri terbabit serta meringankan beban mangsa.

-- BERNAMA

No comments: