Dipetik dari BeritaHarian online
KUALA TERENGGANU: Pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut, sebagai calon Pas pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu memberi gambaran Pas sedang bergolak, kata Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad. Beliau berkata, pemilihan Abdul Wahid adalah di luar jangkaan kerana sebelum ini nama beberapa tokoh lain disebut bakal mencabar calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh. "Ini menunjukkan dalam Pas sekarang sedang berlaku pergolakan dan perpecahan kerana sebelum ini nama orang lain yang hangat diperkatakan bakal dipertaruhkan Pas.
"Berdasarkan situasi ini, kita yakin BN akan memenangi pilihan raya kali ini. Puteri akan menggerakkan seluruh jentera turun padang bagi membantu calon kita," katanya selepas melawat beberapa bilik gerakan BN di sekitar Wakaf Mempelam di sini, semalam. Noraini berkata, Puteri akan memberi kerjasama dan sokongan padu bagi memastikan calon dipilih BN mencapai kemenangan. "Puteri mengutamakan kepentingan parti, tujuan kita ke sini adalah untuk memastikan kemenangan BN kerana Parlimen Kuala Terengganu adalah kerusi BN sebelum ini.
"Kita yakin calon BN yang dipilih bagi mempertahankan kerusi ini yang disandang BN sebelum ini mampu melaksanakan amanah dipikulnya," katanya. Katanya, Puteri Umno akan turun padang bagi mendekati pengundi dengan pelbagai pendekatan dan program yang sudah diatur bagi membantu calon BN berkempen. Sebelum ini Pas dikatakan akan menamakan Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Nawawi atau Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mustaffa Ali sebagai calon. Sementara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dilaporkan mahu Mohamad Sabu bertanding di situ. Bagaimanapun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetap mahukan calon pilihannya iaitu Abdul Wahid bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini dan penamaan calon pada 6 Januari. Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 80,229 pengundi yang datang daripada empat DUN iaitu Wakaf Mempelam, Batu Buruk, Ladang dan Bandar.
*******************************************************************************************************
No comments:
Post a Comment