Saturday, January 3, 2009

Jangan beranggapan buruk kehadiran polis

KUALA TERENGGANU 2 Jan. - Polis meminta orang ramai membuang tanggapan buruk terhadap kehadiran 6,000 anggotanya di daerah ini bagi mengawasi perjalanan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata,
kehadiran mereka bagi memastikan pilihan raya kecil itu berjalan lancar dan mengelak perkara buruk daripada berlaku.
Katanya, pilihan raya kecil kali ini sudah tentu menjadi tumpuan seluruh negara dan menjadi kemestian bagi polis dalam memastikan keselamatan orang ramai terjamin.
"
Janganlah menggangap perkara bukan-bukan di sebalik kehadiran ramai pegawai polis ini, anggaplah mereka sebagai rakan kerana kita akan memberikan keselamatan terbaik sepanjang kempen nanti
"Kehadiran polis juga adalah untuk membendung jenayah dan kita akan memberikan yang terbaik kepada orang Terengganu,"
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan pihak tertentu di bandar raya ini yang bimbang dengan kehadiran ramai anggota polis dan ia dilihat sebagai 'menakutkan' orang ramai.
Jalaluddin dalam kenyataan akhbar hari ini berkata,
sebanyak 6,000 pegawai dan anggota polis akan bertugas menjaga keselamatan dan kelancaran perjalanan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu terutama pada hari penamaan calon sehingga hari pengundian.
Mereka terdiri daripada anggota Unit Udara, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Khas, Unit Tindakan Khas (UTK), Unit Tindakan Ringan (LSF), Unit Pencegahan Rusuhan (PORU) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata,
polis berazam akan memastikan proses kempen dan pengundian pilihan raya kecil kali ini bersih dan berjalan tanpa sebarang gangguan.
"Kesemua mereka akan ditugaskan mengawasi proses penamaan calon, tempoh berkempen dan pembuangan undi serta penjumlahan undi bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.
Dipetik dari Utusan Online
*****************************************************************************************************************************************
PutriMalaysia
Berani Kerana Benar Takut Kerana Salah...

No comments: