Tuesday, July 1, 2008

APABILA SEORANG LELAKI DILIWAT

Oleh Zukri Valentino ( UTARAWAN )

Apabila seorang lelaki mengaku diliwat oleh seorang lelaki lain maka beliau sebenarnya telahpun menandatangani satu waran mati.Ini adalah kerana tiada jalan kembali atau tiada lagi kesempatan untuk membuat pusingan U setelah pengakuan dibuat, noktah. Pendek kata, setelah mengaku maka hadapilah implikasinya.

Di Malaysia implikasinya adalah maha berat dan apabila kita membuat pengakuan diliwat oleh seseorang VIP maka implikasinya berganda. Lebih malang apabila kedua-dua yang terbabit adalah Muslimin.

Mungkin tidak ada seorang lelaki yang dalam keadaan waras akan mengaku kepada seluruh dunia bahawa beliau telah disodomi oleh seorang lelaki lain. Tidak ada seseorang lelaki akan dengan begitu mudah mengaku diselingkupkan oleh lelaki lain, apatah lagi membuat laporan polis mengenai kejadian itu, di Malaysia pula tu!Pengakuan itu membabitkan maruah dan harga diri seorang lelaki yang mendakwa telah diliwat dan maruah lelaki yang dituduh meliwatnya.

Berbeza dengan laporan rogol (oleh seorang wanita) terhadap seseorang lelaki, aduan diliwat merupakan sesuatu yang amat berat hendak dilakukan. Sekiranya aduan rogol sudah begitu berat untuk dilakukan, beratlah lagi aduan liwat dan lebih berat lagi apabila ia dibuat oleh seorang lelaki diliwat yang mengaku diliwat oleh seorang lelaki lain. Dunia, kawasan setempat, rakan dan taulan malahan keluarganya akan memandangnya secara berbeza apabila seorang lelaki itu mengaku diliwat.

Pandangan mereka terhadap lelaki itu pasti akan berubah setelah pengakuan diliwat dibuat. Sekiranya beliau beristeri ataupun bertunang maka wanita yang sentiasa mendampinginya pasti akan berfikir dua kali atau setidak-tidak memikirkan apakah pilihannya masih tepat. Hidupnya akan menjadi perhatian semua selepas ini, setidak-tidaknya rupa orang yang mengaku diliwat hendak dilihat oleh semua.

Kalau dalam kes rogol aduan kepada polis lebih sedikit berbeza dan sedikit mudah untuk dilakukan (walaupun ianya sudah begitu berat untuk dilaporkan kepada pihak ketiga) dan mudah dipercayai berlaku kerana seringkali jenayah seks begini dilaporkan berlaku di mana-mana akan tetapi untuk membuat pengakuan telah diliwat memerlukan segala kekuatan mental dan fizikal untuk menghadapi dunia setelah diketahui apa yang telah terjadi.

Sekiranya pengakuan (awam) seorang lelaki mengadakan hubungan seks (baca: zina) dengan wanita selain daripada isterinya sudah begitu berat hendak dilakukan bayangkanlah pengakuan disetubuhi oleh seorang lelaki lain.Justeru, apabila aduan atau laporan polis dibuat maka, kesahihan laporan itu adalah teras utama yang perlu disiasat, dikaji dan diteliti sebelum sebarang tindakan lanjut diambil. Berlakulah adil kepada pihak yang membuat laporan dan kepada pihak yang dilapor, insyALLAH keadilan akan berlaku kepada kita semua.

Kepada pihak yang dilapor, mengapakah anda begitu takut sehingga perlu bersembunyi di sebuah tanah asing (kedutaan) lantaran mengatakan nyawa anda dalam bahaya? Dalam banyak-banyak tempat mengapakah kedutaan itu yang menjadi pilihan? Apakah tidak selamat sebuah kedutaan di Jalan Tun Razak yang tersergam indah dan begitu dikawal rapi oleh pihak keselamatan dalaman dan luaran? Mengapa pilih yang tu dan bukan yang ni?

Daripada apa yang kita baca di akhbar arus perdana, pihak yang dilapor akan kejadian itu hanya memikirkan akan nyawanya sahaja dan tidak mengenai nyawa mereka yang begitu dekat dengannya, contohnya keluarganya.Di sebuah dada akhbar kelihatan 3 orang anak perempuan pihak yang dilapor begitu terang dan jelas terdedah (ketika berada pada sebuah sidang akhbar) kepada bahaya (persis sitting ducks) sekiranya benar ada ugutan ke atas nyawa pihak yang dilapor.

Sekiranya seseorang pengugut itu hendak mencederakan pihak yang dilapor dan sekiranya pihak yang dilaporkan itu sudah bersembunyi maka pilihan kedua adalah nyawa keluarganya, anak-anak dan isteri.Mereka terdedah kepada apa sahaja kemungkinan. Pengugut akan berfikir tidak dapat tanduk telinga pun akan dipulas.Sekiranya anak-anak dan isterinya tidak perlu dilindungi sehinggakan begitu bebas keluar di khalayak awam maka bolehkah kita percaya bahawa wujudnya ugutan ke atas nyawa pihak yang dilapor?

Bolehkah kita percaya begitu? Sekiranya wujudnya ancaman ke atas nyawa pihak yang dilapor, maka mengapakah biarkan nyawa anak-anak dna isteri anda terdedah kepada sebarang kemungkinan?

Apakah nyawa anda sahaja yang begitu penting sedangkan nyawa anak-anak dan isteri anda tidak?Kita tidak boleh membuat sebarang andaian pada ketika ini akan tetapi episod ini mempunyai lebih banyak soalan daripada jawapan.

Seperti kata Orang Kedah "Nak pecaya benda ni sama banyak dengan nak tak pecaya..."

No comments: