Monday, July 14, 2008

EKONOMI NEGARA STABIL - PM

PUTRAJAYA 13 Julai - Ekonomi negara pada keseluruhannya adalah stabil walaupun negara berhadapan dengan krisis dunia seperti kenaikan harga minyak dan makanan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Keseluruhannya stabil. Kita punya sektor perdagangan... tiada apa yang cemas. Kita masih berjaya menarik pelaburan asing. Kita masih jadi destinasi pilihan pelaburan," kata Perdana Menteri.

Ekonomi Malaysia, katanya, menerima pandangan yang positif dari negara lain dan yang terbaru semasa Persidangan Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) di ibu negara minggu lepas, katanya kepada Bernama dan Radio RTM dalam temu ramah khas di kediaman rasminya di Seri Perdana, semalam.

"Angka ekonomi kita adalah positif. Mereka tahu," katanya.

D-8 dianggotai Indonesia, Pakistan, Iran, Bangladesh, Mesir, Nigeria, Turki dan Malaysia.

Abdullah berkata, imej negara masih baik ketika ini dan menambah kata: "Pada orang yang objektif dan tiada apa-apa, ia masih baik. Bagi orang yang ada apa-apa dengan (penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), dia punya pandangan lain pula."

Menyentuh mengenai antara perkara utama yang akan diberi penekanan oleh beliau dari sekarang sehingga tempoh peralihan kuasa Perdana Menteri kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2010, Abdullah mahukan pelaksanaan pembangunan lima koridor ekonomi dipercepatkan.

Lima koridor itu ialah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC), kesemua dengan nilai pelaburan berjumlah hampir RM840 bilion.

Menjelaskan idea di sebalik pembangunan koridor berkenaan, Abdullah berkata, ia bagi pengagihan yang adil terhadap peluang-peluang berkualiti dalam menangani ketidakseimbangan pembangunan antara sektor bandar, sektor perindustrian bandar dan kawasan separa bandar.

Beliau berkata, pendekatan baru itu berbeza dengan prinsip Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menumpukan kepada pengagihan pendapatan yang adil.

Abdullah berkata, pada mulanya, kerajaan berhadapan dengan persoalan bagaimana nak mengurangkan jurang pembangunan.

"Pada peringkat ini ketika kita sedang membangunkan modal insan, memperkasakan mereka dengan pengetahuan lebih baik, jadi faedah terbaik daripada pembangunan ialah pengagihan yang adil terhadap peluang-peluang berkualiti... berikan mereka peluang berkualiti ini," katanya.

Beliau berkata, semua kawasan berkenaan perlukan tumpuan dan perhatian supaya jurang pembangunan antara kawasan bandar dan separa bandar dapat dikecilkan.

"Kita tidak boleh kurangkan sebelah sini tetapi lebihkan sebelah sana pula," katanya sambil kedua-dua belah tangannya menunjukkan cara bagaimana ia patut dilakukan.

"Seperti DEB, kita tidak ambil daripada Ah Seng untuk diberikan kepada Ahmad tetapi meningkatkan peluang Ahmad. Kalau bagi duit, berapa hari saja boleh tahan. Bagi peluang untuk digunakan secara produktif," katanya.

Dalam mempercepatkan tahap pelaksanaan pembangunan di semua koridor berkenaan, beliau berkata, semua aspek pembangunan perlu dirancang dengan betul oleh agensi-agensi pusat termasuk Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) dan Perbendaharaan.

Semasa menegaskan kenapa beliau menumpukan pada sektor pertanian berikutan pengkritik menyifatkannya sebagai ketinggalan zaman, Abdullah berkata, beliau bukan semata-mata membangunkan sektor pertanian tanpa membangunkan industri asas tani.

"Kalau kita tanam semua kita makan, berapa banyak sangat kita boleh makan?

"Sebab itu kita perlu bangunkan industri asas tani untuk menggunakan hasil tani bagi menyumbang kepada ekonomi negara," katanya.

No comments: