Oleh Jamhariah Jaafar
UMNO akan mengetahui mengenai pendirian akar umbi siapa yang akan dicalon untuk dua jawatan tertinggi. Bagi jawatan Naib Presiden, ketika ini 16 ahli politik terkemuka sudah menawarkan diri atau membayangkan hasrat untuk bertanding merebut tiga jawatan hieraki itu.
Jika semua 16 pemimpin ini dicalonkan, maka pertandingan bagi jawatan Naib Presiden Umno mencatat rekod baru. Pada pemilihan 2004, hanya tujuh calon bertanding iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Mohd Ali Rustam, Tan Sri Isa Samad, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Datuk Mustapa Mohamed, Datuk Seri Adnan Ya'akob dan Datuk Shahrir Samad.
Pengumuman Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengenai cadangan proses peralihan kuasa kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, walaupun direstui hampir semua Perhubungan Umno negeri, mesyuarat pada peringkat cawangan dan bahagian yang bermesyuarat hingga November akan membuat keputusan akhir.
Persidangan Tahunan Umno peringkat cawangan sudah bermula sejak Khamis lalu hingga 24 Ogos ini, manakala mesyuarat peringkat bahagian dari 9 Oktober hingga 9 November, sebelum Perhimpunan Agung diadakan pada 16 hingga 20 Disember.
Mengandaikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan menghormati keputusan kepemimpinan tertinggi mengenai peralihan kuasa, maka beliau sudah pasti mempertahankan jawatan Naib Presiden.
Umum masih belum mengetahui pendiriannya sama ada akan bertanding jawatan lebih tinggi atau kekal bertanding pada jawatan sekarang. Ketika diaju soalan berkenaan Muhyiddin berkata, beliau perlu membuat banyak pertimbangan sebelum memutuskan jawatan yang ingin ditandinginya.
"Setiap keputusan perlulah mengikut pertimbangan bagaimana ia menyumbang kepada kekuatan parti dan meningkatkan keyakinan masyarakat Melayu kepada Umno. Semua faktor itu perlu saya ambil kira," katanya.
Mohd Ali juga dijangka mempertahan jawatan berkenaan, manakala Isa yang sudah melepasi hukuman gantung keahlian, dijangka menebus maruahnya yang tercemar pada pemilihan lalu.
"Saya tidak boleh ikut kehendak hati, saya kena ikut kemahuan penyokong saya," katanya dan ibu pejabat Umno mengesahkan Isa boleh menawarkan diri untuk bertanding dengan syarat beliau menjelaskan yuran tahunan.
Persaingan semakin menarik apabila Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sejak awal menyatakan pendirian untuk menyertai kepemimpinan arus perdana, tetapi enggan tergesa-gesa membuat keputusan.
"Bagi saya, yang akan menentukan kedudukan saya adalah bahagian Umno itu sendiri. Mesyuarat pada peringkat cawangan baru bermula. Kita akan tunggu sambutan dari bawah, itu adalah cara saya sejak dari dulu lagi," katanya.
Mustapa, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut membayangkan hasrat terus bertanding, walaupun tewas pada 2004.
"Saya sedang meninjau sokongan (daripada bahagian) dan akan buat keputusan sedikit masa lagi sama ada ke Majlis Tertinggi (MT) atau Naib Presiden. Tapi jika Naib Presiden terlampau ramai calon, ini mungkin kena buat pertimbangan dan nampaknya peluang (untuk menang) sukar," katanya.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti itu nanti.
Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik adalah antara yang paling awal menawarkan diri kerana berniat memperkenalkan pendekatan baru bagi mengembalikan semula kekuatan Umno yang sedikit terjejas pada pilihan raya umum lalu.
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) ini berkata, sudah tiba masa baginya yang sudah lama berjuang dalam parti, termasuk menjadi ahli MT dan pernah memegang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno serta berpengalaman jatuh-bangun dalam politik, diberi peluang memegang jawatan itu.
Datuk Shafie Apdal pula yakin keputusannya menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden mampu meredakan isu politik Sabah.
"Saya yakin dengan ada penyertaan daripada ahli Umno Sabah, kami sendiri akan dapat mencorakkan perjalanan politik parti itu ke arah perjuangan yang lebih bermakna," katanya.
Datuk Seri Mohamad Hasan adalah Menteri Besar pertama menawarkan diri untuk bertanding jawatan ini dan menegaskan ia semata-mata bagi mengukuh kembali Umno.
Pemimpin lain yang membayangkan hasrat rela untuk dicalonkan ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Tokoh yang dijangka menawarkan diri atau dicalonkan untuk jawatan ini ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
Mereka yang ingin bertanding jawatan Naib Presiden memerlukan pencalonan 10 peratus atau 19 bahagian daripada keseluruhan 191 bahagian parti di seluruh negara.
Bagaimanapun, sejarah Umno membuktikan pencalonan terbanyak tidak menjanjikan kemenangan dan 'pertarungan' antara semua tokoh politik terkemuka ini diharap dapat menghasilkan satu barisan pemimpin yang lebih utuh bagi parti terunggul Melayu ini.
Monday, July 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment