OLEH ZAKARIAH MD SAM
(Taman Melawati, Kuala Lumpur)
Proton mesti belajar daripada isu Mercedes pembelian 14 buah kereta jenis Mercedes model E200 Kompressor untuk kegunaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Trengganu seperti mematikan semangat rakyat yang sedang bergembira meraikan 100 hari Datuk Ahmad Said menjadi Menteri Besar. Ia juga menjejas keriangan menyambut pengumuman wang royalti yang akan dikembalikan oleh Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Terengganu. Maka bermulalah forum rakyat di seluruh pelosok Terengganu malah di seluruh negara yang turut memberi reaksi mereka.
Majoriti rakyat sama ada yang pernah menggunakan Perdana V6 Eksekutif atau tidak memberikan pendapat tidak bersetuju dengan langkah kerajaan negeri. Isu pembelian 14 kereta ini seolah-olah menenggelamkan semua hasrat baik Menteri Besar tersebut dalam usaha memperjuangkan pembangunan negeri Terengganu.
Apakah wajar pembelian ini?
Pekeliling kerajaan tahun 1998 telah memutuskan bahawa bagi menghadapi kemerosotan ekonomi dan penurunan nilai ringgit Malaysia pada masa tersebut, maka pembelian semua produk keluaran tempatan diberikan keutamaan.
Arahan ini merangkumi pembelian kenderaan rasmi kerajaan mengikut kelayakan. Arahan ini juga diguna pakai oleh kebanyakan syarikat milik kerajaan (GLC) sebagai tanda menyokong langkah kerajaan. Walaupun begitu GLC terpaksa membeli Proton Perdana Eksekutif dengan harga yang sangat tinggi kerana GLC terpaksa membayar cukai bagi setiap kenderaan yang dibeli.
Hakikat yang mesti kita terima ialah jika diberi peluang memilih kenderaan dengan jumlah wang yang sama, banyak pilihan boleh dibeli di pasaran. Malangnya peluang memilih hanya terpakai bagi organisasi bukan kerajaan.
Apa pun alasan sama ada dari segi kelemahan kualiti kereta Proton atau kelebihan jenama yang lain, ia tidak akan mengetepikan arahan pekeliling kerajaan yang masih berkuat kuasa. Malah jika dikatakan penjimatan minyak yang bakal dijimatkan oleh enjin 1800cc Mercedes Kompressor berbanding dengan enjin 2000cc Perdana V6 Eksekutif, ia masih tidak dapat merasionalkan pembelian tersebut.
Merujuk kepada pembelian kereta Mercedes E200 Kompressor yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Trengganu, maka saya teringat bagaimana tindakan seorang Ketua Pengarah sebuah agensi kerajaan bertaraf gred Utama B yang layak menggunakan kereta Mercedes 200E model 124.
Namun, Ketua Pengarah tersebut mengetepikan arahan pekeliling berkenaan sebaliknya telah membeli sebuah kereta Mercedes 230E model 124 import terpakai yang dibaik pulih dengan harga yang lebih murah daripada harga sebuah kereta Mercedes 200E yang baru.
Di pandang dari segi penjimatan, maka tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan dapat berjimat dengan pengorbanan seorang ketua pengarah yang sanggup membeli kenderaan import terpakai yang dibaik pulih.
Di akhir episod pembelian ini, kerajaan berpendapat bahawa soal penjimatan bukanlah isu utama dalam pembelian kenderaan rasmi, tetapi ia hendaklah mengikut kelayakan jawatan. Akibat daripada arahan tersebut, kereta Mercedes 230E itu terpaksa dijual dengan harga yang lebih murah berbanding dengan harga semasa pembelian dan kerajaan terpaksa pula berbelanja membeli sebuah kereta Mercedes 200E mengikut kelayakan jawatan ketua pengarah tersebut.
Berdasarkan kepada prinsip dan rujukan yang sama, saya berpendapat bahawa apa pun alasan yang diberikan oleh Kerajaan Terengganu untuk mewajarkan pembelian 14 buah Mercedes E200 Kompressor ini, ia hendaklah tidak bertentangan dengan pekeliling yang berkaitan dengan pembelian kereta rasmi yang masih diguna pakai kecuali keadaan di sebaliknya.
Saya percaya Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri yang menganggotai Majlis Mesyuarat Negeri pasti telah memberi nasihat masing-masing sebelum keputusan pembelian dilakukan.
Apa pun keputusan Kabinet mengenai pembelian ini, sesuatu yang harus dipertimbangkan juga adalah dasar kerajaan terhadap pembelian kenderaan rasmi. Proton tidak seharusnya berpayung di bawah dasar yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Proton juga tidak harus bersandarkan kepada semangat patriotik rakyat agar berbangga dengan kenderaan nasional. Proton harus menerima hakikat bahawa Proton Perdana V6 Eksekutif yang dikeluarkannya terlalu mahal, mempunyai banyak masalah termasuk kotak gear dan alat ganti yang mahal.
Proton mesti memberikan tempoh jaminan yang lebih panjang kepada beberapa komponen kereta yang dikeluarkan. Lebih dari itu Proton mesti terima hakikat bahawa nilai jualan semula Proton khasnya model Perdana V6 Eksekutif terlalu rendah dan merugikan mana-mana organisasi yang membelinya.
Hakikatnya, jika Kerajaan Terengganu dibenar meneruskan penggunaan kereta Mercedes yang telah dibelinya, maka selepas lima tahun digunakan, setiap kereta tersebut boleh dijual dengan harga yang membolehkan sebuah Proton Perdana Baru dibeli akibat tingginya nilai jualan balik.
Proton mesti sedar bahawa status dan model Eksekutif ini tidak langsung menjadi kebanggaan penjawat jawatan, khasnya apabila mereka diberi pilihan membeli kenderaan tersebut apabila sampai usia persaraan.
Jika semua agensi kerajaan diberi pilihan memilih kenderaan setaraf dengan Proton Perdana V6 Eksekutif, maka sudah pasti pilihan yang dibuat tidak menyebelahi proton dan mereka akan membeli kereta yang tidak sepanjang Perdana Eksekutif.
Semoga tindakan Kerajaan Negeri Terengganu ini walaupun mungkin didapati tidak tepat akan membuka mata pembuat dasar dalam menggubal dasar khasnya dasar kereta nasional agar setiap dasar digubal dengan lebih rasional.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment