Sunday, July 20, 2008

SOKONGAN BESAR ANGGOTA PARTI

KEPALA BATAS 20 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata formula peralihan kuasa yang dibuat secara muafakat antara beliau dan timbalannya mendapat sokongan besar daripada akar umbi yang mahu melihat parti terus kukuh dan aman.

Beliau berkata formula itu diterima dengan baik oleh anggota parti bagi memastikan kesinambungan kepimpinan parti itu berjalan lancar.

“Nampaknya ada sokongan besar pada peringkat ini untuk saya dan Datuk Seri Najib Tun Razak terus memegang jawatan masing-masing,” katanya ketika merasmikan persidangan kelompok cawangan-cawangan Umno bahagian Kepala Batas, di sini hari ini.

Abdullah, yang juga Presiden Umno berkata peralihan kuasa itu juga diharap dapat mengelakkan perpecahan yang akan memberi kesan buruk kepada parti serta menjejaskan usaha menjayakan program pembangunan yang dirancangkan oleh kerajaan.

Katanya tindakan itu juga sekali gus meredakan kegelisahan dalam kalangan anggota parti yang bimbang perebutan jawatan di peringkat tertinggi akan membawa kepada perpecahan parti.

Abdullah berkata kebiasaannya rakyat akan menyatakan bahawa persaingan hanya berlaku di peringkat atas kerana di peringkat itulah sering berlakunya perebutan jawatan.

“Umno tiada masalah, begitu juga di peringkat akar umbi dan cawangan. Kekuatan Umno tetap ada tetapi di atas pula jangan berlaku kelemahan,” katanya.

Katanya pemilihan jawatan di peringkat tertinggi seperti Presiden, Timbalan Presiden dan anggota Majlis Tertinggi (MT) bukan sahaja mendapat perhatian anggota parti malahan turut menjadi tumpuan negara luar yang mempunyai hubungan perniagaan dan pelaburan dengan Malaysia.

Beliau berkata kepimpinan parti akan membawa pengaruh kepada kepimpinan kerajaan dan kebanyakan daripada mereka yang dipilih di peringkat MT akan memegang jawatan dalam kerajaan termasuk menjadi Menteri dan Timbalan Menteri.

Sementara itu, Abdullah yang juga Ketua Bahagian Kepala Batas mengingatkan anggota parti yang ingin bertanding dalam pemilihan parti supaya mematuhi garis panduan dan etika yang ditetapkan bagi mengelakkan persengketaan yang boleh memecahbelahkan perpaduan parti. - BERNAMA.

No comments: