Friday, July 25, 2008

PERTEMUAN TINGKAT KERJASAMA - NIZAR

Oleh ANI AWANG

IPOH 24 Julai - Pertemuan bersemuka atau pun muqabalah antara pemimpin Pas dan UMNO dapat meningkatkan kerjasama di antara kerajaan negeri pakatan pembangkang dan kerajaan Pusat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata, ia juga dapat meningkatkan persefahaman antara dua parti yang berbeza ideologi berkenaan.

Beliau berkata, pertemuan itu juga dapat menolak kemungkinan wujudnya rasa kurang senang atau curiga di kalangan parti gabungan pakatan rakyat.

''Saya difahamkan beberapa pertemuan Pas dengan UMNO sebelum ini berjalan lancar dan tidak ada masalah.

''Kami (kerajaan pakatan pembangkang) juga ada berjumpa dan bersalam dengan para pemimpin UMNO, MCA, MIC dan Gerakan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Meningkatkan Mutu Kerja ke-21 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persetujuan Pas untuk meneruskan perbincangan dengan UMNO membabitkan isu kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Semalam, mesyuarat kepemimpinan tertinggi Pas di Kota Bharu sebulat suara bersetuju meneruskan pertemuan dengan UMNO jika keadaan memerlukan demi menjaga kepentingan Islam dan perpaduan rakyat terutama di negeri-negeri diperintah oleh pakatan pembangkang.

Mesyuarat hampir sejam itu dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr. Haron Din serta Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Abdulalh Ahmad Badawi mendedahkan bahawa pertemuan bersama Pas telah diadakan sebanyak tiga kali bagi membincangkan beberapa isu berkaitan dengan keagamaan dan orang Melayu.

Ditanya mengenai kenyataan Nik Aziz sebelum ini yang meminta pertemuan itu dihentikan, Mohammad Nizar berkata, perkara itu timbul mungkin kerana spekulasi pihak tertentu.

''Saya percaya pertemuan ini akan turut mengambil kira perpaduan semua kaum di negara ini," katanya.

No comments: