Thursday, July 24, 2008

PENGERUSI MIC CAWANGAN DIDAKWA RASUAH

JOHOR BAHRU 24 Julai — Pengerusi MIC Cawangan Puteri Wangsa, M.Soorianarayanan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan rasuah.

Soorianarayanan, 61, dituduh membuat tuntutan palsu bagi seunit penghawa dingin bernilai RM3,500 di pejabat MIC di No. 17A, Jalan Beladau 26, Puteri Wangsa, Ulu Tiram, 19 Okt 2005, sedangkan alat itu tidak dibekalkan dan dipasang di pejabat itu.

Mengikut kertas pertuduhan, Soorianarayanan sebagai ejen kepada MIC dengan disedari menggunakan Borang A iaitu pengesahan terimaan mengenai bekalan yang dibekal melalui peruntukan kerajaan, dengan niat memperdayakan prinsipal iaitu kerajaan negeri Johor.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11 (C) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Zainal Rashid Hussain membenarkan Soorianarayanan diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 23 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Badan Pencegah Rasuah (BPR) Nazrul Nizam Mohd Zameri manakala Soorianarayanan diwakili peguam Vijaya Sandran. — BERNAMA

No comments: