Friday, July 18, 2008

DEBAT : SHABERY MENANG BESAR

Oleh Dr Aisar Yee Abdullah
(Ruangan Sentuhan Tetikus, Sinar Harian, MS N14)

Berdasarkan maklumat diberi pihak penganjur, laman web Agendadaily, seramai 4.4 juta orang dianggar menonton debat di antara Dato' Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan de fakto ketua, Parti Keadilan Rakyat, PKR yang disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen TV tanah air.

Angka itu tidak termasuk mereka yang menonton skrin internet seluruh dunia melalui beberapa laman web yang turut sama terlibat dalam siaran langsung. Debat itu menarik dan ramai orang terpukau. Rakyat daripada pelbagai keturunan juga mengikuti debat ini jika ulasan-ulasan yang diberikan dalam laman-laman web dijadikan pedoman. Isu diketengahkan merupakan isu yang menyentuh rakyat. Isu kenaikan harga petroleum dan bagaimana dua pihak bertentangan menanganinya.

Seperti biasa, kemampuan pendebat dinilai penonton. Kita pasti telah membaca reaksi diberikan mereka. Sebagaimana penulis membuat rumusan dalam satu artikel sebelum ini, rumusan kita akan didorong oleh emosi kita terhadap parti kita sokong.

Kebanyakan orang yang berpihak kepada BN akan memberi ‘rating’ tinggi terhadap prestasi yang diberikan Shabery. Sama ada ‘rating’ yang diberikan itu wajar adalah cerita lain.

Kita perhalusi reaksi diberikan para pemimpin BN. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamid Albar menyatakan kandungan debat yang diberikan Anwar terlalu mudah dan tidak meyakinkan. Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, debat membuktikan Anwar memberi janji palsu daripada segi menurunkan harga petroleum. Beliau menambah, Anwar hanya temberang.

Nada sama diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz. Malah, apabila ditanya sanggupkah beliau berdebat dengan Anwar, beliau segera menjawab melalui pertanyaan, dia tidak takut kerana pernah berdebat dengan Lim Kit Siang dan Karpal Singh dan maka itu, siapa Anwar! Sebetulnya, Nazri merupakan orang yang layak kerana dia berkedudukan sebagai menteri yang sangat kanan. Semoga satu debat dapat diadakan menemukan Nazri dan tokoh lain dalam Pakatan atau dengan Anwar sendiri kerana Nazri sanggup berdepan dengan beliau.

Shabery lebih meyakinkan. Itu adalah pendapat diberikan Datuk Nur Jazlan Mohamed, MP Pulai dari BN. Rakan beliau, K Devamany, MP Cameron Highlands berkata, debat malam itu adalah saksama dan persembahan Shabery lebih baik. “Anwar menggunakan debat itu sebagai satu pentas mendapatkan simpati orang ramai berkaitan pertandingan politik akan datang dan dia sendiri tidak tahu tentang masa depan politiknya”, kata wakil rakyat itu.

Itu adalah beberapa contoh pendapat yang diberikan tentang prestasi Shabery. Lain pula pendapat orang bertentangan pihak. MP DAP dari Bukit Bendera, Liew Chin Tong berkata, Anwar memiliki kelebihan pada malam itu. Lim Kit Siang juga berpendapat sama dan menambah bahawa hujah Anwar amat meyakinkan. Namun, dia menganggap Shabery tidaklah mengecewakan sangat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan berpendapat hujah Anwar amat meyakinkan terutamanya dari segi ekonomi. Bagi Dr Dzulkefly Ahmad, MP Pas, Ahmad Shabery banyak mengemukakan soal sejarah dan perkara yang sudah berlaku sebelum ini bagi mempertahankan hujahnya. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim melihat Anwar sebagai cukup bersedia dengan pelbagai fakta berkaitan isu ekonomi manakala Shabery lebih mempolitikkan isu berkenaan.

Begitulah orang politik sentiasa melihat sekeping duit syiling dari sudut dia berada. Pendirian mereka hendaklah dilihat dengan diskaun tertentu. Ramai orang mampu menilai sendiri prestasi para pendebat malam itu. Turut dinilai prestasi ‘moderator’ yang dilihat telah menjalankan tugas secara sangat adil. Cuma dapat dikesan perasaan kesal sebilangan penonton dengan sikap yang ditonjolkan rakan Shabery yang diberi tanggungjawab membuat soalan kepada Anwar dan Shabery sendiri yang dikira tidak membantu menteri itu.

Malah seorang graduan dari universiti terjejas jika ukuran lulusan itu diasaskan kepada tanggapan NC berkaitan terkeliru dengan fakta bahawa harga petroleum juga berkaitan dengan harga gas yang dikenakan kepada pengeluar tenaga persendirian (IPP).

Apa pun penulis terpesona mengikuti perdebatan malam itu. Sehinggalah pada saat-saat akhir, penulis bersama sebilangan besar rakyat teratanya-tanya jadikah perdebatan ditunggu ramai itu. Apakah akan ada satu pembatalan pada saat akhir. Kemungkinan berlakunya pembatalan pada saat akhir itu ada kerana sekurang-kurangnya terdapat satu hambatan besar yang dihadapi salah seorang yang dijadualkan berdebat. Surat waran tangkap sudah pun dikeluarkan pada petang itu untuk menahan Anwar.

Kekhuatiran ini tidak boleh ditolak kerana suatu ketika dulu pun terjadual satu debat agung diatur di antara Pas dan UMNO. Semua pihak bersetuju dengan tajuk, dengan kaedah debat, ‘moderator’, tempat dan barisan para pendebatnya. Anwar adalah salah seorang di antara orang dinamakan UMNO sebagai pendebat mewakili partinya. Akhbar-akhbar dan TV pada masa itu telah pun menyiarkan bentuk kerusi dan pentas yang disediakan. Akhirnya, majlis debat dibatalkan atas arahan Majlis Raja-Raja Melayu atas alasan menjaga keharmonian perpaduan Melayu dan Islam.

Hanya bila debat bermula, kekhuatiran hilang. Penulis ikuti dengan amat. Setiap hujah diperhatikan. Penulis bersetuju dengan rumusan majoriti. Shabery menang besar.

Penulis beri kemenangan kepada Shabery bukan kerana hujahnya. Hujahnya semua orang boleh dengar dan buat keputusan sendiri. Penulis bukan sahaja kagum dengan kesanggupannya berdepan dengan Anwar. Ramai lagi menteri kanan yang lebih layak, tetapi takut menawarkan diri. Penulis kagum kerana sejak dia menjadi Menteri penerangan sudah banyak perubahan dilakukannya. Sekarang kita boleh menonton gelagat para pemimpin kita di parlimen melalui kaca TV. Kita tahu siapa dengan mudah menyebut perkataan ‘barua’ dan siapa yang boleh memberi isyarat lucah untuk bukan sahaja kita tonton tetapi anak-anak sekolah.

Dulu semuanya itu, semua perbahasan termasuk yang cerdik dan tidak cerdik, semuanya tidak disiarkan. Hanya propaganda kerajaan sahaja diberi tempat. Kita diberitahu menteri-menteri penerangan sebelum ini bahawa kita belum mencapai tahap matang, kita belum cerdik. Rakyat kita dikatakan tidak mampu menilai dan mengawal perasaan. Kita diugut dengan kemungkinan berlakunya ledakan api perkauman. Kita dilaksanakan sebagai budak sekolah yang tidak boleh berfikir.

Hanya Shabery sahaja dengan dasar terbuka yang diamalkan di kementeriannya dan sikap terbuka dengan sokongan padu Menteri Dalam Negeri, Hamid Albar yang memberikan kebebasan akhbar untuk bersuara. Sekarang di bawah Hamid Albar, bukan sahaja akhbar-akhbar harian menjadi lebih bebas, akhbar-akhbar milik parti pembangkang juga mendapat ruang. Permit akhbar Harakah diberikan untuk diterbitkan dua kali seminggu berbanding hanya dua minggu sekali sebelum ini . PKR juga diizinkan menerbitkan risalahnya. Pendaftaran parti sosialis juga diluluskan.

Shabery meneruskan perjuangan mendapatkan kebebasan dan keadilan bersuara semenjak dia menjadi ‘student leader’ di Universiti Malaya, dulu, dan semasa berada di dalam Parti Semangat 46. Perjuangan itu terus dilaksanakan olehnya sebaik sahaja diberi tanggungjawab menjadi Menteri Penyiaran. Shabery memulakan satu tradisi baik dan itu amat disanjung. Penulis berbangga mempunyai menteri seperti Shabery. Hanya beliau yang dapat melakukan itu yang gagal dibuat oleh Mohamed Rahmat, Kadir Sheikh Fadzil dan Zainuddin Maidin. Penulis angkat kopiah kepada beliau dan mengisytiharkan beliau sebagai pemenang besar.

No comments: